'Tokong is real? TMJ tak salah, jangan salahkan FAM.. tapi takkan FAM nak diam je?'


  • Podium
  • Jumaat, 02 Dis 2022

Malaysia bakal membuka cabaran kempen Piala AFF 2022 bermula 20 Disember depan. — Facebook/FAM

TOKONG is real? Susulan tindakan 14 pemain yang menolak panggilan untuk menyertai skuad Harimau Malaya bagi menghadapi Piala AFF Mitsubishi Electric 2022 bermula 20 Disember depan, makin ramai penyokong kembali membangkitkan isu ‘tokong’ dalam bola sepak tanah air.

Rata-ratanya penyokong Harimau Malaya mulai bersetuju dengan dakwaan Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sebelum ini bahawa ada 'tokong' yang mengawal bola sepak Malaysia.

“Sedih 12 pemain Harimau Malaya tarik diri semua dari JDT. Mentang-mentang layak Asian Cup. Betul kata Sanusi ada tokong. Orang bangga main dengan Malaysia dan Piala AFF ini. Tapi kita terbalik bangga nak menang Piala Malaysia. Kasihan mamat Korea Kim Pan-gon ini terpaksa melayan ketengingan pemain Malaysia,” dakwa seorang peminat bola sepak, Mishar Al Hafiz Mislan.

“Sampai ke sudah tak ke mana bola Malaysia ini. Jaguh kampung sajalah. ‘ada tokong’ - Don Nusi, 2022,” tulis pengguna akaun Facebook, Amir Ibn Hasni.

Bagaimanapun, bagi legenda bola sepak tanah air, Datuk Jamal Nasir, tindakan pemilik kelab termasuk TMJ yang tidak melepaskan para pemainnya itu merupakan tindakan wajar.

Bekas pemain bola sepak negara itu menjelaskan bahawa setiap kelab yang bersaing dalam Liga Malaysia (Liga M) mempunyai hak untuk tidak melepaskan para pemainnya ke kem kebangsaan kerana ia dilangsungkan di luar jendela aksi antarabangsa.

LIST NAME

11 pemain utama JDT tidak dapat menyertai kem latihan Harimau Malaya kali ini. — FAM

Oleh itu, ujar beliau, tindakan TMJ yang tidak melepaskan 11 pemainnya memang boleh berlaku serta tidak menjadi kesalahan.

“Perkara itu bukan dalam kalendar FIFA, kelab berhak untuk tidak melepaskan pemain. Jika dalam kalendar FIFA sahaja tidak boleh. Mereka wajib hantar pemain dia.

“Mungkin pasukan lain dia lepaskan kerana ramai pemainnya tiada kontrak dan akan main kelab lain. Jadi tiada masalah untuk dia lepaskan.

“Macam JDT, mereka kekalkan pemain (musim depan). Jadi itulah hak dia untuk tidak melepaskan pemain,” katanya kepada Majoriti.

Bukan itu sahaja, bekas pemain Pahang itu juga berkata, penyokong tidak boleh menyalahkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam isu ini.

Baginya, jika kejohanan Piala AFF itu dicadangkan untuk dimasukkan dalam kalendar Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), mungkin pemilik kelab akan lebih mudah untuk lepaskan bintang mereka.

“Masalah tegas atau tidak tegas FAM itu nombor dua. Masalah dia dalam kelab-kelab, mereka perlu tahu kalendar FIFA.

“Jika AFF nak cadangkan kepada FIFA supaya masuk kalendar, tiada masalah. Jika tak masuk kelab ada hak untuk tak lepaskan pemain,” jelasnya.

Begitupun pemerhati bola sepak, Zack Rahim sebaliknya menegaskan, FAM sepatutnya memberi respons mengenai isu berkenaan.

Beliau yang juga bekas pengurus Selangor selain pernah menjadi ejen Safee Sali berkata, meskipun kejohanan berkenaan tiada dalam kalendar FIFA, namun adalah tanggungjawab seorang pemain bola untuk menabur bakti kepada negaranya.

KPG

Kim Pan-gon sebelum ini menyatakan penarikan diri secara beramai-ramai daripada bermain dalam skuad kebangsaan merupakan senario unik. — Facebook/FAM

“Takkan FAM nak senyap je. Tahun 2009 dulu, kalau cakap macam ini, mesti kena denda beribu-ribu ringgit. Yakinlah, FAM tak akan respons. Jawapan saya, kalau tak mahu dipanggil main untuk negara, jangan main betul-betul di liga. Main leha leha (sambil lewa) sahaja. Tapi masalahnya di Malaysia ini, jangan kata main leha leha, duduk bench pun dapat call-up. Asalkan berada di sebuah kelab ternama.

“Bermain untuk negara adalah satu kebanggaan dan kewajipan tak kira kejohanan tu dalam kalendar FIFA ke kalendar AFC ke mahupun kalendar kuda. Sesiapapun rakyat Malaysia jika dipanggil untuk berkhidmat kepada negara bagi sesuatu misi, jika sihat tubuh badan, adalah wajib melapor diri dan bertugas.

“Ke mana tumpahnya darah kita kalau tidak untuk negara kita. Tapi kalau nak terlalu berkira penat lah, machine lah, tak rehat lah, kalendarlah, maka didoakan anda selamat dunia dan akhirat. Kalau nak main untuk negara pilih piala, hmmm...payah. Kecualilah FAM menetapkan piala ini untuk pasukan utama, piala ini untuk pasukan kedua,” tulisnya.

Pada masa sama, Zack turut mencadangkan agar pemegang taruh di FAM untuk berbincang mengenai keadaan para pemain pasukan kebangsaan.

“Lepas ini, semua pemegang taruh di FAM perlu bincangkan apakah perlu Malaysia mempunyai pasukan kebangsaan kerana pemain-pemain Malaysia tidak lasak dan selalu penat. Dan perlukah FAM memakai barang orang lain lepas ini? FAM juga perlu kaji sikap mereka selama ini yang tak bertimbang rasa bila guna barang orang lain. Masa ambil elok, bila pulang balik habis barai.

“FAM perlu kaji fungsi mereka dalam sistem bola sepak negara. Apakah mereka diperlukan lagi atau digabungkan dengan persatuan lain seperti Konfederasi Hoki Malaysia (MHF), Badminton Association of Malaysia (BAM) atau dengan semua sekali. Kali ini FAM dilihat bagai teratai layu di tasik Jeaju,” luahnya.

Sebelum ini pada Rabu, TMJ membidas kata-kata pengendali Harimau Malaya, Pan-gon yang menyatakan pengalaman pertamanya menghadapi situasi lebih sedozen pemain utama tidak menyahut seruan misi negara.

“Pakai barang orang tetapi tiada sikap bertimbang rasa,” tulis TMJ menerusi laman Instagram Story milik baginda.

tmj komen

Tangkap layar kenyataan TMJ. — Instagram

Pada perkongsian tersebut, TMJ menulis panjang lebar mengenai sifat kemanusiaan yang perlu diterapkan ke dalam pengurusan sekiranya sesuatu entiti mahu anak-anak buah mereka menyerlahkan potensi terbaik mereka.

Menurutnya, pemimpin perlu memiliki simpati terhadap pekerja mereka dan bekerja secara kolektif bagi mencapai matlamat lebih jauh berbanding sekadar mahu keselesaan sementara.

Sebagai rekod, FAM sebelum ini memaklumkan 11 pemain JDT termasuk Arif Aiman Hanapi, Corbin Ong, Shahrul Saad, Matthew Davies dan Natxo Insa serta tonggak Sri Pahang, Nor Azam Azih tidak dapat menyertai kem kali ini atas pelbagai alasan seperti urusan peribadi, komitmen keluarga dan masalah kecederaan.

Kemudiannya pada hari pertama kem latihan pada Selasa, dua lagi pemain, Akram Mahinan dan Declan Lambert pula turut menarik diri daripada skuad kerana urusan peribadi.

Dalam perkembangan berkaitan, usaha Majoriti mendapatkan reaksi balas FAM begitupun menemui jalan buntu apabila Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman gagal dihubungi serta tidak menjawab pesanan WhatsApp, sementara Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin juga difahamkan berada di Qatar sejak minggu lepas sempena kempen Piala Dunia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram