SELEPAS terlalu kerap diletakkan di bangku simpanan, penyerang Johor Darul Takzim (JDT), Safawi Rasid akhirnya mengambil keputusan untuk meninggalkan pasukan itu secara pinjaman.
Dia yang akan menyertai kelab Thailand, Ratchaburi FC musim depan menegaskan langkah itu adalah untuk membolehkannya mendapat lebih banyak minit permainan selain meraih pengalaman berharga.
Musim ini, sentuhan pemain berusia 25 tahun itu tidak ditagih skuad Harimau Selatan berikutan kehadiran penyerang sayap muda, Arif Aiman Hanapi yang cukup cemerlang setiap kali diturunkan.
Perkara itu dibuktikan apabila dia hanya meraih 13 penampilan dalam kempen Liga Super dengan kesemua daripadanya merupakan aksi dari bangku simpanan.
Namun, sentuhannya di hadapan pintu gol juga tidaklah mengecewakan apabila berjaya menjaringkan dua gol serta mencipta tiga hantaran yang disempurnakan rakan sepasukan.
Oleh itu, tidak hairanlah apabila khabar angin sebelum ini mengaitkannya dengan kepulangan ke Terengganu FC, yang mana merupakan pasukan pertama dalam karier profesionalnya.
Tetapi, pengumuman daripada pihak pengurusan JDT menyaksikan Safawi berkelana ke Thailand dengan turut disertai rakan sepasukannya, Moussa Sidibe.
Keputusan itu pada mulanya dilihat menggembirakan kesemua pihak, termasuk penyokong setia Harimau Selatan dengan segelintir daripadanya merindui sentuhan bekas pemain terbaik 2018 dan 2019 itu.
Bagaimanapun, baru-baru ini, Safawi dikatakan seakan-akan membangkitkan kemarahan peminat setia pasukan dengan menyatakan bahawa dia bakal mencari kelab lain selepas tempoh pinjamannya tamat.
Berdasarkan laporan media tempatan, pemain kelahiran Dungun, Terengganu itu berkata, dia memerlukan minit permainan dan tidak boleh kekal di bangku simpanan melihat kepada usianya ketika ini.
Penyokong JDT seakan-akan terguris dengan luahan Safawi mengenai masa depannya. — Facebook/JOHOR Southern Tigers
Hal itu bagaikan sukar untuk diterima dengan tinjauan di media sosial mendapati luahan penyokong JDT menyifatkan sikap pemain tersebut tidak menghargai kelab berkenaan.
"Maaf untuk saya katakan, tetapi dia memang sudah tidak layak untuk bermain dengan JDT kerana gerak permainannya sudah semakin perlahan dan tidak mahu menyokong rakan sepasukan.
"Untuk diturunkan di kesebelasan utama pun tidak membantu dan dia dah boleh keluar untuk cari pasukan lain rasanya. Nak bersaing dengan Arif pun sudah tidak boleh," kata Suraya Borhan.
"Pada saya, ayat Safawi itu tidak berapa elok sedangkan di JDT sudah serba lengkap tetapi diri sendiri yang tidak boleh ketepikan Arif dan tiba-tiba sahaja mengeluarkan kenyataan sebegitu," kata Pza Putra.
"Saya nampak dia selalu diletakkan di bangku simpanan tetapi apabila diberikan peluang, tidak menunjukkan kesungguhan, kerap kehilangan bola dan hantaran juga kurang tepat," kata Hrv Miky.
Sebelum ini, Safawi terpalit dengan kontroversi apabila pemilik JDT, Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Idris Sultan Ibrahim seakan-akan tidak merestui hubungannya di luar padang.
Tidak cukup dengan itu, penghijrahannya ke kelab Portugal, Portimonense pada 2020 juga gagal membuahkan sebarang hasil dengan tempoh pinjaman itu dipendekkan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram