Tiga tonggak dilepaskan JDT, Kedah & Melaka wajar disambar Terengganu FC


  • Podium
  • Rabu, 14 Dis 2022

Kejayaan Terengganu untuk layak ke pentas Asia gagal menjadi faktor untuk tonggak pasukan kekal. — Facebook/Terengganu FC

MESKIPUN berjaya menduduki tangga kedua Liga Super musim lalu, Terengganu FC berdepan masa depan tidak menentu dengan rombakan sudah mula dilakukan di sebalik tabir.

Perkara itu dimulakan dengan keputusan pihak pengurusan yang tidak bercita-cita untuk mengekalkan khidmat ketua jurulatih, Nafuzi Zain berikutan isu kontrak.

Bagi menggantikan pengendali berusia 44 tahun itu, mereka mengambil keputusan melantik Pengarah Teknikal, Tomislav Steinbruckner yang sudah beberapa tahun bersama pasukan itu.

Seperti kebiasaan, perubahan struktur bakal menyaksikan rombakan terhadap skuad meskipun ada daripada mereka dianggap sebagai tonggak pasukan musim lalu.

Walaupun tiada perkhabaran rasmi setakat ini, beberapa sumber dalaman mengatakan Terengganu FC bakal kehilangan pemain bertubuh kecil, Faisal Halim yang difahamkan bakal menyertai Selangor FC tahun depan.

1738909

Mampukah Terengganu bersaing tanpa kehadiran Nafuzi musim depan? Facebook/Terengganu FC

Hal itu sepertinya sudah disahkan dengan kehadiran bekas pemain Melaka United, Sony Norde yang mampu diturunkan sebagai penyerang dan pemain sayap kiri dan kanan.

Namun, berita yang mengecewakan itu tidak terhenti apabila terdapat juga ura-ura mengatakan beberapa lagi wajah terbaik pasukan bakal meninggalkan skuad Sang Penyu musim depan.

Antara nama yang disebut-sebut ialah penyerang, Tchetche Kipre dan pertahanan tengah, Pape Diakite meskipun memaparkan aksi cemerlang setiap kali turun beraksi.

Kehilangan itu diramal bakal dirasai pasukan musim depan dengan perubahan struktur liga dan penyertaan dalam kempen Piala AFC bakal meningkatkan jumlah perlawanan.

Jadi, dengan jendela perpindahan masih terbuka, pihak pengurusan pasti berhasrat untuk menyambar khidmat beberapa pemain import, apatah lagi dengan struktur kewangan yang semakin kukuh ketika ini.

Persoalannya, siapakah yang layak menyertai skuad Sang Penyu musim depan berdasarkan sumbangan dan kemampuan yang ditunjukkan dalam landskap bola sepak tempatan musim ini.

Tidak cukup dengan itu, lambakan nama-nama besar yang dilepaskan kelab masing-masing perlu diberi perhatian pihak pengurusan Terengganu FC bagi mengelak pembaziran dan kerugian.

Melihat kepada situasi ketika ini, terdapat tiga import yang mampu menyuntik perubahan kepada skuad Sang Penyu berdasarkan kelebihan serta kesungguhan bersama rakan sepasukan masing-masing.

1. Carli de Murga

Ketika bersama Terengganu FC musim 2021, Carli de Murga dianggap sebagai antara import terbaik sehingga menyaksikannya diberi kepercayaan untuk memakai lilitan kapten pasukan.

Sepanjang kempen Liga Super, pemain kebangsaan Filipina itu mengumpul 17 penampilan Liga Super dalam membantu pasukan Pantai Timur itu untuk menamatkan saingan di tangga keempat.

Bagaimanapun, aksi itu tidak cukup untuk mengekalkannya bersama skuad selepas pihak pengurusan mengambil keputusan untuk menyambar Diakite ketika jendela perpindahan.

Oleh itu, de Murga mengambil keputusan untuk menyertai juara Liga Super, Johor Darul Takzim (JDT) yang meluahkan minat untuk mendapatkan khidmatnya sejak pertengahan musim lagi.

Namun, langkah yang diambil tersebut seakan-akan memberi kesan negatif terhadap kariernya berikutan lambakan pertahanan tengah, termasuk pemain muda, Feroz Baharudin.

Jadi, dengan skuad Harimau Selatan juga berhasrat untuk memperkukuhkan lagi pasukan mereka, terdapat kemungkinan bahawa pemain berusia 33 tahun itu bakal dilepaskan.

carli-de-murga-terengganu-vs-selangor

De Murga (tengah) merupakan antara watak penting buat Terengganu FC pada 2021. Facebook/Terengganu FC

Walaupun bekas Pengarah Teknikal JDT, Alistair Edwards sebelum ini pernah menegaskan tiada pemain bakal meninggalkan pasukan, perpindahan Safawi Rasid ke Ratchaburi FC secara pinjaman seolah-olah menidakkan perkara itu.

De Murga mampu menjadi bintang seterusnya yang bakal meninggalkan pasukan dan Terengganu FC perlu mengambil peluang itu dalam usaha memastikan benteng pertahanan terus kukuh.

Selain itu, kualiti pertahanan skuad finalis Piala FA itu terus dipersoalkan dengan pilihan terhad di posisi tersebut melihat kepada usia masing-masing yang terlalu muda.

Masalah itu dilihat mampu diperbaiki de Murga dengan dia pernah menyertai beberapa pasukan sekitar Asia Tenggara termasuk penampilan di pentas Asia.

2. Mahmoud Al-Mardi

Antara pasukan Liga Malaysia yang sedang giat melakukan rombakan terhadap skuad ialah Kedah Darul Aman (KDA) FC selepas satu musim bergolak di bawah kendalian Aidil Sharin Sahak.

Jawatan yang dikosong itu akhirnya diisi Nafuzi dengan menyatakan bahawa sentimen bekas pemain mampu mengembalikan tahun-tahun kegemilangan seperti sebelum ini.

Oleh itu, pengendali kelahiran Kelantan itu pasti berharap untuk menerapkan ideologi taktikalnya menggunakan pemain berdasarkan pendekatan sepanjang 90 minit perlawanan.

Jadi, penyokong seakan-akan tidak mempersoalkan keputusan itu apabila berlakunya penyingkiran pemain import dan tempatan, termasuk pemain tengah, Mahmoud Al-Mardi.

Mahmoud Al-Mardi celebrates his second goal against Visakha in the AFC Cup. - Photo by Kedah FC

Al-Mardi merupakan antara pemain import terbaik dimiliki Sang Kenari musim lepas. Facebook/KDA FC

Musim ini, jeneral kelahiran Jordan itu memainkan peranan penting dengan melakukan hantaran berkualiti untuk membantu merencanakan gerakan serangan skuad Sang Kenari.

Berdasarkan statistik yang dikeluarkan, pemain tersebut memberi pulangan berbaloi dengan menjaringkan sembilan gol dalam kesemua penampilan termasuk ketika kempen Piala AFC KDA FC.

Hal itu membuktikan bahawa Al-Mardi merupakan seorang tonggak penting buat pasukan untuk menyerlahkan lagi kemampuan pasukan Utara tanah air itu musim depan.

Namun, impian untuk menyaksikannya menabur bakti bersama juara Piala FA lima kali itu untuk tahun-tahun akan datang seakan-akan tidak dapat direalisasikan.

Menurut beberapa khabar angin yang bertiup di media sosial, dua kelab Liga Malaysia difahamkan bersedia untuk mendapatkan khidmat Al-Mardi, iaitu PDRM FC dan Terengganu FC.

Tetapi, dengan struktur dan reputasi skuad Sang Penyu beberapa musim kebelakangan ini, masa depan mengenai kariernya seakan-akan sudah terjawab selain peluang untuk kembali ke pentas Asia.

Persoalannya, adakah pihak pengurusan KDA FC akan memilih untuk membawa Al-Mardi ke dalam skuad mereka dengan usianya kini sudah mencecah 29 tahun?

3. Adriano Narcizo

Tahun ini, landskap bola sepak tanah air dicemari isu pengurusan dan kewangan yang dihadapi beberapa kelab sehingga membebankan pemain dari segi kebajikan mereka.

Antara pasukan yang teruk dilanda kemelut tersebut ialah Melaka United FC dengan beberapa laporan menyatakan kesemua pihak, termasuk staf kejurulatihan tidak menerima bayaran.

Lantaran daripada perkara itu, pihak pengurusan mengambil keputusan untuk melepaskan pemain import yang mana difahamkan mendambakan bayaran tinggi sepanjang musim.

Pada pertengahan musim lalu, penyerang kelahiran Brazil, Adriano Narcizo menjadi salah seorang daripada tonggak pasukan yang terpaksa dilepaskan dengan pampasan.

1584196

Adriano dilepaskan Melaka United bagi mengelak tindakan diambil pihak FIFA. Facebook/Melaka United FC

Keputusan itu dibuat selepas pihak pengurusan Hang Tuah cuba mengelak daripada dikenakan denda daripada FIFA dengan kemungkinan besar diberi pemotongan mata.

Jadi, tidak hairanlah apabila pemain berkenaan hanya sempat diturunkan dalam 10 aksi Liga Super, sekali gus menyaksikan sumbangannya di hadapan pintu gol merosot dengan hanya dua jaringan mampu dicatatkan.

Melihat kepada situasi semasa, pemain tersebut masih mampu memberi sumbangan dengan larian derasnya sebagai penyerang selain berupaya melorongkan bola kepada rakan sepasukan.

Walaupun khabar angin mengatakan khidmat Adriano mula disunting Penang FC, ia tidak menutup pintu kepada Terengganu FC yang pastinya mahu meneruskan kempen bermakna musim depan.

Selain itu, kejayaan skuad Sang Penyu untuk menyambar khidmat seorang lagi 'buangan' Melaka United, Sony Norde juga mampu menjadi kunci dalam memancingnya ke Pantai Timur musim depan.

Tetapi, berdasarkan beberapa laporan ketika ini, Tomislav dikhabarkan berminat untuk mendapatkan penyerang kelahiran Croatia, Ivan Mamut dengan faktor komunikasi antara kedua-dua pihak. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram