[VIDEO] 'Lebih sesuai main di Kedah', Tok Gajah dituntut lebih tegas 'ikat' Lee Tuck


  • Podium
  • Jumaat, 16 Dis 2022

Lee Tuck pernah menyatakan mempunyai pertalian darah dengan negara ini melalui neneknya yang berasal daripada Malaysia.

KECEMERLANGAN pemain baharu naturalisasi Harimau Malaya, Lee Andrew Tuck kini menjadi topik bualan penyokong bola sepak apabila berjaya menjaringkan gol dalam dua perlawanan persahabatan antarabangsa menetang Kemboja dan Maldives baru-baru ini.

Pemain berusia 34 tahun itu turut menjadi rebutan beberapa buah pasukan di dalam Liga Malaysia apabila terdapat khabar angin menyatakan Terengganu FC (TFC) dan Kedah Darul Aman (KDA) FC berminat untuk mendapatkan khidmatnya.

Lee Tuck sebelum ini pernah beraksi bersama Negeri Sembilan dan Terengganu sebelum menyertai skuad Tok Gajah pada musim 2021.

319913713_868733447482542_1903466251042130796_n

Khabar angin menyatakan Lee Tuck kini sedang diintai beberapa pasukan Liga Malaysia. Facebook/FAM

Pemain kelahiran Halifax, England itu ketika ini berjaya menambat hati penyokong Harimau Malaya kerana aksi dan sikap positifnya ketika menyarung jersi keramat itu.

Namun di sebalik kecemerlangan pemain itu, timbul rasa khuatir dalam kalangan penyokong Pahang jika sekali lagi terdapat unsur-unsur tangan ghaib yang ingin mengambil pemain mereka.

Perkara sebegini pernah terjadi ketika bekas bintang Sri Pahang FC, Mohamadou Sumareh yang mana ketika itu baru sahaja dinaturalisasi oleh pihak pengurusan Tok Gajah dipancing beberapa pasukan dalam Liga M.

319065634_533528715365072_2869252979846923600_n

Lee Tuck sudah menjaringkan dua gol dalam dua penampilan bersama Harimau Malaya. Facebook/FAM

Tinjauan Majoriti di ruangan komen mendapati rata-rata penyokong Pahang mahu pihak pengurusan lebih tegas dalam isu Lee Tuck jika tidak mahu kes sebelum ini terjadi lagi.

"Rugi kalau Pahang tak sambung kontrak sebab pihak pengurusan dah bagi IC (kad pengenalan), rasa Pahang sambung kontrak," kata Mohd Fitri.

"Masa tak ada IC tak ada siapa yang nak tolong dia untuk permudahkan urusan, bila dah dapat Kedah yang jauh pun datang meminang," jelas Azizah Selamat.

"Kalau hati dia bukan dengan Pahang lepaskan sahaja, kalau masih setia ingin berbakti dengan Pahang jaga kebajikan dia dan semua pemain elok-elok," ujar Syahril Nahar Mohammad Sa'ad.

"Sejujurnya Lee Tuck dilihat sesuai bermain untuk Kedah FC bagi mengembangkan bakatnya supaya terus bersinar berbanding di Sri Pahang yang dilihat masih menggunakan taktikal yang mudah dibaca pasukan lawan," luah Ahmadseahbani.

Lee Tuck mula dinaturalisasi oleh pihak pengurusan Tok Gajah pada September lalu selepas dia sudah menetap di Malaysia selama lima tahun.

Sebelum ini Lee Tuck pernah menyatakan mempunyai pertalian darah dengan negara ini melalui neneknya yang berasal daripada Malaysia.

Namun ketika itu, Lee Tuck gagal mengemukan sebarang bukti atau dokumen kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk mengesahkan dia mempunyai pertalian darah dengan negara ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram