SEMASA jendela perpindahan Liga Malaysia baru sahaja dibuka awal Disember lalu, Kedah Darul Aman (KDA) FC menjadi salah satu pasukan yang giat melakukan rombakan ke atas skuad.
Majlis pengenalan ketua jurulatih baharu, Nafuzi Zain berjaya memberi amaran kepada pasukan-pasukan selepas dia membuktikan sentuhannya bersama Terengganu FC musim lalu.
Tidak cukup dengan itu, skuad Sang Kenari turut melakukan perubahan kepada barisan pemain dengan melepaskan beberapa tonggak pasukan yang dirasakan kurang menyerlah sepanjang tahun.
Antara wajah-wajah yang tidak dikekalkan ialah penjaga gawang veteran, Shahrel Sa'ari dan pemain tengah, Syazwan Zainon dengan kedua-dua mereka semakin menghampiri penghujung karier.
Selain itu, penyerang kelahiran Cameroon, Ronald Ngah Wanja juga tidak terkecuali menjadi 'mangsa' rombakan itu meskipun statusnya sebagai antara penjaring terbanyak pasukan dalam Liga Super.
Hal itu dikatakan berpunca daripada perasaan kurang senang antara penyokong yang kecewa dengan gaya permainan 'Pak Ngah' setiap kali diturunkan.
Sehingga kini, pihak pengurusan KDA FC masih berdiam diri setiap kali persoalan mengenai wajah baharu yang bakal mengetuai jentera serangan dengan menegaskan hal itu masih dalam perbincangan.
Namun, sejak beberapa hari kebelakangan ini, tular di media sosial mengatakan skuad Sang Kenari bakal disertai pemain kelahiran Brazil, Heberty Fernandes de Andrade.
Sumbangan Pak Ngah sepanjang musim tidak cukup untuk mengekalkannya setahun lagi. — Facebook/KDA FC
Musim ini, pemain berketinggian 1.73m itu beraksi bersama kelab gergasi Thailand, Bangkok United yang sedang menduduki tangga keempat Liga 1 dengan hanya dua perlawanan berbaki.
Sumbangannya juga tidak terlalu mengecewakan dengan dia berjaya memperolehi enam gol dan empat 'assist' dalam 15 aksi liga dalam membantu pasukannya mencabar kejuaraan liga.
Pencapaian tersebut seakan-akan memberi sebab kepada penyokong Hijau Kuning dengan Heberty difahamkan bukanlah seorang penyerang yang hanya menunggu hantaran daripada rakan sepasukan.
Bagaimanapun, berdasarkan pemerhatian di media sosial, terdapat juga beberapa pihak yang berasakan kehadiran pemain tersebut tidak akan menyuntik perubahan seperti diharapkan.
Perkara itu adalah kerana usia Heberty sudah mencecah 34 tahun dan mereka berpendapat adalah lebih baik sekiranya seseorang yang lebih muda dan cergas dibawa masuk.
Kekecewaan itu diluahkan penyokong bola sepak tempatan, Bro Zack Zaidi yang melihat kehadiran pemain tersebut hanya rancangan jangka masa pendek daripada kelab itu.
"Hehe, kalau umur pun dah lebih 34 tahun macam nak beli untuk masa sekejap je ni. Mungkin, 2023 dibawa masuk dan 2024 tukar pula orang lain," katanya.
Adakah Heberty merupakan jawapan kepada ketumpulan barisan serangan Sang Kenari musim depan? — Facebook/Heberty
Bagi Luq Man Hakim pula, KDA FC sepatutnya mencari seseorang yang lebih muda bagi memastikan tahap kecergasan dan kemampuan mereka mampu dinikmati pasukan.
"Kedah sepatutnya cari penyerang yang lebih muda dan terbukti untuk menggunakan setiap peluang di hadapan pintu gol. Ambillah sesiapa yang dalam lingkungan umur 23 hingga 30 sahaja," katanya.
Khalifahkhalifah Khalifah Khalifah turut mempersoalkan keputusan itu apabila perkara itu sering dilakukan pihak pengurusan seperti yang disaksikan beberapa musim sebelum ini.
"Kedah ni memang suka sangat ambil pemain-pemain import yang tua. Apa yang saya nampak, setiap kali mereka semakin berusia, mereka akan ditukar," katanya.
Musim lalu, KDA FC merupakan antara pasukan bergelut Liga Super dengan mereka hanya mengumpul 31 gol selepas meletakkan tanggungjawab berat itu di bahu Ngah Wanja selepas pemain pinjaman, Syafiq Ahmad dipanggil pulang ke selatan tanah air.
Perkara itu seakan-akan menjejaskan peluang mereka untuk memberi tekanan kepada pemegang takhta liga, Johor Darul Takzim (JDT) dengan skuad Sang Kenari hanya menduduki tangga kelapan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram