PRESTASI merudum dipamerkan skuad Kedah FC pada musim ini menimbulkan pelbagai spekulasi dan hangat diperkatakan khususnya buat penyokong setia pasukan Hijau Kuning.
Terkandas di pusingan 16 terbaik dalam saingan Liga Malaysia musim 2022 dalam perlawanan menentang Negeri Sembilan FC pada aksi timbal balik kedua, taktikal serta gaya permainan kurang menarik dipercayai menjadi punca kemerosotan skuad Lang Merah itu.
Meskipun pernah merangkul gelaran double treble satuketika dahulu, kejayaan itu kian pudar di mata peminat dan sehingga kini rata-rata penyokong merindui zaman kegemilangan tersebut.
Bagi merealisasikan impian itu, pengurusan Kedah berjanji akan membawa revolusi baharu termasuk rombakan dalam barisan kejurulatihan dan barisan pemain agar nafas baharu dapat disuntik ke dalam skuad tersebut di musim depan.
Namun, status penyerang import sensasi Kedah, Ronald Ngah dan pemain sayap kiri import mereka, Mahmoud Al Mardi nyata mencuri perhatian peminat tempatan apabila kedua-dua pemain itu ditamatkan kontrak pada musim ini.
Untuk rekod, pemain tersebut merupakan antara yang banyak menyumbang kemenangan pada skuad Sang Kenari dan berita pemergian mereka mencetuskan persoalan ramai susulan prestasi memberansangkan yang dipamerkan pemain import tersebut.
Pemain sayap Al Mardi dilaporkan bukan sahaja menerima tawaran daripada kelab-kelab domestik, malah turut menjadi idaman di Jordan dan Arab Saudi manakala sentuhan berbisa depan gawang gol Ronald Ngah ataupun lebih dikenali dengan panggilan 'Pak Ngah' itu amat ditagih peminat di musim akan datang.
Ronald Ngah dicabar pemain lawan ketika aksi Liga Super menentang Melaka United.
Bagi pemerhati bola sepak, Zuraimi Zukri, dia tertanya-tanya punca Kedah tidak mengekalkan kedua-dua pemain terbabit.
"Dalam statistik, kadar jaringan dan bantuan gol pemain ini sangat tinggi.
"Tidak senang nak cari pengganti setanding dalam satu jenelah perpindahan untuk dua core players (pemain utama).
"Isu game play (corak permainan) boleh ejas (diatur). Ke isu gaji?" soalnya.
Persoalan Zuraimi itu menarik minat penyokong Kedah yang masing-masing cuba merungkai misteri keputusan Kedah itu.
Adaya yang berpendapat bahawa soal gaji terlalu mahal menjadi punca kedua pemain itu digugurkan.
Mohd Zulfadzli Zainon berkata, pemain sayap Al Mardi berkemungkinan besar terlalu mahal dari segi gaji dan terpaksa digugurkan oleh pengurusan Kedah.
"Mahmoud cuma pemain pinjaman daripada kelab negara dia, mungkin juga soal gaji memainkan peranan besar dalam hal ini dan jurulatih mungkin diberikan kebebasan untuk membawa pemain yang mereka mahukan," katanya.
"Musim depan kelab kena tampung import yang ramai, mungkin tidak berbaloi nak kekalkan mereka dengan prestasi sedia ada ditambah pula dengan sambungan kontrak mesti kena tambah gaji, jadi lebih baik cari import yang lebih murah tetapi mempunyai prestasi di paras pertengahan yang boleh bawa kemenangan kepada pasukan," jelas Faris Cj.
"Aku pun hairan, pak ngah tu bukannya tak bagus, kalau bertahan tak duduk belakang, kedah kalau tukar ramai pemain utama ibarat 'reset' satu pasukan, susah nak cari keserasian jadi jangan harap nak menang trofi, cuma sekadar kekal dalam liga sahaja la," tambah Beck's G-tra.
Susulan pengguguran pemain import tersebut, pengurusan pasukan Kedah difahamkan telah menjalankan tugas pencarian sejak awal musim ini bagi mendapatkan calon yang boleh menggalas cabaran Sang Kenari pada musim mendatang.
Menurut beberapa laporan media, Kedah juga merancang untuk mendapatkan beberapa pemain kelahiran negeri itu yang kini bersama Akademi Mokhtar Dahari (AMD) dan beberapa tonggak pasukan dalam Liga M juga sudah berada dalam senarai penantian, namun identiti pemain itu masih belum boleh didedahkan buat masa sekarang. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram