'Tak sabar ke Bukit Jalil', import baharu Kedah bangkit aura gembira penyokong menjelang musim depan


  • Podium
  • Ahad, 11 Dis 2022

Amirbek Jurobaev bakal mengisi kuota import pasukan Kedah pada musim depan. — Agensi

MENJELANG saingan musim depan yang bakal bermula tidak lama lagi, setiap pasukan kini sedang sibuk membuat persediaan untuk mempersiapkan barisan pemain terhebat bagi merebut kejuaraan di musim akan datang.

Antara persiapan rapi yang menjadi tumpuan peminat semestinya rombakan barisan pemain hadapan ataupun penyerang pasukan yang kebanyakannya didominasi oleh pemain import.

Sehubungan itu, pasukan Kedah FC merupakan antara yang terawal mengumumkan pemain terbaharu mereka apabila mengikat pemain posisi tengah, Amirbek Jurobaev dari Tajikistan.

Perkara itu disahkan sendiri menerusi laman Facebook rasmi KDA FC menerusi hantaran dimuat naik baru-baru ini.

oaoao

Hantaran dimuat naik di laman Facebook rasmi KDA FC mengenai kemasukan pemain import baharu mereka, Amirbek Jurobaev. — Facebook/KDA FC

Kehadiran pemain import itu bakal mengisi kekosongan kuota import pasukan Sang Kenari selepas menggugurkan dua pemain sensasi mereka pada musim ini iaitu Ronald Ngah dan Mahmoud Al Mardi.

Meskipun pemergian kedua pemain itu mencetuskan pelbagai spekulasi dan persoalan dalam kalangan penyokong, kehadiran Amirbek serba sedikit mampu mengubati kesedihan peminat kerana melihatkan latar belakang pemain ini jelas menunjukkan beliau bukan sembarangan pemain.

Berusia 26 tahun dan berketinggian 1.79 meter, pemain skuad kebangsaan Tajikistan ini telah mewakili pasukan negaranya sejak 2014 dengan 46 penampilan setakat ini.

Musim lepas beliau mewakili United City FC di Liga Filipina dan sebelum ini pernah juga membarisi beberapa kelab terkemuka Asia antaranya Istikhol FC, CSKA Akademia dan Navbahor Namangan FC.

Lebih mencuri tumpuan, usia muda pemain itu cukup menghiburkan hati rata-rata penyokong Sang Kenari apabila ada yang mengharapkan pemain itu kekal beraksi untuk sekurang-kurangnya dua hingga tiga musim.

"Ini baru betul pemain import yang dicari, muda, lincah dan ada rekod yang bagus, bukan asyik nak ambik pemain dah tua yang sudah tidak laku, harap boleh tahan dua musim dia ini," kata Khaliq Amal.

"Import macam ini kita mahukan, bukan skuad kitar semula ataupun stok tak laku, pulun Kedah kasi habis musim depan, Bukit Jalil kami mari," jelas Amri Zailani.

"Ada harapan Kedah nak pergi final nanti, harap barisan tengah lepas ini makin mantap dengan pemain import baru, bawah kendalian nafuzi mesti boleh pergi jauh kali ini," tambah Aiman Radzi.

Dalam pada itu, pemilihan skuad Kedah kali ini dilihat lebih realistik dan jauh lebih matang daripada pasukan-pasukan lain.

Lebih mengutamakan pemain muda dan bukan dalam kalangan pemain yang pernah beraksi di Malaysia, ia merupakan antara perkara yang ditagih bukan sahaja dalam kalangan peminat, malah turut dipercayai boleh memberikan saingan yang lebih kompetitif buat pemain yang sedia ada.

Setakat ini, KDA FC telah pun menandatangani seorang pemain tempatan iaitu Kalamullah Al-Hafiz yang beraksi di posisi penjaga gol.

Kalamullah yang sebelum ini mewakili Petaling Jaya City FC, mempamerkan persembahan cukup cemerlang apabila membantu skuad kebangsaan mencatat kemenangan besar 4-0 menentang Kemboja dalam perlawanan persahabatan baru-baru ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram