Giliran senarai Sri Pahang 2023 pula bocor, masa depan veteran makin samar?


  • Podium
  • Isnin, 19 Dis 2022

Skuad Tok Gajah perlu melakukan rombakan secara besar-besaran selepas satu musim yang mengecewakan. — Facebook/Sri Pahang FC

PERUBAHAN ketua jurulatih pada pertengahan musim buat Sri Pahang FC dilihat gagal untuk mengubah nasib pasukan itu yang bergelut sepanjang kempen Liga Super.

Hal itu disaksikan apabila pasukan itu menamatkan saingan di tangga ketujuh dengan hanya berjaya mengumpul 28 mata yang direkodkan daripada lapan kemenangan.

Pergelutan itu pastinya sukar untuk diterima penyokong tegar Tok Gajah yang sudah beberapa tahun tidak berpuas hati dengan prestasi kelab Pantai Timur berkenaan.

Jadi, rombakan terhadap skuad pastinya salah satu perkara utama yang perlu direncanakan sekiranya pihak pengurusan mahu melihat Sri Pahang melonjak ke tahap tertinggi sekali lagi.

Meskipun tiada pengumuman rasmi, khabar angin mula berlegar di media sosial mengatakan skuad Tok Gajah bakal diperkuatkan dengan kehadiran wajah-wajah baharu dalam masa terdekat.

Ketika ini, ura-ura menyebut dua penyerang import, Kpah Sherman dan Lucas Silva bakal memacu jentera serangan pasukan pada 2023 selepas tidak dikekalkan pasukan masing-masing.

Tindakan membawa masuk kedua-dua pemain itu dilihat menerima sokongan daripada peminat setia pasukan selepas merekodkan satu pulangan gol yang cemerlang sebelum ini.

created by InCollage

Kpah Sherman difahamkan bakal menjadi rekrut terbaharu Sri Pahang untuk musim depan. Facebook/Terengganu FC

Namun baru-baru ini, satu sumber dalaman yang enggan dikenali melaporkan Sri Pahang bakal berwajah baharu dengan campuran pemain baharu dan ubi-ubi muda.

Katanya, seramai lima pemain daripada akademi kelab berkenaan akan menjadi antara tonggak pasukan, termasuk jeneral tengah, Ibrahim Manusi serta pertahanan tengah, Hasnul Zaim Zafri.

Sementara itu, tiga lagi bakat berusia bawah 23 tahun ialah Saiful Jamaluddin, Syaahir Nizam dan Nasyrullah Zaki selepas membuktikan kebolehan masing-masing ketika berada dalam skuad simpanan.

Tidak cukup dengan itu, skuad Tok Gajah juga difahamkan berjaya membawa masuk dua pemain Johor Darul Takzim (JDT), Fadhli Shas dan Syazwan Andik selepas khidmat mereka kurang ditagih kelab berkenaan.

Musim lalu, kedua-dua pemain tersebut menyertai Melaka United secara pinjaman bagi membolehkan mereka mengumpul minit permainan selain mengekalkan tahap kecergasan.

Bagaimanapun, dengan skuad Hang Tuah gagal memperolehi lesen untuk menyertai Liga Malaysia, mereka diramal akan pulang ke Selatan tanah air yang pastinya memaksa mereka untuk memilih mencari angin baharu demi kelangsungan karier.

1784440

Ibrahim Manusi menjadi salah satu prospek terbaik Sri Pahang musim depan. Facebook/Sri Pahang FC

Sebelum ini, Fadhli dilaporkan semakin hampir untuk menyertai Negeri Sembilan FC, namun sehingga kini, kesemua pihak memilih untuk berdiam diri dan tidak memberi kata putus akan perkara berkenaan.

Bagi Syazwan pula, dia yang boleh beraksi sebagai pemain tengah dan pertahanan kiri pasti akan memilih untuk mengambil haluan tersendiri dengan ura-ura mengatakan dia akan diletakkan ke skuad simpanan.

Di samping itu, sumber berkenaan juga menyebut bahawa beberapa tonggak pasukan akan dikekalkan dalam pasukan termasuk Muslim Ahmad dan Azam Azih yang merupakan antara watak penting buat kelab Pantai Timur itu.

Azam sebelum ini dilaporkan dipancing beberapa pasukan, terutamanya Selangor FC selepas menjadi antara pemain tengah terbaik yang dimiliki skuad kebangsaan ketika ini.

Tetapi, di sebalik berita tersebut, terselit satu perkhabaran kurang menyenangkan apabila pemain tengah, Lee Tuck sedang bertarik-tali mengenai masa depannya bersama Sri Pahang FC.

Perkara tersebut adalah berikutan selepas terdapat kurang persefahaman antara pemain tersebut dengan pihak pengurusan mengenai isu gaji meskipun hal itu masih tidak dibuktikan setakat ini.

Lee Tuck pada kempen Liga Super yang lalu tidak dapat diturunkan di samping seorang lagi pemain naturalisasi, Sergio Aguero selepas terpalit dengan isu pendaftaran.

Ketika ini, beberapa kelab dilaporkan berminat untuk menyambar khidmat veteran kelahiran England itu selepas membuktikan kemampuannya bersama skuad Harimau Malaya baru-baru ini.

Namun, kesemua kenyataan yang dikeluarkan setakat ini masih tidak diberi pengesahan, sekali gus memberi signal bahawa skuad Tok Gajah sedang melakukan rombakan secara besar-besaran di sebalik tabir. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram