MENJELANG saingan Liga Super yang bakal bermula tidak lama lagi, kelab-kelab Liga Malaysia (Liga M) begitu rancak mempersiapkan pasukan masing-masing dan tumpuan peminat semestinya terarah kepada pertukaran pemain berkualiti yang mampu memberikan impak positif kepada pasukan.
Musim 2022 menyaksikan kemenangan mutlak digenggam oleh pasukan Johor Darul Takzim (JDT) apabila berjaya menjuarai piala itu buat kali kesembilan berturut-turut sekali gus mencipta sejarah terunggul dalam arena bola sepak negara yang sukar dicabar pasukan lain.
Keputusan tersebut semestinya mengundang pelbagai keresahan dan kegusaran buat pengurusan pasukan lain yang dilihat gagal menyaingi rekod cemerlang pasukan Harimau Selatan itu.
Susulan itu, setiap pasukan kini dipercayai sedang membuat persiapan rapi khususnya dalam urusan jual beli pemain bagi memperkuatkan skuad masing-masing menjelang aksi pembukaan nanti.
Isu pertukaran pemain sememangnya dinanti-nantikan dan ada berpendapat bahawa ia perlu dilakukan oleh sesebuah pengurusan kelab bagi memberi peluang buat pemain mencuba nasib di pasukan lain selepas gagal menyerlah pada musim terdahulu.
Terbaharu, pasukan Penang FC mengumumkan kedatangan pemain muda, Azmeer Aris yang bakal bermain di posisi pertahanan kiri skuad Harimau Kumbang pada musim depan.
Perkara itu disahkan sendiri menerusi laman Facebook rasmi Penang FC menerusi hantaran dimuat naik baru-baru ini.
Hantaran dimuat naik di laman Facebook rasmi PENANG FC mengenai kemasukan pemain baharu mereka, Azmeer Aris. — Facebook/Penang FC
Kemasukannya ke skuad Harimau Kumbang dilihat sebagai 'pusingan U' telah diambil oleh pemain tersebut selepas kali terakhir beraksi bersama skuad itu pada musim 2021.
Berketinggian 1.73 meter, bakat serta pengalaman beraksi di peringkat tertinggi Piala AFC bersama Kedah dipercayai bakal menjadi taruhan peminat untuk musim depan.
Namun, kemasukannya juga turut diiringi dengan spekulasi dan tohmahan daripada penyokong Sang Kenari yang rata-ratanya sudah lali dan bosan dengan gaya permainan dipamerkan pemain itu.
Untuk rekod, Azmeer hanya membuat 16 penampilan di Liga Super dan tiga di Piala AFC dengan kebanyakannya hanya memenuhi bangku simpanan pemain.
Maka tidak hairanlah jika ada yang berpendapat bahawa keputusan diambil pemain itu untuk berhijrah ke negeri kelahirannya dilihat sebagai satu tindakan yang bagus buat dirinya.
Seorang penyokong, Muhammad Fazib berpendapat pemain itu sememangnya layak bermain di negeri asalnya selepas prestasi merosot yang dipamerkan bersama Kedah.
"Tahap pemain ni memang layak bermain dengan pasukan Penang sahaja, sebab dia la habis merosot prestasi skuad Kedah musim lepas," katanya.
"Buat Azmeer, p***n m**a dengan kamu, selepas apa yang dipamerkan musim 2022, tunjukkan la keupayaan kamu yang sebenar terutama bila bersama pasukan Penang, tunjuk yang kamu boleh bermain bukan hanya sekadar pemain tonggek yang dikutuk penyokong," jelas Izwan Idris.
"Bagi dia main di Penang baru ada peluang main atas padang, kalau wakil Kedah tak ada tempat untuk dia sebab ramai pemain lagi bagus," tambah Daniel Rais.
Dalam pada itu, Penang FC turut mengumumkan dua lagi pemain yang akan kekal beraksi pada musim depan iaitu pemenang anugerah Puskas, Faiz Subri dan pemain tengah Faiz Mazlan.
Selain daripada bermain di posisi tengah, Faiz Subri juga dilantik sebagai duta pasukan di mana beliau akan dipertanggungjawabkan untuk segala aktiviti melibatkan urusan promosi dan program pembangunan bola sepak kanak-kanak di negeri itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram