'Selamat tinggal untuk musim ini', 2 nama import Selangor FC wajar ditunjuk keluar


  • Podium
  • Ahad, 27 Nov 2022

Herlison Caion merupakan antara penyerang import yang banyak menyumbang kepada kemenangan Selangor FC dalam perlawanan sebelum ini. — Bernama

JOHOR Darul Takzim (JDT) mengesahkan status sebagai juara Piala Malaysia 2022 selepas menewaskan pasukan Selangor FC dengan keputusan 2-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu.

Keputusan itu sekali gus menghancurkan impian pasukan Gergasi Merah itu untuk menggenggam trofi kejuaraan tersebut buat kali yang ke-34.

Meskipun berjaya mendahului hasil jaringan sepakan penalti penyerang import, Herlison Caion pada minit ke-45, kegembiraan itu nyata tidak berpanjangan apabila JDT berjaya menyamakan kedudukan di penghujung masa tambahan babak pertama menerusi jaringan Bergson Da Silva.

Gol penyamaan itu terhasil selepas penyerang sensasi itu menanduk masuk hantaran sepakan penjuru Arif Aiman.

Bersambung di separuh masa kedua perlawanan menyaksikan kedua-dua pasukan terus berusaha mencari gol untuk memperoleh jaringan kemenangan.

Rentak permainan Selangor dilihat semakin kucar kacir apabila gagal mengekang asakan bertali arus pasukan lawan yang semakin ghairah memburu gol dengan 15 minit pertama perlawanan menampakkan peningkatan permainan oleh Forestieri dan Arif untuk membantu Bergson di bahagian serangan.

Gol yang dicari-cari akhirnya berjaya dijelmakan selepas Forestieri berjaya merembat masuk bola muntah yang terhidang di hadapannya pada minit ke-58 perlawanan.

Gol itu kekal sehingga ke wisel penamat dan menyaksikan pasukan Harimau Selatan berjaya menebus kekalahan tahun lalu apabila tewas 0-2 di tangan Kuala Lumpur City FC.

JDT dinobatkan sebagai juara Piala Malaysia 2022 selepas menumpaskan Selangor FC dengan jaringan 2-1. — Facebook/Johor Southern Tigers.

Namun, kemenangan itu semestinya menghancurkan hati ribuan penyokong Selangor yang turun ke stadium bagi menyaksikan perlawanan tersebut apabila pasukan kegemaran mereka gagal merealisasikan impian kejuaraan Piala Malaysia buat kali yang ke 34.

Susulan kekalahan itu, rata-rata penyokong Gergasi Merah seakan tidak boleh menerima kegagalan tersebut apabila ruangan komen di laman Facebook memaparkan kekecewaan dan kemarahan warganet.

Walaupun mereka berpuas hati dengan corak permainan yang digarap Ketua Jurulatih Tan Cheng Hoe, tetapi ada bahagian yang perlu diperbaiki segera pada musim depan bagi mencabar kejuaraan.

Antaranya, dua nama pemain import yang dahulunya disanjung dan diminati kini dihujani kecaman dan ada yang meminta mereka untuk ditamatkan kontrak serta merta daripada pasukan tersebut.

Dua nama yang dimaksudkan adalah penyerang Herlison Caion dan pemain tengah Baha'a Abdulrahman yang dikatakan menjadi punca utama kepada kekalahan perlawanan akhir itu.

Meskipun penyerang kelahiran Brazil itu berjaya meletakkan Selangor di hadapan menerusi sepakan penalti, penyokong dilihat berasa tidak berpuas hati dengan persembahannya, lebih-lebih lagi apabila gagal menyempurnakan beberapa peluang keemasan yang terhidang.

Pemain tengah kelahiran Jordan, Baha'a Abdulrahman pula dikritik atas faktor gagal mengawal bola dengan kemas dan sering hilang bola ketika diasak pemain pasukan lawan.

Menjengah ke ruangan komen, warganet mengecam dan meminta agar kedua-dua pemain import itu ditamatkan dan digantikan dengan pemain lain yang lebih berkualiti untuk musim hadapan.

"Musim depan tolong buang Caion dengan Baha tu, pemain paling lemau pernah aku tengok, kalau setakat separuh masa pertama sahaja boleh tahan baik tak payah," kata AlifAzmi.

"Memang perlawanan terakhir la malam ini untuk Caion dan Baha, selamat tinggal untuk musim ini, semuanya ini hanya penipuan," ujar Muhammad Syafiq.

"Kalau Caion dapat sempurnakan setiap peluang di separuh masa pertama mesti boleh menang, tapi dia selalu tak ada nasib dan rezeki malam ni bukan milik Selangor," jelas Nashrick Nasir.

"Dah boleh cari penyerang dan pemain tengah baharu untuk musim hadapan, dua orang itu sudah boleh tukar rasanya sebab banyak sia-siakan peluang depan gol," tambah Hafiz Zamir.

Selangor cuba bangkit selepas ketinggalan namun segala pergerakan mereka berjaya dihalang dengan baik oleh JDT.

Memasuki 15 minit terakhir permainan, tempo permainan semakin perlahan dan tiada percubaan rancak dilakukan oleh pasukan Selangor selepas pergerakan mereka berjaya dihalang dengan baik oleh pertahanan JDT.

Selangor cuba untuk menghidupkan sisa-sisa peluang namun sukar untuk menembusi jaring gol lawan dan keputusan 2-1 kekal sehingga ke akhir perlawanan sekali gus menyaksikan Johor Darul Takzim menamatkan kempen Liga Malaysia dengan menjuarai Piala Malaysia 2022. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram