Dilepaskan TFC, 3 sebab kenapa KDA FC, Kelantan dan Pahang patut berebut Tchetche Kipre musim depan


  • Podium
  • Khamis, 22 Dis 2022

Ke manakah hala tuju Kipre selepas khidmatnya tidak lagi ditagih skuad Sang Penyu musim depan? — Facebook/Terengganu FC

KEHILANGAN ketua jurulatih, Nafuzi Zain yang berhjirah ke Kedah Darul Aman (KDA) FC menyebabkan pasukan Pantai Timur itu terpaksa membawa masuk wajah kendalian baharu untuk musim depan.

Hal itu termasuk melakukan rombakan terhadap skuad sedia ada bagi memastikan acuan pasukan dibuat berdasarkan kemahuan Tomislav Steinbruckner yang dipilih sebagai ketua jurulatih baharu.

Antara langkah awal yang dibuat adalah dengan menamatkan kontrak sebahagian besar daripada tonggak skuad apabila sumbangan dan kemampuan mereka mula diragukan berdasarkan pemerhatian musim lalu.

Penyerang import, Tchetche Kipre menjadi salah satu mangsa kepada rombakan secara besar-besaran itu meskipun dia cukup cemerlang di hadapan pintu gol lawan dalam kempen Liga Super.

Berdasarkan statistik musim lalu, pemain tersebut muncul sebagai salah satu penggempur terbaik apabila dia menjaringkan 13 gol daripada 14 penampilan.

WhatsApp Image 2022-12-21 at 18.21.16

Tomislav bakal memegang tampuk kejurulatihan Terengganu musim depan. Facebook/Terengganu FC

Selain itu, pemain kelahiran Ivory Coast itu turut menampilkan persembahan cemerlang dalam kedua-dua kejohanan Piala FA dan Piala Malaysia termasuk menjaringkan gol ketika tewas kepada Johor Darul Takzim (JDT) dalam final Piala FA.

Namun, dengan usianya sudah mencecah 35 tahun, pihak pengurusan dan kejurulatihan mengambil keputusan untuk melepaskan Kipre dengan tidak menawarkan kontrak lanjutan kepada pemain berkenaan.

Perkara itu terbukti apabila dia bergelut dengan isu kecederaan dan kecergasan ketika pertengahan musim sehingga menyebabkan skuad Sang Penyu tercicir beberapa mata berharga.

Berdasarkan khabar angin ketika ini, beberapa pasukan difahamkan berminat untuk mendapatkan khidmat penyerang bertubuh sasa itu bagi memperbaiki jentera serangan mereka.

Melihat kepada situasi Liga Malaysia dalam jendela perpindahan 2022, Kedah Darul Aman (KDA) FC, Kelantan FC dan Sri Pahang perlu merebut sentuhan Kipre untuk mempersiapkan pasukan bagi musim depan.

Walaupun pendapat itu pastinya ditolak segelintir berikutan beberapa faktor, terdapat tiga sebab yang perlu dipertimbangkan kesemua kelab berkenaan, sekali gus meneruskan lagi legasi penyerang itu dalam kancah bola sepak tempatan.

1. Dilepaskan Terengganu

Seperti mana yang diperkatakan pada awal tadi, Kipre merupakan salah satu pemain yang dilepaskan Terengganu FC selepas kehadirannya dilihat tidak sesuai dengan pendekatan taktikal Tomislav.

Oleh itu, perkara tersebut merupakan satu kelebihan buat mana-mana pasukan yang berhajat untuk mendapatkan penyerang berketinggian 1.72m itu dari aspek kos perbelanjaan.

Berdasarkan peraturan asas bola sepak, pemain yang dilepaskan mempunyai hak untuk menyertai mana-mana kelab yang terbuka untuk menawarkan gaji seperti mana yang dikehendaki.

Selain itu, melihat kepada struktur kewangan KDA FC, Kelantan FC dan Sri Pahang FC, ia pasti bukan satu cabaran buat mereka sekiranya mahu mendapatkan tandatangan pemain itu.

Bagi KDA FC, kehadiran pemilik baharu, Tan Sri Mohd Daud Bakar bukanlah satu sebab untuk skuad Sang Kenari berbelanja secara boros ketika tempoh perpindahan pemain ketika ini.

Melihat kepada aktiviti mereka kebelakangan ini, mereka hanya memilih untuk membawa masuk pemain yang dilepaskan kelab masing-masing termasuk Manuel Ott dari Terengganu FC.

Kedah’s Tchetche Kipre has been a real standout for the club in the Super League with 10 goals and 11 assists. - Photo by Kedah Darul Aman FC

Kipre pernah beraksi dengan cemerlang ketika mewakili KDA FC untuk semusim. Facebook/Kedah Darul Aman FC

Hal itu menunjukkan bahawa mereka memilih untuk berbelanja dengan bijak untuk mengelak pasukan Utara tanah air terjebak dengan isu kewangan dan pengurusan.

Kelantan FC juga dilihat mengambil pendekatan itu dengan khabar angin menyebut pihak pengurusan tidak bercita-cita untuk melakukan pelaburan secara besar-besaran.

Meskipun kepulangan mereka ke divisyen teratas Liga Malaysia sudah dinantikan untuk bertahun-tahun, pemilik pasukan, Norizam Tukiman menegaskan dia akan melakukan perancangan secara teliti terlebih dahulu.

Sementara itu, Sri Pahang turut difahamkan tidak mahu terjebak dengan isu kewangan apabila mereka difahamkan hanya akan mengambil beberapa pemain secara pinjaman bagi meningkatkan kualiti skuad.

Keberadaan Kipre sebagai salah seorang pemain yang tidak terikat kepada mana-mana pasukan menjadi satu kelebihan, apatah lagi dia bukanlah seseorang yang kerap terpalit dengan isu permintaan gaji sebelum ini.

2. Ketiadaan penyerang dalam ketiga-tiga pasukan

Rombakan terhadap skuad bukan sahaja dilakukan Terengganu FC, malah beberapa kelab Liga Malaysia lain turut dilihat giat menamatkan kontrak sebilangan besar pasukan masing-masing.

KDA FC merupakan antara salah satu pasukan yang enggan berdiam diri sejak pembukaan jendela perpindahan apabila mereka mengumumkan kesemua pemain import akan dilepaskan.

Ia termasuk penyerang bertubuh tegap, Ronald Ngah Wanja apabila penyokong tidak henti-henti berharap agar pemain kelahiran Cameroon itu tidak lagi dikekalkan musim depan.

Hal itu adalah kerana pemain berusia 31 tahun berkenaan tidak beraksi dengan baik sehingga memaksa rakan sepasukan memberi hantaran berkualiti kepadanya setiap kali diturunkan.

Oleh itu, ketiadaan 'Pak Ngah' pasti memerlukan satu pengganti yang serasi dan Kipre dilihat sebagai salah satu pilihan yang baik jika mereka berhasrat untuk meneruskan rentak serangan pasukan.

1643380

Ngah Wanja disahkan tidak akan bersama KDA FC musim depan. Facebook/Kedah Darul Aman FC

Selain itu, pengalaman Kipre bersama KDA FC pada 2021 menjadi satu tarikan utama, apatah lagi sumbangannya buat pasukan membantu pasukan itu menduduki tangga kedua Liga Super.

Bagi Kelantan FC dan Sri Pahang FC pula, kedua-dua pasukan dijangka akan tumpul di posisi tersebut apabila mereka turut berdepan masalah yang sama seperti KDA FC.

Selepas beraksi dengan cukup baik bersama skuad Tok Gajah, penyerang kelahiran Colombia, Steven Rodriguez terpaksa pulang ke majikan asalnya, Independiente Medellin.

Ketika ini, mereka dikhabarkan sedang berusaha untuk mendapatkan seorang lagi bekas penyerang Terengganu, Kpah Sherman di samping seorang lagi pemain import, Lucas Silva dari Penang FC.

Kelantan FC turut dilihat akan berdepan masalah tersebut meskipun berjaya mengekalkan khidmat penjaring terbanyak tempatan Liga Perdana, Nurshamil Abd Ghani.

Bagaimanapun, pemain tersebut kerap berdepan isu kecergasan apabila dia kerap disisihkan sehingga sedikit sebanyak merugikan The Red Warriors (TRW).

3. Kuota import ditambah

Pada Ogos lalu, pihak Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengumumkan bahawa terdapat perubahan secara besar-besaran bakal dibuat terhadap struktur liga tempatan.

Hal itu termasuk menyaksikan pertambahan pasukan Liga Super kepada 18 pasukan, yang mana sebelum ini hanya dibarisi sebanyak 12 pasukan, sekali gus meningkatkan jumlah perlawanan.

Meskipun setakat ini hanya 15 pasukan disahkan bakal bersaing, perkara tersebut dilihat tidak mengganggu agenda MFL mahupun perubahan yang sudah dirangka sebelum ini.

Perkara tersebut termasuk tindakan meningkatkan jumlah pemain import dalam pasukan daripada lima kepada sembilan bertujuan untuk memberi peluang dalam penggiliran pemain.

Oleh itu, peluang tersebut dijangka bakal disambar pasukan-pasukan musim depan dengan meningkatkan jumlah import dalam skuad bertujuan untuk meningkatkan kualiti pasukan.

1788221

Kipre merupakan antara import terbaik Liga Super pada 2022. Facebook/Terengganu FC

Hal tersebut adalah kerana mereka memiliki kelebihan dari segi fizikal dan kemampuan di atas padang dengan rata-rata pasukan mendambakan kehadiran mereka setiap kali bermain.

Oleh itu, kehadiran Kipre yang ketika ini tidak terikat boleh memberi kelebihan meskipun ada pihak yang mempersoalkan baki-baki tahunnya buat pasukan.

Selain itu, keputusan untuk menambah kuota import juga menjadi satu kelebihan apatah lagi dengan jumlah permainan bakal meningkat kepada 28 ketika Liga Super 2023.

Namun, persoalannya, dengan lambakan import yang lebih muda dalam Liga Malaysia kebelakangan ini, adakah akan ada mana-mana kelab tertarik untuk mendapatkan khidmat pemain Ivory Coast itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram