PENTAS Piala Dunia 2022 yang diadakan di Qatar pada awalnya menerima respons negatif, terutama daripada warga Barat dengan berasakan negara Timur Tengah itu sering terlibat dengan isu kemanusiaan.
Antara tohmahan pada awalnya dilontarkan adalah apabila perbadanan bola sepak negara itu menolak sebarang unsur homoseksual termasuk lilitan kapten berwarna pelangi yang sinonim dengan gerakan LGBT.
Bagaimanapun, selepas menyaksikan beberapa kejutan di atas padang, laporan yang dikeluarkan semakin menenangkan hati ramai pihak seperti kejayaan wakil Asia melepasi peringkat kumpulan.
Di samping itu, kejayaan Argentina untuk mara ke peringkat akhir turut meningkatkan lagi perasaan orang ramai terhadap kejohanan kali ini dengan penyerang mereka, Lionel Messi mengumumkan ia merupakan kali terakhir buatnya beraksi dalam kempen Piala Dunia.
Mereka bakal berdepan juara edisi lalu, Perancis yang juga bakal melakar sejarah tersendiri dengan menjadi satu-satunya pasukan berjaya mempertahankan gelaran itu sejak diperkenalkan 60 tahun lalu.
Selain itu, terdapat juga beberapa hantaran di media sosial yang berkongsi kenangan manis seperti layanan tuan rumah serta tiada isu jenayah seperti mana dialami dalam episod-episod lepas.
Tidak cukup dengan itu, baru-baru ini, muncul pula beberapa adegan manis buat Muslim seluruh dunia apabila pengunjung mula tertarik dengan keindahan Islam dan budaya di negara berkenaan.
Misalnya, tular di media sosial memaparkan seorang penyokong Argentina berseluar pendek dibenarkan untuk memasuki ruangan salah sebuah masjid di Qatar meskipun pada dasarnya tidak menutup aurat.
Malah, dalam video berkenaan, lelaki yang dilihat ditemani rakannya itu difahamkan bersedia untuk memeluk agama Islam dengan mengucapkan dua kalimah syahadah.
Kejadian yang ditularkan pada awal Disember lalu berjaya menarik perhatian banyak pihak yang bergembira dengan keindahan ditunjukkan rakyat negara tersebut sehingga menambat hati individu tidak dikenali itu.
Setakat artikel ini ditulis, tiada laporan mahupun berita mengenai identiti jejaka tersebut mahupun perkongsian mengenai tempohnya sepanjang berada di Qatar. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram