[VIDEO] 'Fans' usik adik Safawi, pro-kontra jika ubi muda JDT sarung jersi Hijau Kuning


  • Podium
  • Ahad, 18 Dis 2022

Alfi (tengah) membantu JDT III menjuarai Piala Presiden 2022. — Facebook 

ADIK kepada pemain Johor Darul Takzim (JDT), Safawi Rasid iaitu Alfi Rasid baru-baru ini ada memuat naik Instastory seolah-oleh memberi bayangan akan menyertai pasukan Kedah Darul Aman (KDA) FC.

Pemain skuad JDT III untuk Piala Presiden itu seolah-olah memberi hint perpindahannya ke Sang Kenari melalui gambar pintu gerbang Kedah bersama dengan emoji hati berwarna hijau kuning.

Memperkuatkan lagi dakwaan itu, Alfi turut menyertakan sekali emoji bola sepak dan lelaki berlari seakan-akan ingin memberitahu penghijrahannya.

Jika rumours itu benar, Alfi bakal mengikut jejak langkah abangnya yang tidak akan menyarung jersi JDT musim depan apabila bakal dipinjamkan ke kelab Liga 1 Thailand, Ratchaburi FC.

Berikut merupakan pro kontra kerjaya bola sepak Alfi di skuad Hijau Kuning.

83243778_2412375908866422_1197963277611565056_n

Alfi menyertai JDT III pada 2020 daripada pasukan liga amatur Terengganu FC, Dspex FC. — Facebook

Pro

Bakat pemain berusia 22 tahun itu digilap selepas menyertai JDT III pada 2020 daripada pasukan liga amatur Terengganu FC, Dspex FC.

Bersama skuad KDA FC, Alfi boleh memajukan karier bola sepaknya dengan bimbingan ketua jurulatih baharu, Nafuzi Zain yang merancang untuk menggilap bakat-bakat muda di kelab tersebut.

Kredibiliti Nafuzi tidak boleh dipertikaikan lagi kerana bekas pengendali skuad Sang Penyu itu berjaya mewujudkan identiti bola sepak Terengganu serta melahirkan ramai pemain-pemain muda berbakat.

Selain mendapat asuhan Nafuzi, Alfi berpeluang mengumpul seberapa banyak minit permainan bagi mematangkan permainannya.

Pemain yang berasal dari Dungun itu juga berpeluang 'naik pangkat' dan menimba pengalaman beraksi di skuad utama Kedah selain berpotensi dipanggil ke skuad kebangsaan.

"Main dengan kelab lain boleh dapat minit permainan dalam liga yang lebih tinggi. Dengan usia dan kemahiran, mana tau bagus untuk skuad Malaysia," ujar seorang penyokong Kedah, Asyraf Sunlay di laman Facebook penyokong, The Red Eagle.

293236975_2338805762949376_6093250197418431014_n

Alfi membantu JDT III menjuarai Piala Presiden 2022. — Facebook

Kontra

Tidak dinafikan Alfi menempa nama di skuad JDT selepas pasukan ketiga itu menjuarai Piala Presiden 2022.

Sebagai antara kelab elit di Malaysia, JDT menyediakan fasiliti terbaik kepada pemain untuk mengembangkan bakat masing-masing.

Alfi boleh mencontohi pemain-pemain skuad JDT II seperti Feroz Baharuddin, Daryl Sham dan Hong Wan yang sudah memulakan debut mereka dengan skuad utama musim ini.

Selain fasiliti latihan, kelab Harimau Selatan turut menyediakan yang terbaik untuk pemain dari segi kebajikan dan peluang untuk ke tahap lebih tinggi termasuk bermain di peringkat antarabangsa.

Aksi Alfi dan Safawi melakukan #stayathomechallenge ketika negara menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan ekoran pandemik Covid-19. — Facebook / JDT Live Channel

Pemain JDT juga boleh berbangga dengan kejayaan-kejayaan kelab seperti kejuaraan quadruple musim ini apabila menyapu bersih empat piala iaitu Piala Malaysia, Piala Liga Super, Piala FA dan Piala Sumbangsih.

"Pawi ke Thailand, adik singgah Lokstaq (Alor Setar), awat (kenapa) tak nak main bunga api ke?," usik seorang penyokong Hapiz Muiz.

Dari sudut ini, KDA FC mungkin belum boleh selevel memandangkan di bawah pemilikan baharu, kelab itu masih bergelut untuk menerapkan ideologi dan falsafah bola sepaknya.

Apapun pilihan Alfi, penyokong pastinya mahu melihat dia terus maju jaya dalam karier dan menjadi permata bola sepak negara yang mengharumkan nama Malaysia suatu hari nanti. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram