'Saya tak kisah', Benzema respons khabar angin dakwaan beraksi final Piala Dunia 2022


  • Podium
  • Sabtu, 17 Dis 2022

Bintang Real Madrid itu sebelum ini terpaksa melupakan hasratnya untuk beraksi di Piala Dunia 2022 kerana mengalami cedera di pangkal paha.  — Agensi

BERBAKI satu hari lagi Perancis dan Argentina akan bertemu pada perlawanan akhir Piala Dunia 2022 di Qatar pada Ahad selepas bersaing dalam kejohanan menarik penuh kejutan pada edisi kali ini.

Bukan itu sahaja, pusingan akhir kejohanan tersebut juga bakal menyaksikan pertemuan antara bintang ternama, Lionel Messi dengan rakan sepasukannya di Paris Saint Germain (PSG), Kylian Mbappe.

Selain daripada pertembungan dua penjaring terbanyak Piala Dunia 2022 setakat ini itu, mesej misteri daripada pemain kebangsaan Perancis, Karim Benzema turut mendapat perhatian penyokong.

Mesej itu ibarat merujuk terhadap khabar angin sama ada dia akan berada di bangku simpanan untuk perlawanan akhir antara Perancis dan Argentina itu.

Sebelum ini, pemenang Ballon d’Or 2022 itu disahkan terlepas Piala Dunia 2022 selepas bintang Real Madrid tersebut dilaporkan mengalami cedera di pangkal paha, sekali gus melupakan hasratnya untuk beraksi di peringkat Piala Dunia.

Menerusi hantaran di laman Instagram miliknya, Benzema memuat naik gambarnya sambil menulis 'saya tak kisah', penyokong mulai menafsirkan bahawa mesej itu merujuk kepada persoalan mengenai sama ada dia akan berada di Qatar untuk perlawanan akhir Piala Dunia.

WhatsApp Image 2022-12-17 at 11.22.15

Tangkap layar hantaran dari Benzema.

Bagaimanapun, setakat ini tiada penjelasan sepenuhnya dari Benzema dan hanya penyerang berkenaan yang tahu jika dia merujuk kepada perkara itu.

Topik tersebut menjadi semakin hangat sejak beberapa hari kebelakangan ini selepas jawapan yang agak samar dari pengendali Perancis, Didier Deschamps mengenai kemungkinan kemunculan pemain berusia 34 tahun itu di Doha.

"Saya lebih suka beralih kepada soalan seterusnya,” kata Deschamps ketika ditanya selepas pasukannya menang 2-0 ke atas Maghribi pada separuh akhir.

Soalan dari media itu timbul selepas Benzema dilihat menyertai latihan sepenuhnya di Real Madrid dan dia dilihat dalam keadaan cukup cergas untuk menyertai semula skuad Piala Dunia Perancis bagi perlawanan terakhir mereka, tambahan pula dia tidak digantikan mana-mana pemain sebaik digugurkan gara-gara kecederaan sebelum kempen Piala Dunia.

Benzema juga difahamkan berlatih bersama rakan sepasukan Real Madrid di Valdebebas selama seminggu tanpa masalah, selain bermain dalam perlawanan pemanas badan menentang Leganes.

Dalam pada itu, Perdana Menteri Perancis, Emmanuel Macron turut menginginkan agar Benzema turut serta berada di Qatar. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram