Budak lelaki lemas, Saga dipandu bapa terjunam sungai di Jitra


  • 112
  • Rabu, 14 Dis 2022

Seorang kanak-kanak ditemui mati lemas selepas gagal keluar daripada kereta yang ditenggelami air sungai. — Bernama

SEORANG kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun yang hilang selepas kereta Proton Saga dipandu bapanya terbabas ke dalam Sungai Korok, Jitra, Kedah ditemui lemas pada Rabu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2 petang itu, mangsa, Muhammad Khairil Muhaimin Shuhaimi dipercayai maut selepas gagal keluar daripada kenderaan dipandu bapanya Shuhaimi Hassan, 37.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Kedah, Sayani Saidon berkata, bapa dan ibu mangsa Nurul Aqmar Zainul, 35, yang sedang mengandung tujuh bulan berjaya menyelamatkan diri.

"Kenderaan dipandu bapa mangsa sedang dalam perjalanan dari Tanjung Kapur ke pekan Jitra sebelum hilang kawalan dan terbabas ke dalam Sungai Korok dan tenggelam,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian tersebut pada pukul 2.23 petang dan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Jitra telah ke lokasi untuk melakukan operasi mencari dan menyelamat.

Katanya, operasi mengambil masa kira-kira dua jam sebelum berjaya mengeluarkan mangsa yang terperangkap sebelum disahkan meninggal dunia.

"Semasa menemukan kenderaan tersebut, mangsa masih dalam kenderaan dan kami mengeluarkan mayat dari kenderaan.

"Kereta terbalik ke dalam sungai sedalam lima meter dan dipercayai menyebabkan kanak-kanak itu gagal menyelamatkan diri,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Supritendan Rodzi Abu Hassan berkata, mayat telah dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram