Khuzaimi ke Selangor, tapi ada pula 'puak' yang kurang senang


  • Podium
  • Rabu, 21 Dis 2022

Khuzaimi disahkan sebagai rekrut baharu Gergasi Merah untuk memperkukuhkan benteng pertahanan pasukan. — Facebook/Selangor FC

DALAM usaha memperkukuhkan skuad untuk saingan Liga Super musim depan, Selangor FC mengambil keputusan untuk membawa masuk pemain Harimau Malaya, Khuzaimi Piee.

Dia yang sebelum ini bermain untuk Negeri Sembilan FC berjaya membuktikan kemampuannya dengan menjadi salah satu tonggak yang membantu skuad Jang menduduki tangga keempat liga.

Kebolehannya untuk mencipta gandingan serasi di benteng pertahanan juga menjadi satu tarikan selepas pasukan tersebut merekodkan tujuh perlawanan tanpa dibolosi.

Selain itu, prestasi Khuzaimi atau juga dikenali sebagai Jimmy bersama skuad kebangsaan turut diberikan pujian apabila negara mampu menamatkan penantian lebih 40 tahun untuk layak ke saingan Piala Asia.

Jadi, tidak hairanlah apabila kehadirannya ke dalam skuad Gergasi Merah musim depan memberi satu kelebihan buat pasukan yang menghadapi tahun berolak-alik prestasinya.

Di samping Khuzaimi mampu melakukan bentesan-bentesan kemas, hantarannya juga jarang mengecewakan dengan dia kerap melancarkan serangan balas daripada posisi pertahanan.

Dalam 19 penampilan Liga Super musim lalu, pemain berusia 29 tahun itu mencipta satu hantaran gol berpunca daripada sepakan percuma ketika berdepan Sri Pahang FC.

Perkara tersebut membuktikan bahawa keputusan Selangor FC untuk membawa masuk Khuzaimi merupakan satu langkah yang progresif bagi menyuntik perubahan terhadap pasukan.

Hal itu turut dipersetujui rata-rata penyokong Gergasi Merah dengan ruangan komen dalam setiap laman media sosial pasukan dibanjiri luahan bersemangat selain tidak sabar-sabar melihat kelibat pemain itu.

1825372

Jimmy merupakan antara pemain terbaik dimiliki Negeri Sembilan FC musim lepas. — Facebook/Negeri Sembilan FC

Bagaimanapun, satu perkara yang mengejutkan adalah apabila terdapat komen-komen kurang menyenangkan dengan berpendapat kehadiran pemain itu tidak akan memberi perbezaan terhadap skuad Lembah Klang itu.

"Hahahaha, tiada gunanya pun dia sertai Selangor FC kerana kelab tersebut bukanlah hebat mana sekalipun," kata Che Engku Abdul Ammar.

"Tak menang piala lagi musim depan, tidak tahulah Selangor FC ni. Hampir semua pemain kebangsaan dia bawa masuk," kata Muhammad Azhar Azhar Mahmud.

Tidak cukup dengan itu, ada juga yang mendakwa tindakan menyambar khidmat Khuzaimi merupakan taktik untuk melemahkan pasukan seperti mana penyokong bola sepak tempatan pernah mengatakan ia adalah taktik Johor Darul Takzim (JDT) sebelum ini.

"Kalau masuk JDT, mesti keluar ayat yang mengatakan ia adalah cara untuk melemahkan pasukan lawan," kata Fandi Wahid.

"Bayangkan kalau kelab lain yang dapatkan pemain, mesti ada yang cakap gunakan taktik pintu belakang hahahah," kata Encik Ahmad.

Setakat ini, selain Khuzaimi, Selangor FC sudah berjaya membawa masuk seorang lagi pemain iaitu pertahanan kiri, V Ruventhiran daripada Petaling Jaya (PJ) City FC.

Berdasarkan khabar angin yang berlegar di media sosial, bekas penyerang Terengganu FC, Faisal Halim akan menjadi rekrut ketiga pasukan selepas dia disahkan meninggalkan pasukan Pantai Timur itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram