BELUM pun cukup seminggu memegang jawatan sebagai Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim sudah mendapat kecaman beberapa pihak berhubung kenyataan yang dianggap kontroversi.
Dalam sidang media pertamanya, beliau dipetik sebagai berkata, industri sukan negara mempunyai potensi untuk berkembang dengan lebih pesat, namun tindakan perlu diambil untuk memastikan tiada lagi kerosakan berlaku akibat masalah korupsi, selain menentukan sektor itu tidak dianaktirikan selepas ini.
Katanya, arena sukan negara seharusnya bebas daripada sebarang amalan korupsi, ketidakcekapan dan ketirisan bagi mengangkatnya ke tahap lebih tinggi.
Antara tampil membidas termasuk Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Datuk Seri Dr Mohamad Norza Zakaria yang menggesa beliau menjustifikasikan dakwaannya berkaitan persatuan sukan dilanda unsur rasuah.
Adam Adli (kiri) bersama Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh ketika melawat padang Stadium Nasional Bukit Jalil, di ibu negara baru-baru ini. — Twitter Adam Adli
Mohamad Norza berkata, Adam Adli tidak wajar, tidak adil dan prejudis kerana selama berdekad, pelbagai badan sukan negara berjaya melahirkan juara dunia dalam bidang masing-masing.
Timbalan Presiden MOM, yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin juga berkata, adalah tidak adil bagi Ahli Parlimen Hangh Tuah Jaya itu untuk membuat prasangka terhadap Persatuan Sukan Kebangsaan (NSA) tanpa melibatkan mereka terlebih dahulu.
Naib Presiden MOM, yang juga Presiden Persekutuan Wushu Malaysia (WFM), Datuk Chong Kim Fatt, meluahkan kekecewaannya dengan kenyataan yang hanya boleh disifatkan sebagai populis.
Pekan Ramli — Bernama
Mengulas mengenai perkara itu, pensyarah kanan di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Datuk Dr Pekan Ramli menganggap kenyataan Adam Adli sebagai suatu permulaan negatif, yang tidak sepatutnya diucapkan sebagai 'mukadimah' atau 'salam pengenalan' sebagai Timbalan Menteri Belia dan Sukan yang baharu.
Justeru, beliau yang juga penganalisis sukan tempatan itu berharap agar tuduhan atau kenyataan seperti itu tidak dijadikan sebagai suatu 'trend' atau ikutan kepada kepimpinan baharu apabila berlakunya peralihan kuasa.
Pekan tidak menolak kemungkinan bahawa, industri sukan akan mundur sepuluh kali ke belakang sekiranya perkara itu berulang.
"Saya ingin bertanya juga, apakah kenyataan dan persepsi sebegitu rasanya layak dibalas dengan ucapan 'Selamat Datang' atau kehadiran seseorang Timbalan Menteri yang baharu itu nanti sangat dialu-alukan oleh warga sukan, khususnya persatuan-persatuan sukan kebangsaan. Jawapannya pastilah suam-suam kuku, ramai nanti yang mungkin tidak terasa pun ada atau tiada pun jawatan itu.
"Itulah sebabnya orang-orang tua dulu pun dah berpesan: 'bercakap siang pandang-pandang, bercakap malam dengar-dengar'. Atau 'bila berjalan peliharakan kaki, bila berkata peliharakan lidah.
"Rasanya lebih elok kalau ibarat buah cempedak di luar pagar, ambil galah tolong jolokkan, saya budak baru belajar, kalau salah tolong tunjukkan," katanya kepada Majoriti.
Adam Adli (dua dari kiri) menyantuni bekas atlet badminton negara, Rahman Sidek — KBS
Mengulas lanjut, beliau yakin bahawa banyak persatuan sukan kebangsaan atau organisasi sukan negara yang pasti terpedaya dengan kenyataan dalam bentuk tuduhan tersebut.
"Pasti banyak yang tersedak dan terbatuk dan siapa yang makan cili, dia yang terasa pedasnya.
"Lain orang yang makan nangka, lain orang yang terkena getahnya," katanya.
Pada masa sama, beliau berharap agar Timbalan Menteri cepat belajar, seterusnya memahami bahawa persatuan-persatuan sukan atau organisasi sukan tidak mempunyai urusan kontrak atau tender bernilai jutaan ringgit, malah puluhan juta atau ratusan juta ringgit.
Hal ini kerana, kelangsungan hidup mereka sangat kritikal, yang mana yang benar-benar ada kemahuan sahaja sanggup kekal menguruskan persatuan-persatuan sukan kebangsaan itu atas dasar sukarela.
"Namun, yang akan mendapat 'mileage' atas kejayaan atlet negara yang mencipta kejayaan di peringkat serantau dan dunia adalah Pak Perdana Menteri, Menteri Belia dan Sukan dan Timbalannya yang dulukan 'tweet' ucapan tahniah atau mungkin menyambut di KLIA (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur) nanti," tambahnya.
Adam Adli yang merangkap Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) merupakan antara 27 timbalan menteri yang mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, di Istana Negara, Sabtu lepas. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram