Pele masih berjuang lawan kanser, sambut Krismas di hospital


  • Podium
  • Ahad, 25 Dis 2022

Mbappe (kanan) menggesa peminatnya mendoakan kesejahteraan buat Pele yang kini kritikal. — Agensi

SELEPAS dimasukkan ke hospital Sao Paulo kerana menghidapi kanser pada November, legenda bola sepak Brazil, Pele dikatakan 'masih berjuang', menurut anak perempuannya.

Kely Cristina Nascimento menerusi satu hantaran di laman Instagram peribadinya pada Sabtu memaparkan pasangan ayah dan anak itu sedang berpelukan dan hanya memaparkan sebahagian wajahnya.

"Kami masih di sini, berjuang dan percaya. Satu malam lagi bersama," tulis Nascimento menerusi mesej yang mengiringi foto itu.

Pele dimasukkan ke hospital Albert Einstein bagi merawat jangkitan pernafasan dan melakukan penilaian semula kemoterapi.

Pada Rabu, Nascimento turut mengumumkan bapanya akan menghabiskan Krismas di hospital selepas doktor memaklumkan bahawa Pele memerlukan 'penjagaan yang lebih teliti'.

WhatsApp Image 2022-12-25 at 12.38.26

Hantaran anak perempuan Pele mencuri perhatian penyokong bola sepak seluruh dunia.

Antara mereka yang menghantar mesej sokongan kepada Pele sejak beberapa minggu kebelakangan ini ialah penyerang Perancis, Kylian Mbappe yang menggesa pengikutnya untuk 'berdoa untuk Pele'.

Catatan terbaharu Pele di Instagram adalah selepas kemenangan Argentina menentang Perancis dalam perlawanan akhir Piala Dunia Ahad lalu, yang mana beliau mengucapkan tahniah kepada pasukan Amerika Selatan itu dan Lionel Messi untuk kemenangan mereka.

Dianggap sebagai pemain bola sepak terhebat, Pele merupakan satu-satunya pemain yang memenangi Piala Dunia sebanyak tiga kali selepas menjulang trofi itu pada 1958, 1962 dan 1970.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, bekas penyerang Santos itu mengalami beberapa masalah kesihatan, termasuk berkaitan tulang belakang, pinggul, lutut dan buah pinggang. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram