Cari kunci baiki kelemahan bek tengah, pemerhati ulas menjelang aksi Harimau Malaya-Maldives


  • Podium
  • Ahad, 11 Dis 2022

Pan-gon perlu memberi tumpuan kepada kombinasi bahagian tengah pasukan yang dilihat tidak seimbang ketika ini. — MFL

AKSI pemanas badan Harimau Malaya menentang Kemboja untuk kempen Piala AFF 2022 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Jumaat lepas sememangnya mendapat perhatian ramai.

Ini kerana skuad itu tidak dibarisi muka-muka regular memandangkan sebahagian pemain bintang dari kelab Johor Darul Takzim (JDT) yang tidak menyertai kem latihan skuad kebangsaan.

Begitupun 'air tangan' ketua jurulatih, Kim Pan-gon agak menjadi selepas Harimau Malaya mencipta kemenangan 4-0 ke atas Pahlawan Angkor.

Selepas Kemboja, aksi persahabatan menentang Maldives pada 14 Disember ini pula menjadi perhatian memandangkan Pan-gon dijangka akan meneruskan eksperimen bagi mencari ramuan terbaik untuk perlawanan sebenar pada 21 Disember nanti.

Mengulas mengenai perkara itu, penganalisis sukan, Datuk Dr Pekan Ramli percaya Pan-gon sedang mengenal pasti pemain-pemain mengikut posisi untuk mencipta keserasian dalam pasukan.

"Pan-gon pastinya sedang mencari pemain yang sesuai dengan posisi masing-masing bagi mewujudkan chemistry adunan yang bersepadu sesama pemain yang kelihatan masih lagi longgar sewaktu aksi menentang Kemboja.

"Memang dia terpaksa terus bereksperimen terutama dengan separuh pemain baharu yang berada dalam skuad Harimau Malaya kali ini," katanya kepada Majoriti.

318972846_845520626521175_7663820781532803741_n

Keserasian antara pemain dalam pasukan antara ramuan yang dicari Pan-gon menjelang aksi Piala AFF. — MFL

Pekan berkata, menjadi amalan biasa bagi seseorang jurulatih untuk bereskperimen dalam pemilihan pemain bagi mewujudkan kesebelasan utama yang mantap.

"Kita harap proses ini atau eksperimen yang dilakukan Pan-gon akan siap sepenuhnya sebelum bermula AFF nanti.

"Jangan nanti eksperimen masih lagi berjalan sewaktu kejohanan berlangsung," katanya lagi.

Mengulas lanjut, Pekan berkata, tumpuan Pan-gon juga perlu terarah untuk melihat kombinasi bahagian tengah pasukan yang tidak seimbang ketika ini.

"Dia kena lihat pemain yang kerap kehilangan bola dan tahap kecergasan beberapa pemain naturalisasi yang nampaknya seperti tidak fit selain gagal mewujudkan persefahaman baik," katanya.

Katanya, jurulatih dari Korea Selatan itu masih ada beberapa local material yang boleh dicuba dalam aksi bertemu skuad Red Snappers kelak.

"Saya percaya bayangan kesebelasan utama Harimau Malaya sudah berada dalam 60 ke 70 peratus dalam pemikiran Pan-gon," ujarnya.

318341843_845520669854504_7608400525205921537_n

Sentuhan Safawi sebagai kapten Harimau Malaya semakin tajam dan tahap keyakinannya juga nampak sudah kembali. — MFL

Sementara itu, ketika ditanya mengenai persembahan Safawi Rasid, Pekan berkata, dia melihat ada sinar cerah buat kapten Harimau Malaya itu yang sebelum ini berikar mahu memperbaiki kariernya.

"Ibarat rezeki pengantin baru, sentuhannya dilihat semakin tajam, tahap keyakinannya juga sudah kembali dengan melakukan percubaan bahaya dari luar kawasan penalti.

"Saya yakin dia boleh bersedia untuk berada dalam kesebelasan utama pada AFF nanti," kata Pekan.

Skuad Harimau Malaya akan memulakan kempen Piala AFF di Stadium YTC Thuwanna, Myanmar menentang negara itu pada 21 Disember sebelum beraksi di tempat sendiri ketika bertemu Laos pada 24 Disember. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram