Selain bayang-bayang mirip import Sri Pahang, kapten Bangladesh turut dalam radar KDA FC


  • Podium
  • Khamis, 22 Dis 2022

Teaser pemain baharu KDA FC yang dijangka akan diumum dalam masa terdekat ini. — Facebook/KDAFC

HARUS diakui keputusan Kedah Darul Aman FC untuk menyingkirkan seramai 17 pemain termasuk lima tonggak import, selain melantik Nafuzi Zain sebagai ketua jurulatih baharu skuad Hijau Kuning bagi musim 2023 seakan-akan amaran awal untuk skuad Sang Kenari bangkit semula.

Selepas melakukan keputusan tersebut, KDA FC dilihat semakin agresif dalam memperkenalkan satu demi satu pemain baharu mereka dan perkara itu jelas membawa kegembiraan buat penyokong yang menginginkan skuad Hijau Kuning kembali mengungguli saingan Liga Malaysia (Liga M).

Antara wajah baharu yang sudah diumumkan pihak pengurusan Kedah ialah dua penjaga gol tempatan, Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi dan Fikri Che Soh, Wan Amirul Afiq, Faizal Talib serta pemain sayap, Zharmien Ashraf.

Selain lima pemain tempatan berkenaan, skuad Sang Kenari juga sudah mengisi dua daripada enam tonggak import pada musim depan apabila membawa masuk Manuel Ott dan Amirbek Juraboev untuk membantu pasukan Lang Merah musim depan.

Kegembiraan melihat senarai pemain baharu Kedah itu tidak terhenti di situ apabila 'teaser' mengenai seorang pemain baharu dimuat naik di laman media sosial rasmi pasukan Kedah berserta kapsyen 'Behold he is coming'.

Lebih mengujakan apabila penyokong pasukan Hijau Kuning mulai berteka-teki dan membuat andaian siapakah gerangan pemain baharu di sebalik gambar bayang-bayang yang dimuat naik tersebut.

Berdasarkan tinjauan Majoriti, rata-ratanya memetik nama penyerang import pasukan Sri Pahang FC, Manuel Hidalgo di sebalik gambar tersebut.

WhatsApp Image 2022-12-21 at 21.24.22

Sri Pahang FC menandatangani Hidalgo pada musim 2021. — Instagram

Hidalgo merupakan tonggak import Tok Gajah sejak musim 2021 dan pemain berasal dari Argentina itu merupakan watak penting yang membantu jentera serangan Sri Pahang selama dua tahun berturut-turut.

Musim ini, penyerang sayap berusia 23 tahun itu berhasil merekodkan tujuh gol dan sepuluh bantuan jaringan dalam 20 penampilan Liga Super bersama pasukan Sri Pahang.

Bagaimanapun, jika benar Hidalgo sudah menandatangani kontrak bersama skuad KDA FC, ia bermakna pihak pengurusan Hijau Kuning membayar pampasan kepada Sri Pahang berikutan dia masih memiliki kontrak selama setahun dengan skuad Tok Gajah.

Selain Hidalgo, seorang bintang import dari Bangladesh turut dikhabarkan berada dalam radar KDA FC dan pemain itu dijangka akan memperkasakan kubu pertahanan pasukan Hijau Kuning.

Bintang import yang dimaksudkan ialah kapten pasukan kebangsaan Bangladesh, Topu Barman.

WhatsApp Image 2022-12-21 at 21.23.45

Kontrak Topu bersama Bashundhara dijangka berakhir pada Ogos 2023. — Facebook/Agensi

Topu mempunyai pengalaman bermain di kelab divsyen negaranya dan antara pasukan yang pernah penggunakan khidmatnya ialah banyak Mohammedan SC,Sheikh Russel,Sheikh Jamal DC,Dhaka Abahani Limited,Saif Sporting Club dan yang terkini Bashundhara Kings.

Pertahanan kental itu juga sebelum ini pernah mendapat tawaran daripada NorthEast United FC yang kini bermain dalam Liga Super India dan sebuah kelab dari divisyen kedua Qatar.

Dengan kehebatan pemain berusia 28 tahun itu dalam mengetuai jentera pertahanan Bashundhara Kings, Topu berjaya membantu pasukannya memenangi Liga Perdana Bangladesh 2021.

Jika benar Kedah sanggup membeli kereta kebal dari Bangladesh itu, ia boleh menjadi pembelian berbaloi buat skuad Sang Kenari berikutan kualiti benteng pertahanan pasukan tersebut sering mendapat kritikan bagi musim 2022.

Masalah pertahanan Kedah musim ini dapat dilihat apabila gawang pasukan berkenaan dibolosi sebanyak 41 gol dalam 22 perlawanan saingan Liga Super. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram