Kim Swee, Hodak dan Nafuzi, siapa Jurulatih Terbaik ABK 2022?


  • Podium
  • Ahad, 11 Dis 2022

Tiga calon dipilih untuk merebut gelaran Jurulatih Terbaik ABK22.

KETUA jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee antara tiga individu dicalonkan bagi merebut gelaran Jurulatih Terbaik Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2022 (ABK22) musim ini.

Menerusi kenyataan Liga Bolasepak Malaysia (MFL), bekas ketua jurulatih kebangsaan itu dicalonkan bersama pengendali Kuala Lumpur (KL) City FC, Bojan Hodak dan Nafuzi Zain selaku jurulatih Terengganu FC (TFC).

Kim Swee menyifatkan pencalonan tersebut sebagai satu penghargaan apatah lagi ia merupakan tahun pertama beliau diberi kepercayaan membimbing kelab di pentas Liga Malaysia (Liga M).

"Ia sangat bagus apabila diberi pengiktirafan seperti ini dan sudah pasti amat penting untuk saya sebagai jurulatih untuk melakukan apa yang sepatutnya kepada pasukan musim ini.

"Ini tahun pertama saya sebagai jurulatih Sabah dan saya percaya banyak lagi yang kami boleh perbaiki,” katanya.

Beliau mengakui persaingan hebat bagi memburu gelaran tersebut dan menghormati dua calon lain berdasarkan pencapaian mereka yang cukup memberangsangkan dalam mengendalikan KL City dan TFC pada musim 2022.

Sementara itu, bagi Nafuzi sendiri beliau beranggapan pencalonan kali ini adalah hasil usaha keras satu pasukan untuknya merebut gelaran Jurulatih Terbaik.

Baginya, Hodak yang meraih anugerah tersebut musim lepas berpeluang mempertahankan gelaran itu selain Kim Swee juga telah melakukan tugas terbaik membimbing Sabah mencapai kedudukan tiga teratas Liga Super.

Pada musim lepas, Hodak yang bersaing dengan Nafuzi dan bekas ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT) Benjamin Mora, meraih Anugerah Jurulatih Terbaik itu selepas berjaya membawa pasukan KL City memenangi trofi Piala Malaysia 2021.

ABK22 akan berlangsung secara maya pukul 9 malam pada 15 Disember ini dengan 16 kategori dipertandingkan.

Anugerah yang dipertandingkan ialah Penjaga Gol Terbaik, Pertahanan Terbaik, Pemain Tengah Terbaik, Penyerang Terbaik, Jurulatih Terbaik, Pemain Muda Terbaik, Pemain Import Terbaik dan Pemain Paling Bernilai (MVP).

Selain itu, kategori Penjaring Terbanyak Liga Super, Penjaring Terbanyak Tempatan Liga Super, Penjaring Terbanyak Liga Premier, Penjaring Terbanyak Tempatan Liga Premier, Anugerah Fair Play, Fan XI, Gol Terbaik Liga Malaysia 2022 dan Pasukan Terbaik juga turut diiktiraf.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Kim Swee, Nafuzi, Hodak, jurulatih, ABK22,