Awas Gergasi Merah, fans TFC optimis Adisak mampu tutup mulut 'budak nakal'


  • Podium
  • Ahad, 25 Dis 2022

Adisak Kraisorn menjadi taruhan peminat TFC untuk memberi saingan buat pasukan lain khususnya Selangor FC pada musim depan. — TFC

KEPUTUSAN Terengganu FC (TFC) membawa masuk pemain kebangsaan Thailand, Adisak Kraisorn pada musim depan dilihat sebagai satu tindakan yang terpuji dan diyakini mampu memberikan saingan sengit kepada pasukan lain.

Pemain itu yang pernah mencetuskan fenomena dalam dunia bola sepak tanah air satu ketika dahulu, dipercayai mampu mengisi kekosongan barisan penyerang skuad Penyu selepas kehilangan pemain sayap sensasi mereka, Faisal Halim yang berhijrah ke kelab Selangor FC.

Pemain berusia 31 tahun itu disambar Terengganu selepas dia dilepaskan kelab Liga 1 Thailand, Muangthong United baru-baru ini dan situasi itu nyata memberikan kelebihan buat naib juara Liga Super 2022 itu yang difahamkan enggan membuat pelaburan secara besar-besaran untuk musim akan datang.

Berketinggian 1.83 meter, struktur fizikal Adisak dikatakan amat sesuai dengan kancah bola sepak tanah air, khususnya Terengganu FC yang sebelum ini mempertaruhkan Kpah Sherman dan Tchetche Kipre di bahagian serangan.

Kpah Sherman dan Tchetche Kipre merupakan penyerang sensasi skuad Penyu pada musim lepas — Facebook/Terengganu FC

Dalam pada itu, kehadiran bekas penyerang utama skuad Gajah Perang itu secara tidak langsung memberi bayangan saingan sengit bakal diberikan kepada pasukan Gergasi Merah dan tumpuan peminat semestinya mensasarkan pemain dengan gelaran 'budak nakal' iaitu Faisal Halim.

Sering terpalit dengan isu kontroversi, Faisal meninggalkan skuad Penyu dengan pelbagai kecaman dan tohmahan daripada penyokong selepas pemain itu dikatakan tidak mengenang budi dan lupa daratan sehingga sanggup mencemarkan nama baik pasukan tersebut di laman media baru-baru ini.

Patah tumbuh hilang berganti, Adisak menjadi taruhan utama skuad Penyu pada musim depan dengan pemain itu diharapkan mampu memberikan seribu kesalan buat Faisal yang nyata telah meninggalkan luka di hati peminatnya.

Warganet di Facebook meluahkan keyakinannya untuk menyaksikan kedua pasukan itu berentap pada saingan musim depan dan semestinya Mickey menjadi tumpuan utama mereka.

Muhammad Rizwan Shah berkata, dia sudah tidak sabar menyaksikan perlawanan antara TFC dan Selangor susulan tindakan Faisal yang dikatakan terlalu mendabik dada bersama pasukan itu.

"Aku tak sabar nak tengok perlawanan Terengganu dan Selangor musim depan, Faisal tu kebelakangan ini macam berlagak sangat yang pasukan dia wakili akan menang dan bertambah bagus, kita tengok musim depan macam mana," ujarnya.

"Awas Selangor nanti, kalau boleh makan Selangor baru boleh lawan JDT," kata Mohd Arif.

"Tunggu la nanti si budak nakal tu, Adisak dah sarung jersi Terengganu mesti lagi padu barisan serangan Terengganu," tambah Izwan Zailani.

Enggan menoleh ke belakang, sebaliknya misi penyokong Terengganu kini lebih tertumpu kepada kemenangan serta trofi kejuaraan menjelang Liga Super 2023 yang bakal bermula tidak lama lagi.

Untuk rekod, sepanjang mewakili skuad Gajah Perang, Adisak sudah mengumpul 49 penampilan sejak debut pada 2013 dengan 19 gol berjaya dijaringkan dalam aksi persahabatan dan kejohanan kompetetif.

Terdahulu, Faisal sebelum ini meluahkan keperitannya sepanjang bermain di Terengganu menerusi ciapannya di Twitter yang dilihat sengaja ditujukan kepada bekas pengurusan pasukannya itu.

Namun, Faisal menjelaskan bahawa dia tidak mempunyai sebarang masalah ataupun dendam dengan penyokong TFC sebaliknya hanya meminta penyokong untuk bersabar dan menunggu kebenaran. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram