TINDAKAN seorang lelaki dipercayai warga Singapura yang mengisi minyak petrol RON95 di Masai, Johor mengundang kecaman ramai susulan gaya pertuturannya yang dikatakan sangat biadab ketika ditangkap.
Ketika kejadian, suspek dilihat tenang mengisi minyak di dalam botol meskipun sudah ditegur dan dicekup oleh si perakam.
Tersentak dengan situasi tersebut, lelaki berjaket hitam dan berseluar pendek itu mendakwa mempunyai ramai kenalan samseng di sekitar Johor dan tidak gentar sekiranya perkara itu dilaporkan kepada pihak polis.
Dikongsikan di laman TikTok, rakaman itu menerima lebih satu juta tontonan setakat ini.
Menurut pemilik akaun TikTok @muadzam, suspek dikatakan tidak berasa takut sekiranya kes itu dibawa ke balai polis, sebaliknya akan mengarahkan sekumpulan samseng untuk turun ke lokasi berkenaan bagi melindungi dirinya.
Suspek kemudiannya difahamkan melarikan diri selepas si perakam melaporkan perkara itu di kaunter bayaran stesen minyak berkenaan.
Berdasarkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), larangan penjualan petrol RON95 kepada kenderaan bernombor pendaftaran negara asing sudah dilaksanakan sejak 1 Ogos 2010.
Namun, isu terbabit dilaporkan kian meruncing apabila ramai warga asing khususnya dari negara Singapura yang masih mengingkari arahan tersebut.
Menjengah di ruangan komen, rata-rata warganet mengecam perbuatan lelaki berkenaan.
"Tahniah kepada yang rakam video kerana berani ambil tindakan, orang macam ini kalau dibiarkan memang akan berlarutan dan tak akan pernah serik walaupun ditahan polis," kata Bodong Boating.
"Duit subsidi rakyat kita yang bayar tapi orang luar sewenang-wenangnya datang isi minyak guna harga tempatan, memang kurang ajar warga Singapura sekarang ini," jelas AJ Zayrul.
"Selain daripada lelaki itu, pemilik stesen minyak juga perlu dijatuhkan hukuman kerana jual minyak murah kepada warga asing," tambah MohdAqil.
Pemilik stesen minyak yang didapati gagal memantau penyalahgunaan petrol RON95 boleh disiasat mengikut Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (PPKB) 1974, Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961.
Ia membawa hukuman pada denda maksimum RM1,000,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram