[VIDEO] Lima pemain dijangka 'gugur' daripada JDT musim depan


  • Podium
  • Ahad, 04 Dis 2022

JDT dijangkan dibarisi ramai pemain-pemain muda pada musim depan. — Agensi

DULI Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Idris Sultan Ibrahim membuat pengumuman rasmi mengenai perancangan pasukan Johor Darul Takzim (JDT) bagi menghadapi saingan Liga Super musim depan.

Perkara tersebut diberitahu menerusi sebuah video yang dimuat naik oleh Facebook rasmi JDT iaitu JOHOR Southern Tigers pada Rabu.

Dalam video tersebut, TMJ memberitahu hala tuju JDT dan perubahan dalam skala yang besar akan dilakukan bagi musim depan.

Antaranya ialah mengeluarkan beberapa pemain sedia ada secara pinjaman ataupun tetap untuk memberi laluan kepada pemain muda dari JDT II sertai skuad utama.

Justeru, Majoriti menyenaraikan lima pemain JDT dijangka tinggalkan Harimau Selatan bagi saingan Liga Super musim depan:

Azrif

Azrif sukar untuk mendapat tempat dalam skuad utama selepas posisi pertahanan kanan dipegang oleh Matthew Davies. — Facebook/JDT

1. Mohd Azrif Nasrulhaq

Penyokong Selangor FC pastinya mengenali figura ini yang pernah di canang sebagai pengganti pemain legenda iaitu S.Kunalan semasa perpindahannya ke JDT pada 2014.

Azrif pernah terpalit dengan kontroversi apabila memaksa majikannya ketika itu Selangor melepaskannya ke skuad Harimau Selatan pada 2016.

Pemain berusia 31 tahun itu turut pernah berhasrat menebus kontraknya membabitkan nilai RM960,000 bagi sertai JDT.

Namun ketika bersama JDT, Azrif sukar untuk mendapat tempat dalam skuad utama selepas posisi pertahanan kanan dipegang oleh Matthew Davies.

Tahun ini bukanlah musim yang baik buat Azrif apabila khidmatnya banyak digunakan untuk JDT II di Liga Perdana.

Azrif menyertai JDT pada 2016 daripada Selangor dan kontrak dia di JDT dikhabarkan sudah tamat 30 November yang lalu.

2. Guilherme de Paula

Bekas penyerang naturalisasi kebangsaan, Guilherme de Paula dijangka dilepaskan JDT selepas hampir satu musim tidak dapat beraksi bersama skuad Harimau Selatan itu.

TMJ sebelum ini mendedahkan bahawa JDT akan menandatangani dua pemain import dari Sepanyol, Brazil dan seorang pemain tempatan.

Ini akan membuatkan De Paula semakin hilang tempat di JDT apatah lagi pemain import yang bakal ditandatangani TMJ ialah posisi penyerang.

Pada November lalu, De Paula diberi peluang oleh Ketua Jurulatih JDT, Hector Bidoglio untuk turun beraksi menentang Persis Solo dalam perlawanan persahabatan antarabangsa di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor.

Namun dalam perlawanan itu, pada minit ke-72 JDT dihadiahkan sepakan penalti selepas Mohamadou Sumareh dijatuhkan penjaga gol lawan.

Tetapi peluang memperoleh gol mudah itu tidak dimanfaatkan De Paula yang gagal menyudahkan penalti tersebut.

Adam

Adam hanya bermain sebanyak enam perlawanan dalam semua kejohanan domestik dan antarabangsa bersama JDT. — Facebook/JDT

3. Adam Nor Azlin

Pernah menempa nama selaku pertahanan muda terbaik dalam negara, Adam Nor Azlin dijangka meninggalkan JDT bagi musim depan.

Sebelum ini Adam bermain sebagai penyerang bersama Selangor FC namun ditukarkan ke posisi pertahanan dan mula mendapat perhatian jurulatih Harimau Muda, Datuk Ong Kim Swee pada 2018.

Tidak banyak yang boleh diperkatakan tentang Adam sejak dia sertai JDT pada 2017.

Pada musim ini, Adam hanya bermain sebanyak enam perlawanan dalam semua kejohanan domestik dan antarabangsa bersama JDT.

Kehadiran Jordi Amat pasti lebih sukar untuk Adam menembusi kesebelasan utama JDT dengan pemain muda, Feroz Baharudin sering menjadi pilihan ketua jurulatih.

4. Muhammad Daniel Amier

Daniel Amier pernah membantu skuad Harimau Muda melakar kemenangan ke atas gergasi Asia, Arab Saudi dalam kejohanan Piala Asia B23 pada 2018.

Ketika itu, dia merembat bola dengan padu sehingga menewaskan penjaga gol Arab Saudi serta membantu skuad Harimau Muda layak ke pusingan kalah mati.

Pemain berusia 25 tahun itu, mula mendapat perhatian pasukan JDT selepas aksi lincahnya bersama Felda United.

Selepas beraksi bersama pasukan remaja Felda United serta skuad utama, Daniel sertai JDT pada 2020 dengan berharap aksinya akan lebih baik selepas itu.

Namun kehadiran beberapa pemain tengah seperti Natxo Insa, Afiq Fazail, Nazmi Faiz dan lain-lain menyukarkan dia untuk tembusi skuad utama JDT.

Izham

Izham banyak menghabiskan masa menjadi penjaga gol kedua ataupun ketiga di belakang Farizal Marlias. — Facebook/JDT

5. Izham Tarmizi

Pemain berusia 31 tahun ini pastinya akan meninggalkan skuad Harimau Selatan selepas khabar angin mengatakan penjaga gol kebangsaan, Syihan Hazmi akan sertai mereka musim depan.

Semasa di JDT, Izham banyak menghabiskan masa menjadi penjaga gol kedua ataupun ketiga di belakang Farizal Marlias.

Dikhabarkan, Sri Pahang FC berminat untuk mendapatkan khidmat Izham bagi menggantikan penjaga gol import mereka iaitu Mamadou Samassa.

Persoalannya, adakah Izham akan terbuka untuk meninggalkan Harimau Selatan selepas dia merupakan antara pemain paling setia berkhidmat selepas menyertai mereka pada 2014. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram