Perebutan penyerang terbaik ABK2022 sengit, tapi saya ada calon terbaik — Otai kebangsaan


  • Podium
  • Isnin, 12 Dis 2022

Arif Aiman, Darren dan Faisal sekali lagi memonopoli senarai pencalonan Kategori Penyerang Terbaik ABK2022. — MFL

ANUGERAH Bola Sepak Kebangsaan 2022 (ABK22) kembali lagi dan pada tahun ini pengelola Liga Malaysia (Liga M), Malaysian Football League (MFL) mengumumkan bahawa acara kemuncak acara tahunan itu bakal berlangsung pada 15 Disember ini secara virtual.

Selain daripada ingin mengetahui siapa yang bakal memenangi Anugerah Pemain Paling Bernilai (MVP) pada tahun ini, penyokong bola sepak tanah air juga tidak sabar untuk menantikan bintang mana akan membawa pulang gelaran Kategori Penyerang Terbaik ABK22.

Seperti musim lalu, nama Arif Aiman Mohd Hanapi [Johor Darul Takzim (JDT)], Faisal Abdul Halim [Terengganu FC (TFC)] dan Darren Lok [Petaling Jaya City FC (PJ City)] sekali lagi memonopoli senarai pencalonan kategori berkenaan.

Arif Aiman yang merupakan pemenang kategori ini pada musim lalu dijangka mendapat cabaran sengit daripada Faisal dan Darren yang dilihat beraksi dengan cemerlang bersama pasukan-pasukan masing.

ARIF AIMAN

Arif Aiman memenangi Anugerah MVP pada ABK21. — Facebook/JDT

Bagi legenda bola sepak kebangsaan, Khalid Ali, antara ketiga-tiga tonggak pasukan itu, dia berpendapat bahawa pemain muda, Arif Aiman masih dapat mengekalkan gelaran tersebut pada ABK musim ini.

Khalid berkata, keyakinan yang ada pada pemain berusia 20 tahun itu terutamanya semasa bermain untuk kelab dan pasukan kebangsaan menjadikan Arif Aiman sebagai bintang muda terbaik tanah air.

Bekas penyerang kebangsaan itu juga berpendapat bahawa bermain bersama JDT adalah penyumbang kepada kecemerlangannya dan menjadi kelebihan yang ada pada pemain kelahiran Kuantan, Pahang itu.

"Saya nampak yang menyerlah dalam itu adalah Arif Aiman. Dia lebih layak menang sebab dia pemain yang berkeyakinan dan main untuk Malaysia pun yakin.

"Pada saya jika bermain untuk pasukan yang baik, dan dalam itu ada rakan sepasukan yang baik, kita memang lebih yakin. Sebab itu pemain yang baik perlu cari pasukan baik agar dia jadi jadi leih baik. Arif Aiman memilih pasukan yang baik untuk masa depan bola sepak dia," katanya kepada Majoriti.

WhatsApp Image 2022-12-10 at 2.34.12 PM

Darren memilih Sabah FC untuk meneruskan kariernya pada musim depan. — Facebook/PJ City

Bagaimanapun, Khalid tidak menafikan calon lain iaitu Darren dan Faisal merupakan pemain yang baik namun ada sedikit faktor menghalang mereka untuk merangkul gelaran Penyerang Terbaik ABK22.

Menurut Khalid, pemain kacukan England-Malaysia itu merupakan penyerang yang berbahaya namun jika rakan sepasukannya tidak membantu, ia menjadi punca Darren kurang menyerlah.

Manakala, bagi pemain kelahiran Pulau Pinang itu pula, Khalid berkata, kekurangan yang ada pada Faisal adalah keyakinannya ketika bermain.

"Darren itu satu penyerang yang bahaya, dengan solid, kekerasan, go for the ball tapi masalah dia kalau kawan-kawan tak membantu, dia tak dapat jadi pemain yang baik. Itu satu punca. Kita kena pilih pasukan yang dapat bantu dia.

WhatsApp Image 2022-12-10 at 2.34.20 PM

Faisal berkata, jika dia memenangi Kategori Penyerang Terbaik ABK22, ia adalah hadiah untuk penyokong TFC. — Facebook/TFC

"Saya nampak Faisal kurang yakin pada diri dia. Saya nampak dia sentiasa senyum ketika bermain sehingga buat orang rasa dia tidak serius. Saya rasa itu mengurangkan untuk orang beri kepercayaan kepada dia. Walaupun dia serius, orang rasa dia tak serius. Orang memerhati," tambahnya.

Musim ini, Faisal yang diturunkan dalam 30 perlawanan, berjaya menghasilkan 11 gol dan 14 bantuan jaringan manakala Arif, meledak lapan gol disusuli 16 bantuan jaringan dari 31 perlawanan.

Manakala Darren berjaya menjaringkan 12 gol dan 2 bantuan jaringan dari 24 perlawanan sepanjang musim ini bersama PJ City. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram