IMPIAN Tunisia dan Arab Saudi untuk melangkah ke pusingan 16 terbaik di Piala Dunia 2022 tidak kesampaian meskipun kedua-dua pasukan sempat mencipta sejarah dengan menewaskan gergasi bola sepak dunia pada perlawanan peringkat kumpulan.
Tunisia mengejutkan bekas juara Piala Dunia, Perancis pada Rabu dengan kemenangan 1-0 namun terpaksa akur setelah sekadar mampu menamatkan peringkat kumpulan di kedudukan ketiga Kumpulan D.
Ini kerana jaringan Wahbi Khazri pada minit ke-57 pada perlawanan di Stadium Education City di Ar-Rayyan, Qatar itu tidak memberi makna selepas Australia berjaya menumbangkan Denmark 1-0 pada satu lagi aksi kumpulan D.
Aksi seorang peminat menceroboh padang perlawanan ketika aksi Tunisia-Perancis pada Rabu juga mencuri tumpuan apabila peminat itu membawa bendera Palestin. Dia kemudiannya diarak keluar oleh pihak keselamatan. Namun, penyokong di stadium menyokongnya dengan melaungkan nama 'Palestin'.
Hasil keputusan tersebut, Australia mengutip enam mata untuk mengiringi Perancis ke pusingan 16 terbaik, manakala Tunisia pula akur di tangga ketiga kumpulan dengan mengumpul empat mata, sementara Denmark berada di kedudukan tercorot apabila hanya mampu mengutip satu mata sahaja.
Turut menerima nasib sama adalah pasukan Arab Saudi yang sebelum ini menceriakan blok Asia apabila berjaya mengejutkan pasukan Argentina 2-1di perlawanan pembukaan Kumpulan C pada 22 November lalu.
Arab Saudi yang menduduki ranking ke-51 dunia, ketinggalan menerusi sepakan penalti Lionel Messi pada minit ke-10, tetapi Al-Shehri menyamakan kedudukan pada minit ke-48.
Penyokong Arab Saudi melonjak kegembiraan lima minit kemudian apabila sepakan melencong Al-Dawsari dari luar kotak penalti menerjah masuk ke gawang Argentina sekali gus melakarkan kemenangan bersejarah tersebut.
Namun kemenangan itu merupakan satu-satunya kejayaan Arab setelah tewas 0-2 ketika menentang Poland Sabtu lalu sebelum rebah 1-3 di tangan Mexico pada awal pagi Khamis.
Dengan keputusan itu, Poland mengiringi Argentina yang menjuarai Kumpulan C mara ke peringkat kalah mati.— Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram