LIGA Super 2022 boleh disifatkan antara yang terbaik pernah disajikan kepada penyokong bola sepak tempatan dengan pelbagai kejutan serta kehebatan berjaya dipamerkan.
Antaranya, peningkatan mendadak yang ditunjukkan Negeri Sembilan FC membuka mata ramai pihak mengenai pasukan yang baru sahaja muncul sebagai juara Liga Perdana musim sebelum itu.
Kepulangan bekas ketua jurulatih, K Devan yang membimbing skuad Jang sejak 2021 dikatakan sebagai titik permulaan apabila mereka sebelum itu hanya merupakan pasukan belasahan.
Tidak cukup dengan itu, kehadiran bintang-bintang baharu, seperti Khuzaimi Piee dan Syihan Hazmi menjadi tonggak di sebalik kejayaan yang sukar untuk dilupakan itu.
Namun, persoalannya, mampukah mereka mengekalkan momentum yang diperolehi itu apabila kelab-kelab Liga Malaysia mula menyambar khidmat beberapa pemain.
Baru-baru ini, Selangor FC mengumumkan mereka berjaya mendapatkan khidmat Khuzaimi selepas dia membuktikan kemampuannya sebagai salah seorang pertahanan terbaik dimiliki negara.
Skuad Jang bakal kehilangan beberapa pemain ketika jendela perpindahan kali ini. — Facebook/Negeri Sembilan FC
Selain itu, khabar angin kuat mengatakan Syihan bakal menjadi milik Johor Darul Takzim (JDT) dengan dia sudah disahkan tidak akan berada bersama skuad Jang musim depan.
Beberapa nama turut difahamkan tidak akan menyambung kontrak masing-masing, termasuk pertahanan kiri, Khair Jones yang sehingga kini masih tidak terikat dengan mana-mana kelab.
Bagaimanapun, berita buruk sepertinya bakal menimpa penyokong juara dua kali Liga Super itu apabila masa depan penyerang import, Gustavo semakin samar-samar.
Musim ini, pemain bertubuh tegap itu merupakan antara penggempur terbaik dalam kancah bola sepak tempatan apabila dia menjaringkan sembilan gol dalam 13 penampilan.
Di samping itu, namanya juga sering disebut-sebut dalam kalangan penyokong Negeri Sembilan FC apabila dia tidak perlu masa yang lama untuk menyesuaikan diri walaupun dia hanya menyertai kelab pada Jun lalu.
Tetapi, melihat kepada satu hantaran dalam laman Instagram peribadinya pada Selasa, dia seakan-akan memberi bayangan bahawa dia tidak akan kekal untuk musim depan.
Gustavo (kiri) berjaya membina keserasian bersama Matheus Alves. — Facebook/Negeri Sembilan FC
"Musim ini menunjukkan satu tahun dengan prestasi turun dan naik, tetapi itulah kehidupan. Satu lagi cabaran tiba dan sudah berakhir, terima kasih kepada kesemua barisan kejurulatihan dan rakan-rakan," tulisnya.
Walaupun tiada pengumuman rasmi mengenai status kontrak pemain kelahiran Brazil itu setakat ini, ia sudah cukup untuk mengaburi mata penyokong yang berasa berang terhadap pihak pengurusan.
"Setiap kali pasukan hendak naik dan bangkit, pasti pemain akan berhijrah ke pasukan lain. Harap musim depan dapat kekal lagi dalam Liga Super," kata Azamuddin Amran.
"Bosannya Negeri Sembilan FC, setiap tahun akan tukar pemain. Tidak pernah kekal dengan semua yang bagus. Asyik-asyik tiada duit sahaja," kata Beil Nabil.
"Sudahlah bajet tidak ada setiap musim, pihak pengurusan patutnya cari pemain yang elok. Kalau macam ini sahajalah, memang akan kekal sama sahajalah rasanya," kata Akramin Hariri.
Setakat ini, tiada sumber mengatakan kelab-kelab Liga Malaysia sedang berusaha mendapatkan bekas pemain UiTM FC itu meskipun dia merupakan antara penyerang import berbisa musim lepas.
Bagaimanapun, melihat kepada situasi ketika ini, Kedah Darul Aman (KDA) FC, Terengganu FC dan Kelantan FC merupakan kelab sesuai dengan masing-masing kehilangan penyerang ketika jendela perpindahan ini.
Bagi skuad Sang Kenari, kehilangan pemain kelahiran Cameroon, Ronald Wanja pasti akan menjejaskan pasukan apatah lagi dengan beberapa tonggak turut dilepaskan.
Selain itu, Terengganu FC turut dilihat berdepan isu sama apabila duo penyerang, Kpah Sherman dan Tchetche Kipre tidak akan lagi berkhidmat buat naib juara Liga Super itu.
Kelantan FC turut dijangka menghadapi masalah dari segi jentera serangan meskipun penyerang tempatan terbanyak Liga Perdana, Nurshamil Abd Ghani dikekalkan untuk musim depan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram