BARU-BARU ini kecoh di media sosial membincangkan mengenai pemilihan skuad kebangsaan untuk mengharungi kempen Piala AFF yang dijadualkan bakal berlangsung 24 Disember ini.
Ketiadaan beberapa tonggak pasukan, khususnya 12 pemain daripada Johor Darul Takzim (JDT) menarik perhatian bukan sahaja peminat fanatik bola sepak tempatan, malah pemerhati sukan tempatan.
Antara nama yang tidak tersenarai ialah pertahanan, Corbin Ong serta penyerang muda licik, Arif Aiman Hanapi di mana kedua-dua mereka adalah tulang belakang skuad Harimau Malaya.
Bagi ketua jurulatih, Kim Pan-gon, dia mengakui perkara itu sedikit sebanyak mengganggu percaturan skuad sehingga dia melabel perkara itu 'mengejutkan' dan tidak pernah berlaku sepanjang karier kejurulatihannya.
TMJ tidak berdiam diri selepas isu pemilihan pemain Piala AFF mencetuskan perdebatan hangat.
Menjawab komen itu, pemilik JDT, Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Idris Sultan Ibrahim tidak teragak-agak untuk berkongsi pendapat menerusi satu hantaran dalam laman Instagram peribadinya.
Kata TMJ, keputusan itu dibuat selepas berpendapat pemain perlu mendapat rehat secukupnya, apatah lagi apabila mereka mengharungi satu kempen domestik yang sibuk.
Selain itu, turut ditegaskan jurulatih kelahiran Korea Selatan itu sepatutnya melihat situasi pasukan secara lebih meluas dengan meletakkan sasaran lebih tinggi, iaitu bermain dengan cemerlang ketika kempen Piala Asia tahun depan.
Namun, pada Khamis, bara kemarahan penyokong sekali lagi marak apabila pertahanan import skuad Harimau Selatan, Jordi Amat dilihat berada dalam sesi latihan bersama skuad Indonesia.
Jordi Amat menyertai sesi latihan skuad kebangsaan Indonesia untuk menghadapi kempen Piala AFF. — Agensi
Pemain berusia 30 tahun itu sebelum ini berjaya meraih status naturalisasi pada November baru-baru ini selepas gagal untuk mendapatkan sebarang peluang bersama negara kelahirannya, Sepanyol.
Seorang penyokong bola sepak tempatan, Hano Kitaro mempersoalkan keputusan untuk membenarkan pemain itu berlatih meskipun pihak pengurusan bertegas pemain perlu diberikan rehat secukupnya.
"Pemain paling mahal dalam skuad JDT yang juga bermain dalam saingan Liga Juara-juara AFC (ACL) boleh pula dilepaskan, adakah pasukan itu asalnya dari Indonesia?" katanya.
Perkara itu turut dipersoalkan Faizal Baharudin yang seakan-akan tertanya mengenai alasan terbaru daripada pihak pengurusan untuk memberinya kelepasan kempen Piala AFF.
"Ahhh sudah, nak beri alasan apa pula ya kali ini? Boleh pula yang ni lepas?," katanya.
Bagi Kilang Kejuruteraan pula, dia seakan-akan berseloroh dengan mengatakan Jordi sepatutnya diberikan rehat seperti mana yang ditegaskan barisan kejurulatihan JDT.
"Jordi ni tak penat ke? Rakan sepasukan yang lain di JDT sepertinya penat dan memerlukan cuti pada penghujung tahun. Jordi tak sambut Hari Natal ya?" katanya.
Selepas menyertai juara Liga Super itu ketika jendela perpindahan pertengahan musim, Jordi tidak dapat diturunkan ketika aksi Liga Super berikutan kuota pemain import sudah diisi.
Bagaimanapun, ketika diturunkan dalam aksi ACL dan Piala Malaysia, bekas pertahanan Swansea City itu membuktikan kemampuannya dengan beraksi cemerlang selepas hanya dibolosi sekali dalam tiga penampilan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram