LUAHAN Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon berkenaan pengalaman pertamanya menghadapi situasi lebih sedozen pemain utama tidak menyahut seruan misi negara, mendapat respons balas pemilik kelab Johor Darul Takzim (JDT), Tunku Mahkota Johor (TMJ),Tunku Ismail Idris Sultan Ibrahim pada Khamis.
Menerusi laman Instagram Story, TMJ membidas kata-kata pengendali dari Korea Selatan itu dengan kenyataan sinis: "pakai barang orang tetapi tiada sikap bertimbang rasa".
Pada perkongsian tersebut, TMJ menulis panjang lebar mengenai sifat kemanusian yang perlu diterapkan ke dalam pengurusan sekiranya sesuatu entiti mahu anak-anak buah mereka menyerlahkan potensi terbaik mereka.
Menurutnya, pemimpin perlu memiliki simpati terhadap pekerja mereka dan bekerja secara kolektif bagi mencapai matlamat lebih jauh berbanding sekadar mahu keselesaan sementara.
Sebagai rekod, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebelum ini memaklumkan 11 pemain JDT termasuk Arif Aiman Hanapi, Corbin Ong, Shahrul Saad, Matthew Davies dan Natxo Insa serta tonggak Sri Pahang, Nor Azam Azih tidak dapat menyertai kem kali ini atas pelbagai alasan seperti urusan peribadi, komitmen keluarga dan masalah kecederaan.
Kemudiannya pada hari pertama kem latihan pada Selasa, dua lagi pemain, Akram Mahinan dan Declan Lambert pula turut menarik diri daripada skuad kerana urusan peribadi.
Kehilangan ramai pemain ini menjadikan hanya tinggal 28 pemain untuk diuji sebelum senarai akhir 23 pemain dimuktamadkan.
Malaysia akan terlibat dengan perlawanan antarabangsa Tier 1 menentang Kemboja di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 9 Disember depan depan dan berdepan Maldives di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur di Cheras pada 14 Disember sebelum memulakan cabaran pada saingan Piala AFF dari 20 Disember hingga 16 Januari tahun depan.
Tangkap layar perkongsian TMJ.
Perkongsian TMJ itu mencetuskan perdebatan dalam kalangan penyokong tempatan yang mana sebahagian daripada mereka bersetuju, manakala sebahagian lagi berasa simpati terhadap Pan-gon yang cuma mangsa keadaan.
Pemerhati sukan, Zuraimi Zukri menganggap bidasan TMJ terhadap kenyataan Pan-gon itu tidak munasabah kerana dia hanya berkongsi pengalamannya.
"Boleh dah Kim Pan-gon perlahan-lahan kemas beg selepas kejohanan AFF. Baru dia tahu macam mana jadi jurulatih Malaysia.
"Itu baru Kim Pan-gon cakap pengalamannya tak pernah tengok pemain tolak international call up. Bukan dia kata kat sesiapa pun," tulisnya.
Tambah Zuraimi, sekiranya setiap pasukan mengikuti jejak langkah JDT, perkara itu akan menjadi satu bencana kerana tiada siapa akan melepaskan pemain terbaik mereka untuk kejohanan bukan dalam kalendsr FIFA.
"Apa yang dikatakan oleh TMJ, sudah lama saya tulis di personal wall, apa dia?
"Maka, dengan itu dicadangkan FAM memberitahu AFF, kejohanan itu perlu dijalankan seperti UEFA Nations League.
"FAM tidak boleh mengambil lebih 10 sehari dari international break kerana pemain adalah milik kelab. Mereka yang membayar gaji.
"Apa yang dikatakan TMJ tentang FAM melibatkan minggu antarabangsa adalah benar.
"Siapa boleh lupa sikap Liga Bola Malaysia (MFL) yang postponed dua minggu game kerana satu international break. Isunya di international break bukan tournament. Kena asingkan dulu dua benda berbeza.
"Akhir sekali, semua orang cuma boleh kata kepada diri sendiri. Kita semua tak bertanggungjawab atas apa yang orang lain faham, kita semua hanya bertanggungjawab atas apa yang kita cakap," jelasnya.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram