Trend satu sukan, satu kaum, apakah politiking jadi punca?


  • Podium
  • Jumaat, 23 Dis 2022

Kontijen Malaysia ketika berarak pada majlis perasmian Sukan Olimpik di Tokyo, Jepun pada Julai tahun lalu. — Agensi

NEGARA ini sudah menuju ke arah satu sukan satu kaum, kata Datuk Dr Pekan Ramli.

Penganalisis sukan itu meluahkan kebimbangannya tentang elemen perpaduan dalam industri sukan yang sedikit longgar, terutamanya jika dikaitkan dengan keadaan politik negara ketika ini.

Oleh sebab itu, beliau tidak menafikan terdapat beberapa jenis sukan yang hanya didominasi sesuatu kaum.

"Ini yang kita perlu lihat semula, adakah kerana yang lain tiada bakat?

"Adakah kerana wujudnya politiking dalam pemilihan pemain dan sebagainya?

"Kalau kita melihat dari segi aspek keterlibatan atlet, di situ kita dapat melihat trend satu sukan satu kaum. Tetapi, ia juga bergantung kepada jenis sukan," katanya tanpa menyebut jenis sukan berkenaan.

Beliau berkata, perkara tersebut perlu diambil perhatian terutamanya dalam sukan massa yang kurang memberi tumpuan kepada pembabitan masyarakat berbilang kaum.

Jika dibiarkan, katanya, ia mungkin menyebabkan perpaduan tidak wujud manakala pergaulan semakin longgar.

"Bersukan hanya sebab nak jaga kesihatan tetapi tidak wujud satu bonding yang kuat di antara masyarakat kita. Ini juga bermaksud tiada program berterusan seperti mana Piagam Olimpik," katanya.

Screenshot 2022-12-23 190832

Pekan Ramli ketika diwawancara dalam program Selamat Pagi Malaysia pada Jumaat.

Beliau berkata demikian ketika wawancara program Selamat Pagi Malaysia, bertajuk Suntik Perpaduan Melalui Sukan yang disiarkan di RTM pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Pekan Ramli berkata, Piagam Olimpik bukan sahaja bergabung dengan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), malah turut bekerjasama dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) atau UN untuk terus mempromosikan elemen perpaduan dan keamanan.

Jelasnya, dua elemen dalam setiap negara itu dianggap sebagai ejen penyatuan bangsa negara.

"Ini berikutan mereka tidak mahu berlaku pergerakan peperangan seperti mana sebelum ini. Itu keutamaan diberi IOC agar mereka boleh mengetahui sebarang perpecahan dalam mana-mana negara.

"Itu punca mereka beri tekanan kerana tahu sukan beri keupayaan membawa mesej perpaduan dan keamanan menerusi pembabitan dalam Sukan Olimpik," tambahnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram