MENJELANG Piala AFF Mitsubishi Electric yang bakal bermula 20 Disember depan, skuad Harimau Malaya dikejutkan dengan berita kehilangan lebih 12 pemain yang menarik diri daripada sesi latihan kebangsaan.
Antara alasan yang diberikan adalah masalah kecederaan, urusan peribadi dan komitmen keluarga yang nyata mengundang pelbagai spekulasi khususnya bagi peminat tempatan dan ketua jurulatih Kim Pan-Gon.
Lebih mencuri perhatian, rata-rata pemain yang menarik diri daripada panggilan kebangsaan itu adalah terdiri daripada pemain kelab Harimau Selatan, Johor Darul Takzim.
Mengulas lanjut mengenai perkara itu, pemiliknya, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mempertahankan tindakan pemainnya dan turut berkata pemain bukanlah 'mesin' yang mampu bermain sepanjang tahun tanpa cuti.
Di laman Instagram peribadi, Tunku Ismail turut meninggalkan komen berhubung isu tersebut di instastory dengan berkata "Piala AFF adalah piala yang mengacau pemain dan jadual pertandingan, Piala AFF habis 15 Januari, bila nak dapat cuti? Satu tahun main bola dan berlatih tanpa henti, cuti hanya 6 hari dalam satu tahun? Pemain bukan mesin," ujarnya.
Susulan kata-kata yang diberikan, ia nyata mengundang pelbagai komen dan hangat diperkatakan warganet bukan sahaja dalam negara, bahkan turut menerima reaksi daripada negara jiran, Indonesia.
Situasi itu boleh digambarkan apabila pertahanan import skuad Harimau Selatan, Jordi Amat dilihat menjalani sesi latihan bersama skuad Indonesia baru-baru ini.
Pemain berusia 30 tahun itu sebelum ini berjaya meraih status naturalisasi pada November baru-baru ini selepas gagal untuk mendapatkan sebarang peluang bersama negara kelahirannya, Sepanyol.
Menyahut seruan skuad kebangsaan Indonesia, Jordi Amat diberikan pelepasan oleh kelab JDT dan kini sedang membuat persiapan bagi menghadapi saingan di Piala AFF Mitsubishi Electric.
Namun, tumpuan peminat tempatan terarah kepada kenyataan sinis dan perlian yang ditujukan kepada pemilik JDT apabila akaun Instagram garudafansbook dilihat sengaja mencetuskan provokasi terhadap kenyataan dibuat TMJ sebelum ini.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan, akaun kelab penyokong pasukan Garuda itu berkata, "Pemain bukan mesin, tapi panggilan negara adalah nombor satu dan sudah seharusnya menjadi kebanggaan biarpun terlepas sebarang pertandingan," tulis akaun tersebut.
Situasi itu didakwa sengaja ditujukan kepada TMJ susulan isu hangat yang melanda skuad kebangsaan ketika ini khususnya bagi pemain-pemain JDT.
Di ruangan komen, rata-rata warganet menyokong kenyataan tersebut dan turut meluahkan kecaman terhadap pemilik kelab Harimau Selatan tersebut.
"Cuba bayangkan kalau semua pemain ada pemikiran dan fahaman sama seperti pemain yang menolak panggilan kebangsaan itu, habis hancur skuad negara akhirnya," kata madu.herbal.madu.
"Memang betul pun, pemain Malaysia memang manja kalau main tahap dunia tak mengapa la juga, ni main teruk kena latihan lebih sikit semua merungut," jelas muhd.umr.
"Ini bukan masalah pemain, tapi masalah pemilik kelab pasukan yang tidak mengizinkan pemain untuk bermain," tambah saufimaskanan.
"Kali pertama dalam sejarah bola sepak negara kelab pasukan tidak izinkan pemain mewakili negara, memang memalukan bila dibayar gaji lebih sikit dah semua pemain jadi manja," ujar mierul.h.
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebelum ini memaklumkan 11 pemain JDT termasuk Arif Aiman Hanapi, Corbin Ong, Shahrul Saad, Matthew Davies dan Natxo Insa serta tonggak Sri Pahang, Nor Azam Azih tidak dapat menyertai kem kali ini atas pelbagai alasan yang diberikan.
Kehilangan ramai pemain ini menjadikan hanya tinggal 28 pemain untuk diuji sebelum senarai akhir 23 pemain dimuktamadkan.
Ketika ini, pasukan negara sedang melakukan persiapan menghadapi dua aksi persahabatan menentang Kemboja dan Maldives pertengahan bulan ini, sebelum saingan Piala AFF bermula pada 20 Disember hingga 16 Januari tahun depan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram