'Bukan ke Bukit Jalil tapi takut tersasar Bukit Pelindung,' rakan Sergio Aguero tidak diterima masuk Sri Pahang


  • Podium
  • Selasa, 13 Dis 2022

Kontrak Brundo bersama kelabnya, Estudiantes BA bakal tamat pada 31 Disember ini. — Instagram/Brundo

PIHAK pengurusan Sri Pahang FC (SPFC) sebelum ini pernah menyatakan bahawa kelab berkenaan sedang dalam proses rundingan untuk membawa masuk beberapa berpengalaman bagi membantu dalam memperkukuhkan pasukan Tok Gajah.

Berdasarkan laporan media tempatan, pihak pengurusan pasukan Sri Pahang akan merekrut pemain yang pernah menyarung jersi Harimau Malaya dan ada di antaranya akan dipinjamkan dari kelab lokal.

Usaha Pahang untuk membawa masuk pemain-pemain berkualiti itu adalah bertujuan untuk menjadikan 2023 sebagai tahun cemerlang skuad Tok Gajah selepas musim ini Sri Pahang FC hanya mampu menamatkan saingan di kedudukan ketujuh Liga Super.

Antara nama yang dipetik bakal menganggotai pasukan berpangkalan di Pantai Timur itu pada musim depan ialah tiga bekas pemain Harimau Malaya yang kini bersama Johor Darul Takzim (JDT) iaitu Fadhli Shas, Mohd Azrif Nasrulhaq dan Mohd Izham Tarmizi.

Selain daripada tiga pemain tempatan tersebut, Tok Gajah juga difahamkan akan membawa masuk dua pemain import iaitu penjaring terbanyak Piala Malaysia 2022 bersama pasukan Terengganu FC (TFC), Kpah Sherman dan penyerang kelahiran Brazil dari Penang FC, Lucas Silva.

WhatsApp Image 2022-12-13 at 4.47.01 PM

Stefano Brundo kini bermain untuk pasukan Estudiantes BA. — Instagram/Brundo

Selepas khabar angin dua penyerang import tersebut, pasukan Tok Gajah juga tidak ketinggalan untuk memperkukuh kubu pertahanan Tok Gajah apabila difahamkan akan mengikat seorang lagi bintang luar iaitu pemain kelahiran Argentina, Stefano Brundo.

Kemasukan pemain dari kelab Argentina liga divisyen dua, Estudiantes BA itu boleh membantu masalah pertahanan yang dialami Sri Pahang FC pada kempen Liga Super musim ini, menyaksikan skuad Tok Gajah bolos 31 gol dalam 22 perlawanan berlangsung.

Pemain berketinggian 1.90 meter itu juga difahamkan merupakan rakan kepada pemain naturalisasi Sri Pahang, Sergio Aguero yang mana mereka bersama-sama memulakan karier bola sepak di All Boys iaitu kelab melahirkan legenda penyerang Argentina, Carlos Teves.

Bersama kelabnya, Estudiantes BA, Brundo sering diturunkan sebagai kesebelasan utama dan walaupun berstatus sebagai pemain pertahanan, dia berjaya menyumbangkan satu gol, satu hantaran daripada 33 perlawanan musim ini.

Selain daripada kontraknya bersama pasukannya yang bakal tamat pada 31 Disember ini, pemain berusia 29 tahun juga memberi petunjuk dengan mengikuti laman rasmi Instagram pasukan Sri Pahang, ia sekali gus menguatkan dakwaan tersebut.

WhatsApp Image 2022-12-13 at 4.46.19 PM

Tangkap layar Brundo mengikuti laman Instagram Sri Pahang. — Instagram/Brundo

Bagaimanapun, berita khabar angin mengenai kemasukan Brundo itu kurang mendapat sambutan daripada penyokong Tok Gajah dan mereka meramal pemain tersebut mungkin tidak sekebal seperti disangkakan.

"Sebelum permainan mula semua hebat, dah mula perlawanan hampa..malas nak puji lagi. Malas dah nak dengar setakat nama sahaja, tunggu perlawanan," komen penyokong Tok Gajah, Khairi Khan.

"Jangan beranganlah nak ke Bukit Jalil. Tiap-tiap tahun sangkut di Bukit Pelindung (Bukit dakian di Kuantan) sahaja," tulis penyokong, Samsul Bahri.

"Kereta kebal kah ini? Cubalah kebal dahulu baru ambil. Carilah kereta kebal keras macam Damion Stewart Delano. Baru mantap Pahang. Bukan bedal bola saja, bedal orang sekalu. Takut terus nak masuk silap hari bulan patah kaki," komen seorang lagi penyokong Tok Gajah, Spy Malaya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram