ARGENTINA meramalkan laluan sukar menanti mereka di perlawanan separuh akhir Piala Dunia menentang Croatia di Stadium Lusail, Qatar pada pagi Rabu.
Jurulatih Argentina, Lionel Scalon mengakui Croatia memiliki corak permainan tersendiri yang sukar dibaca oleh lawan.
"Kami menjangkakan perlawanan sengit dan kami akan bertemu pasukan gergasi. Mereka memiliki semangat berpasukan yang tinggi.
"Mereka pasti akan menyukarkan laluan kami ke pentas akhir. Mereka memilki gaya tersendiri yang saya tak rasa mereka akan ubah itu.
"Tak boleh nak kata mereka bermain secara bertahan atau menyerang. Saya tak akan namakan sesiapa tapi mereka memiliki pemain yang mampu menggugat kami," jelasnya dalam sidang media sebelum perlawanan pada Isnin.
Juara dua kali Argentina berharap dapat mengelak insiden pada perlawanan suku akhir menentang Belanda berulang lagi yang menyaksikan mereka diseret ke masa tambahan dan penentuan sepakan penalti.
Ini kerana Crotia mencatatkan rekod kemenangan lima daripada enam perlawanan kalah mati Piala Dunia terakhir mereka dengan menyeret perlawanan sehingga melebihi 90 minit.
Pada 1998, Argentina menewaskan Croatia 1-0. Dua dekad kemudian, pada 2018, Croatia membalas dendam, menewaskan La Albiceleste 3-0. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram