BAGI memastikan Sri Pahang mampu bersaing dengan lebih baik musim depan, pihak pengurusan difahamkan sedang giat melakukan rombakan terhadap skuad secara belakang tabir.
Antara langkah awal yang diambil ialah membawa masuk beberapa pemain baharu yang dirasakan mampu menyuntik perubahan melihat kepada posisi bermasalah sepanjang musim lepas.
Ketika ini, laporan menyebut bahawa mereka sedang giat mendapatkan khidmat penyerang Terengganu FC dan Penang FC, Kpah Sherman dan Lucas Silva yang dilepaskan pasukan masing-masing.
Tidak cukup dengan itu, terdapat juga khabar angin yang mengatakan beberapa pemain tempatan akan menyertai pasukan ini termasuk penjaga gawang Johor Darul Takzim (JDT), Izham Tarmizi.
Selain itu, bagi memastikan skuad sedia ada berada di tahap kecergasan terbaik, mereka dilihat sudah memulakan sesi latihan seperti mana yang dikongsikan menerusi laman media sosial rasmi mereka.
Hantaran yang dibuat pada Isnin itu menunjukkan sesi latihan dilakukan, namun ketua jurulatih sementara, Datuk Dollah Salleh tidak kelihatan bersama anak-anak buahnya.
Bagaimanapun, sesi tersebut dilihat dikendalikan Penasihat Teknikal, Fandi Ahmad yang sebelum ini dikatakan bakal memegang tampuk kejurulatihan pasukan pada musim 2023.
Hal tersebut seperti menghadirkan kegembiraan kepada penyokong apabila beberapa komen didapati menyokong sekiranya pengendali kelahiran Singapura itu membimbing pasukan Tok Gajah tahun depan.
Namun, apa yang menarik apabila kebanyakan komen seakan-akan berbaur kritikan terhadap pihak pengurusan kerana mengekalkan beberapa pemain yang prestasinya kurang meyakinkan.
Tinjauan secara mendalam mendapati beberapa nama mula dipetik penyokong Tok Gajah, namun dua pemain menjadi sasaran utama mereka, iaitu Ashar Al Aafiz dan Muslim Ahmad.
Ashar gagal memberi sumbangan buat skuad Tok Gajah musim lepas. — Facebook/Sri Pahang FC
Musim lalu, kedua-dua pemain tidak pernah asing dengan tohmahan selepas kerap melakukan kesilapan sehingga menyekat hasrat pasukan untuk mengumpul tiga mata penuh.
Bagi Muslim, reputasinya sebagai antara pertahanan terbaik skuad Harimau Malaya sedikit sebanyak mengekalkan kelibatnya dalam pasukan utama di mana dia berjaya mengumpul 15 penampilan Liga Super.
Di samping itu, pengalamannya dalam kancah bola sepak tempatan turut memainkan peranan dengan barisan kejurulatihan memberikan kepercayaan kepadanya untuk menamakannya sebagai kapten pasukan.
Tetapi, berdasarkan luahan peminat fanatik pasukan, pemain berusia 33 tahun terbabit tidak wajar dikekalkan dalam skuad jika mereka mahu bangkit sekali lagi.
"Ada lagi si Muslim ni, harap kalau kekal sekali pun, biarlah sebagai pemain simpanan," kata Utama Zul Jengking.
"Alhamdulillah Muslim masih ada untuk musim depan, harapnya pihak pengurusan janganlah buang dia dari pasukan keramat ni. Kami perlukan hiburan," kata Hassan Alyanak dengan nada sinis.
Pengalaman Muslim gagal memberi perbezaan terhadap kualiti permainannya. — Facebook/Sri Pahang FC
Sementara itu, bagi Ashar pula, dia dilihat kerap bergelut sebagai seorang pemain pertahanan kanan selepas sering melakukan kesilapan mudah dalam menyekat gerakan pihak lawan.
Berdasarkan statistik yang dikeluarkan, pemain tersebut seakan-akan berjaya mencuri perhatian jurulatih apabila merekodkan 20 aksi Liga Super dengan hanya lima daripadanya penampilan dari bangku simpanan.
Seperti mana yang dialami Muslim, Ashar turut menjadi sasaran rata-rata penyokong yang tidak mahu melihat pemain berusia 27 tahun itu dikekalkan walaupun dia merupakan produk Akademi Sri Pahang FC.
"Si Ashar ni memang tidak mahu pindah ke mana-mana pasukan lain ke?" soal Hisyam Haris.
"Memang tidak ke mana-manalah nampaknya Tok Gajah musim depan, nampak sudah skripnya sama sahaja. Harap kepada Azam Azih sahajalah rasanya," kata Hadi Hardi Ichigo. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram