PEMAIN sayap Johor Darul Takzim (JDT), Safawi Rasid akhirnya meninggalkan pasukan itu selepas menabur bakti bersama pasukan Selatan tanah air itu sejak 2017.
Pemain kelahiran Dungun, Terengganu itu pernah mencuri tumpuan penyokong bola sepak tempatan selepas bergelar pemain terbaik tahunan sebanyak dua kali, iaitu pada 2018 dan 2019.
Namun, sejak perpindahan Safawi secara pinjaman ke kelab Portugal, Portimonense SC pada 2020, dia dilihat semakin kekok untuk membuktikan kemampuannya.
Sejak kepulangannya pada awal musim 2021, Safawi kerap dibelenggu isu kecederaan sehingga memaksa barisan kejurulatihan untuk menyisihkannya di bangku simpanan.
Dalam kempen Liga Super musim ini, penyerang itu hanya tampil dalam 13 daripada 22 aksi Liga Super dengan majoriti daripadanya merupakan kemunculan sebagai pemain simpanan.
Oleh itu, dalam mendapatkan semula rentak dan momentum, JDT dan Safawi bersetuju untuk mengambil haluan masing-masing dengan pemain tersebut sah menyertai kelab Liga 1 Thailand, Ratchaburi FC menerusi pinjaman.
Hantaran di laman Instagram peribadi TMJ seakan-akan menegur hubungan antara Syifa dan Safawi.
Keputusan tersebut sepertinya memberi kelegaan kepada kedua-dua pihak dengan skuad Harimau Malaya mampu membawa masuk lebih ramai pemain sementara Safawi mampu meraih lebih banyak minit permainan.
Bagaimanapun, baru-baru ini, luahan kepada media daripada pemain berusia 25 tahun itu seakan-akan mengguris hati ramai pihak, termasuk penyokong dan badan pengurusan JDT.
Kata Safawi, tahun-tahun sumbangannya bersama pasukan itu sepertinya sudah berakhir dengan dia memberi gambaran bahawa dia akan berpisah selepas kepulangannya pada hujung 2023 supaya dapat memperolehi lebih banyak peluang di atas padang.
Hal itu jelas mendapat respons dengan juara Liga Super sembilan kali berturut-turut berkenaan pantas memberi jawapan terhadap luahan tersebut menerusi satu kenyataan rasmi.
Pengarah Teknikal, Hector Bidoglio berkata, JDT merupakan kelab yang akan membuat penilaian terhadap pemain dengan melihat kepada komitmen dalam setiap persembahan.
Kenyataan itu seakan-akan mengeruhkan keadaan kedua-dua pihak yang sebelum ini pernah terkesan akibat daripada hubungan luar padang antara Safawi dan isterinya, Syifa Melvin.
Perkara tersebut sebelum ini mencuri perhatian penggemar bola sepak tempatan, lebih-lebih lagi apabila pemilik JDT, Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Idris Sultan Ibrahim seakan-akan tidak merestui hubungan itu.
Safawi bakal meninggalkan JDT selepas kempen Piala AFF untuk menyertai Ratchaburi FC secara pinjaman. — Facebook/JOHOR Southern Tigers
Berdasarkan satu hantaran di media sosial peribadi Baginda, prestasi penyerang sayap itu dikatakan semakin merosot sejak mejalinkan hubungan itu pada 2020.
Tidak cukup dengan itu, Syifa yang ketika itu masih berstatus teman wanita Safawi bertindak membalas perkara itu sehingga menyaksikan perbalahan dingin dengan pemain bertubuh kecil itu menjadi mangsa keadaan.
Namun, sekiranya diselusuri sejarah sejak penubuhan JDT, Safawi bukanlah satu-satunya pemain yang pernah ditegur TMJ berikutan isu persembahan dan tahap komitmen di atas padang.
Selain Safawi, terdapat empat lagi pemain yang pernah dikritik secara terbuka oleh TMJ dengan masing-masing berdepan karier berbeza bersama skuad Harimau Selatan.
1. Syafiq Ahmad
Selepas bertahun-tahun bersama skuad Bawah 21 (B-21) dan senior Kedah FA, Syafiq Ahmad mengambil keputusan untuk meningkatkan kemampuannya dengan menyertai JDT pada 2017.
Meskipun menyedari akan cabaran dan saingan yang bakal dihadapi, penyerang lincah itu mengambil keputusan terbabit untuk meraih lebih banyak kejuaraan di samping kesukaran dalam menolak tawaran lumayan itu.
Namun, selepas beberapa musim bersama skuad Harimau Selatan, peluang Syafiq dalam skuad utama sedikit terjejas dengan kehadiran bintang import, seperti Diogo dan Gonzalo Cabrera.
Kecewa dengan perkara itu, pemain berusia 27 tahun itu membuat satu ciapan ringkas di laman Twitter peribadinya sehingga mengundang rasa tidak senang dalam kalangan penyokong.
Luahan hati Syafiq Ahmad mengundang kritikan daripada pemilik JDT itu.
"Seronok tengok kawan-kawan main bola," ciap Syafiq, ringkas pada 2021.
Hal itu sepertinya mendatangkan amarah terhadap TMJ yang memberi kritikan terhadap Syafiq dengan mengingatkan pemain itu untuk terus bekerja keras sekiranya mahu beraksi dengan lebih kerap.
“Siapa yang nak cabaran dalam karier dan memenangi kejuaraan, ayuh datang ke JDT. Siapa nak minit permainan, pergi sertai kelab lain. Tidak ada orang yang paksa," kata Baginda menerusi Instagram.
Teguran itu sepertinya menyuntik perubahan terhadap pemain berketinggian 1.75m tersebut dengan dia membuat permohonan maaf secara terbuka di samping mempunyai sumbangan lebih baik musim ini.
2. Liridon Krasniqi
Pemain kelahiran Kosovo, Liridon Krasniqi pernah mewarnai arena bola sepak tempatan ketika empat musim berkhidmat bersama Kedah FA, termasuk menjuarai Piala Malaysia 2016 dan Piala FA 2017.
Kehadirannya dalam pasukan itu cukup penting dengan dia bijak mewujudkan hubungan serasi bersama rakan sepasukan, terutama penyerang kelahiran Brazil, Sandro da Silva.
Bagi penyokong Hijau Kuning, mereka cukup menghargai kehadiran Liridon yang cukup membantu skuad itu untuk kembali ke Liga Super selain kerap menunjukkan kesungguhan di atas padang.
Tetapi, pemain berusia 30 tahun itu seperti terlalu terbawa-bawa dengan pujian menggunung yang diberikan dengan melabel dirinya sebagai 'legenda Kedah' pada 2018.
Liridon (kiri) pernah mengatakan dirinya sebagai seorang legenda Kedah.
Kenyataan berkenaan seakan-akan mengundang perhatian orang ramai, termasuk TMJ yang menganggap pemain itu tidak layak untuk terlalu membangga diri meskipun sudah empat musim bersama kelab Utara tanah air itu.
Lebih teruk lagi, pemilik JDT itu juga tidak teragak-agak untuk menyatakan pemain tengah, Baddrol Bakhtiar sebagai legenda Kedah FA dengan hal itu sememangnya sukar untuk dipersoalkan.
Menariknya, pada 2019, Liridon menyertai JDT selepas dilepaskan kelab itu dengan dia kemudiannya meninggalkan kelab Selatan tanah air itu secara pinjaman beberapa kali.
3. Guilherme de Paula
Pemain kelahiran Brazil, Guilherme de Paula pernah menggegarkan arena bola sepak tempatan apabila digelar sebagai antara penyerang import terbaik ketika bersama Selangor FC dan Perak FC.
Sentuhan dan larian derasnya jelas mengecewakan pihak lawan dengan dia beberapa kali mencuri perhatian menerusi jaringan cantik dari luar kotak penalti serta gelecekan mengelirukan.
Bagaimanapun, selepas skuad The Bos Gaurus (TBG) berdepan isu kewangan, pemain berusia 36 tahun itu akhirnya memilih untuk menyertai JDT untuk meneruskan kariernya.
Tidak cukup dengan itu, de Paula yang berjaya mendapat status naturalisasi ketika bersama Perak FC dilihat semakin kerap dibawa masuk ke dalam skuad kebangsaan.
Teguran terbuka TMJ terhadap de Paula merupakan gurauan secara halus.
Namun, hal itu jelas memberi kesan buruk terhadap prestasinya, terutama ketika dia menyarung jersi Harimau Malaya dengan penyokong dan pemerhati bola sepak tempatan melempar kritikan tidak henti-henti kepadanya.
Tetapi, melihat kepada beberapa aksi bersama JDT, de Paula dikatakan masih bermain dengan bersemangat dalam memberi tekanan kepada pihak lawan serta melakukan larian awal.
Hal itu seakan-akan menimbulkan persoalan sehingga TMJ sendiri menjawab hal itu dengan mengingatkan pemain bertubuh sasa tersebut supaya tidak beraksi dengan sambil lewa.
"Kenapa di JDT de Paula tak jogging tetapi dia kerap membuat high pressing (tekanan kepada pertahanan)? Kerana di JDT, kalau bermain sambil lewa, dia berenang dalam kolam buaya," tulis Baginda menerusi Instagramnya.
Meskipun hal itu seakan-akan menjadi gurauan, ia menandakan bahawa pemain itu tidak terkecuali daripada menerima teguran daripada pemilik tegas tersebut meskipun pernah menjadi antara wajah import terbaik.
4. Akhyar Rashid
Kehadiran penyerang sayap muda, Akhyar Rashid ke JDT menimbulkan pelbagai persoalan dengan segelintir penyokong melabel dia disambar secara tidak profesional daripada KDA FC.
Bagaimanapun, kemarahan itu secara tiba-tiba pudar dengan pemain berusia 23 tahun terbabit dikhabarkan mempunyai isu disiplin yang terpaksa ditanggung pihak kejurulatihan Harimau Selatan.
Perkara itu dapat disaksikan dengan pemain kelahiran Jitra, Kedah itu kerap disisihkan daripada kesebelasan utama di samping kerap dipandang rendah dalam perlawanan.
Isu tersebut pernah mencuri perhatian media tempatan apabila TMJ pernah menegur Akhyar secara terbuka di samping memberikannya denda yang sedikit membebankan.
Akhyar (kiri) dikatakan mempunyai isu displin ketika menyertai JDT. — Facebook/JOHOR Southern Tigers
“Kalau training lewat ke, macam contoh datang lewat training denda RM15,000. So takde main-main dalam cerita JDT dan player pernah tak silap saya Akhyar Rashid pernah lambat sekali, kena bayar denda," kata Baginda pada 2021.
Walaupun ia dilihat setimpal dengan keengganan Akhyar untuk menambah baik prestasi dan reputasinya, luahan TMJ itu berjaya menarik perhatian ramai dengan masa depan pemain sayap kiri tersebut semakin malap.
Musim ini, pemain bertubuh kecil itu hanya diturunkan dalam tujuh aksi Liga Super dengan empat daripadanya merupakan penampilan dari bangku simpanan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram