BEKAS pemain bola sepak kebangsaan, Salahuddin Che Rose meninggal dunia pada Sabtu akibat masalah kesihatan yang dihidapinya.
Allahyarham yang diduga dengan penyakit jantung sejak 2011 menghembuskan nafas terakhirnya pada usia 53 tahun dan berdasarkan laporan dari Flash Sukan, jenazah Salahuddin dibawa di Hospital Kuala Lumpur untuk sesi bedah siasat serta ujian Covid-19.
Sebelum ini Majoriti melaporkan, Allahyarham Salahuddin perlu mengumpul duit untuk menampung kos pembedahan yang dianggarkan berjumlah RM80,000.
Tonggak pertahanan Malaysia itu hidup dengan 'jantung bateri' dan pernah mendapat perhatian Majoriti kerana terpaksa menjual minyak wangi bagi menampung kos rawatan penyakitnya.
Salahuddin yang pernah membantu Pahang menjuarai Piala Malaysia pada 1992 sebelum berhijrah ke Pulau Pinang dilaporkan berkata, setiap bulan dia perlu menjalani rawatan untuk jantung di Institut Jantung Negara.
Salahuddin sewaktu ditemui pada majlis penyerahan sumbangan bekas atlet kerjasama Yakeb dan Majoriti di Yakeb, Bukit Kiara.
Pada penghujung Oktober lalu Majoriti sempat meluangkan masa bersama Allahyarham ketika majlis penyerahan sumbangan berjumlah RM2,500 tajaan Venthill Group (VH Group) di Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb), Bukit Kiara, Kuala Lumpur.
Salahuddin menerima bantuan sama daripada VH Group berjumlah keseluruhan RM10,000 menerusi kerjasama syarikat logistik itu dengan Yakeb dan Majoriti.
Ketika era kegemilangannya, Salahuddin pernah menganggotai skuad projek Olimpik Barcelona 1992 atau Barcelona Babes bersama beberapa legenda pemain bola sepak termasuk Azman Adnan, Datuk Ong Kim Swee dan ramai lagi.
Pada masa sama, dia juga pernah membentuk gandingan mantap bersama Alan Davidson ketika bersama skuad Tok Gajah selepas Barcelona Babes dibubarkan, selain menjadi tonggak pertahanan ampuh ketika bersama Pulau Pinang. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram