SELEPAS mencatatkan satu musim yang mengecewakan, Kedah Darul Aman (KDA) FC berhasrat untuk bangkit semula bagi membolehkan mereka bersaing dengan lebih baik pada tahun akan datang.
Rombakan itu dimulakan apabila pihak pengurusan membawa masuk bekas pengendali Terengganu FC, Nafuzi Zain bagi menggantikan Aidil Sharin Sahak yang digugurkan Oktober lalu.
Tidak lama selepas itu, mereka turut mengumumkan penyingkiran beberapa pemain yang dirasakan kurang membuat sumbangan kepada pasukan termasuk tonggak-tonggak import.
Namun, perkara itu seakan-akan tidak memberi kesan kepada penyokong Hijau Kuning apabila pihak pengurusan giat memperkenalkan wajah-wajah baharu ke dalam skuad mereka.
Awal bulan lalu, dua penjaga gol tempatan, Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi dan Fikri Che Soh diumumkan sebagai barisan pertahanan terakhir baharu untuk memperkukuhkan lagi skuad Hijau Kuning.
Bekas anak didik Nafuzi, Manuel Ott pula menyusul tidak lama selepas itu dengan kedua-dua pihak pastinya tidak sabar-sabar untuk bekerjasama buat semusim lagi.
Kehadiran Nafuzi mencetuskan perubahan terhadap skuad Sang Kenari untuk musim depan. — Facebook/KDA FC
Terbaharu, pertahanan kanan Melaka United, Wan Amirul Afiq Wan Abdul Rahman menjadi rekrut terkini KDA FC dengan pemain tersebut dilepaskan skuad Hang Tuah berikutan isu pengurusan dan kewangan yang dialami sepanjang musim.
Kesemua perkhabaran tersebut sepertinya diterima baik penyokong dengan mereka meletakkan kepercayaan penuh di bahu pihak pengurusan serta kejurulatihan untuk memastikan kelangsungan pasukan.
Namun, baru-baru ini, satu lagi berita gembira diterima peminat setia Sang Kenari apabila mereka dikhabarkan berjaya menyambar seorang pemain tempatan.
Hantaran yang dibuat pada Jumaat itu menampilkan gambar seseorang diambil daripada belakang serta berserta kapsyen 'Today is Friday, tak sabaq kan?'.
Perkara itu dilihat hangat diperbualkan dengan pelbagai andaian mula dibuat mengenai pemain baharu yang bakal diumumkan dalam masa terdekat bertujuan meningkatkan kualiti pasukan.
Bagaimanapun, setakat Ahad, pihak pengurusan masih memilih untuk terus membisukan diri akan hal tersebut, sekali gus mencetuskan lebih banyak tanda tanya dalam kalangan penyokong.
Tinjauan di ruangan komen mendapati banyak nama yang dipetik sebagai individu di sebalik hoodie itu, namun tiga pemain mula diharapkan untuk menjadi muka baharu buat Sang Kenari.
1. Faisal Halim
Ketika pertengahan musim 2022, ramai pihak mula mempersoalkan komitmen penyerang kebangsaan, Faisal Halim bersama Terengganu FC dengan khabar angin mengatakan dia sudah menerima tawaran kelab lain.
Antara ura-ura berlegar di media sosial menyebut pemain berusia 24 tahun itu sudah memilih untuk berhijrah ke Selangor FC selepas hampir dua musim berada di Pantai Timur.
Kenyataan tersebut seakan-akan mampu diterima akal dengan skuad Gergasi Merah juga dilihat sedang berusaha keras untuk melakukan rombakan terhadap jentera serangan.
Namun, perlu diingatkan bahawa bekas pemain Pahang FA itu pernah menegaskan masa depannya bergantung kepada Nafuzi selepas kedua-dua pihak dilihat terlalu akrab ketika saling bekerjasama antara satu sama lain.
Jadi, tidak hairanlah apabila rata-rata penyokong mula berharap Faisal bakal menyarung jersi KDA FC yang pastinya mampu melonjak dengan kehadiran pemain tersebut.
Tidak dapat dinafikan bahawa Nafuzi dan Faisal mempunyai hubungan yang akrab. — Facebook/Terengganu FC
Musim ini, penyerang sayap itu muncul sebagai antara pemain terbaik Liga Super dengan merekodkan enam gol dan sembilan bantuan jaringan dalam 20 penampilan Liga Super.
Selain itu, sumbangannya juga didambakan skuad Harimau Malaya dengan Faisal menjadi antara watak penting ketika kempen kelayakan Piala Asia 2023 pada pertengahan tahun lalu.
Dalam skuad Sang Kenari musim depan, mereka dilihat sukar untuk mendapatkan bisa di hadapan pintu gol lawan dengan hanya Al-Hafiz Harun dan Fayadh Zulkifli menjadi pilihan terbaik.
Kehadiran Faisal dijangka bakal mengubah struktur jentera serangan yang pastinya bakal ditambah baik dengan tempoh perpindahan pemain masih terbuka sehingga Februari depan.
Persoalannya, mampukah pasukan Utara tanah air itu bersaing dengan Selangor FC untuk menyambar khidmatnya apatah lagi dengan kelab Lembah Klang itu memiliki struktur kewangan lebih kukuh ketika ini.
2. Alfi Rasid
Baru-baru ini, dunia bola sepak tanah air dikejutkan dengan kenyataan daripada pemain Johor Darul Takzim (JDT), Safawi Rasid mengenai masa depannya bersama kelab tersebut.
Selepas menjadi antara watak penting pasukan, hubungan kedua-dua pihak seakan-akan mula terlerai dengan pemain itu dikhabarkan mengalami isu kecergasan dan tumpuan di atas padang.
Hal itu dapat disaksikan dengan dia kerap disisihkan daripada pasukan sehingga dia hanya berpeluang untuk mengumpul 13 penampilan dalam kempen Liga Super musim ini.
Oleh itu, dia akhirnya mengambil keputusan untuk berkelana dengan laporan menyebut dia bakal menyertai Ratchaburi FC yang ketika ini sedang berada dalam divisyen teratas Liga Thailand.
Namun, dia dikhabarkan tidak akan lagi terikat dengan pasukan Utara tanah air itu selepas dia bertegas minit permainan merupakan fokus utamanya selepas pulang ke kancah liga tempatan.
Alfi (tengah) merupakan antara tonggak skuad Piala Presiden JDT III. — Facebook/JOHOR Southern Tigers
Perkara itu sepertinya menimbulkan api kemarahan sehingga memaksa Pengarah Teknikal pasukan, Hector Bidoglio untuk mengeluarkan kenyataan bagi membidas kenyataan Safawi.
Hal itu dilihat bukan sahaja mengeruhkan keadaan antara pemain tersebut dengan kelab, malah adiknya, Alfi Rasid juga dikhabarkan terkena tempias berikutan perbalahan itu.
Musim lalu, pemain berusia 22 tahun itu merupakan antara tonggak JDT III yang membantu pasukan itu muncul juara Piala Presiden dengan dia beraksi di posisi pertahanan.
Baru-baru ini, Alfi memberi gambaran bahawa dia tidak akan lagi bersama skuad Harimau Selatan dengan memberi gambaran bahawa KDA FC bakal menjadi destinasi baharunya.
Hal itu dilihat bersesuaian dengan Nafuzi serta barisan kejurulatihannya juga kerap mengasah bakat-bakat baharu termasuk pertahanan kanan Terengganu FC, Azam Azmi Murad.
Selain itu, skuad Sang Kenari juga difahamkan masih belum membawa masuk ubi-ubi muda Liga Malaysia yang mampu diterapkan ke dalam skuad utama beberapa tahun akan datang.
3. Lee Tuck
Sebelum ini, ramai pihak mempersoalkan keputusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang membenarkan pemain kelahiran England, Lee Tuck menerima status naturalisasi.
Hal itu adalah kerana pemain tersebut dianggap sudah terlalu berusia untuk melakukan sumbangan terhadap skuad kebangsaan di samping limpahan nama-nama baharu yang lebih muda.
Tidak cukup dengan itu, isu pendaftaran pada awal musim turut memainkan peranan sehingga menyaksikan Sri Pahang FC tidak berpeluang untuk mendapatkan khidmatnya dalam Liga Super.
Namun, baru-baru ini, ketika aksi persahabatan Kelas A menentang Kemboja dan Maldives, Lee Tuck menjawab segala persoalan yang dilemparkan kepadanya dengan menampilkan persembahan bertenaga.
Di samping kerap melakukan larian awal, pemain berusia 34 tahun itu turut berjaya mencetak dua gol peribadi sehingga orang ramai melabelnya sebagai pemain naturalisasi terbaik setakat ini.
Kecemerlangan Lee Tuck bersama skuad kebangsaan mencuri perhatian banyak pihak. — Facebook/FAMalaysiaOfficial
Oleh itu, khabar angin mula bertebaran di media sosial dengan penyokong beberapa kelab Liga Malaysia mula berhasrat khidmat pemain tersebut mampu disambar untuk musim depan.
Terengganu FC dan Negeri Sembilan FC dilihat sebagai anatara destinasi terbaik dengan Lee Tuck pernah berkhidmat bersama pasukan itu beberapa musim sebelum ini.
Selain itu, Sri Pahang FC juga difahamkan enggan melepaskan pemain tersebut meninggalkan pasukan dengan penyokong mula memaksa pihak pengurusan menawarkan kontrak lanjutan yang lumayan.
Bagaimanapun, melihat kepada ruangan media sosial, KDA FC turut tidak mahu terlepas peluang untuk cuba membawanya masuk dengan pemain tersebut pastinya terbuka dengan cadangan itu.
Hal itu adalah kerana dia pernah bekerjasama bersama Nafuzi ketika kedua-dua mereka masih berada di Terengganu, yang mana merupakan antara tempoh terbaik Lee Tuck dalam kancah bola sepak tempatan.
Tetapi, perkara itu seakan-akan sukar untuk direalisasikan dengan usianya mungkin menyekat hasrat perpindahan itu meskipun penyokong masih bercita-cita akan hal tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram