ABK 2022: Arif Aiman antara 4 nama dahului calon, kekal jadi pilihan peminat


  • Podium
  • Khamis, 08 Dis 2022

Aksi Arif Aiman (tengah) ketika menentang UiTM FC pada Mac tahun lalu. — JDT

UNTUK menghargai dan meraikan pemain terbaik dalam sukan bola sepak tempatan, Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK) dianjurkan setiap tahun dengan pelbagai kategori dipertandingkan.

Anugerah yang dianjurkan pihak Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) itu kerap mengiktiraf individu terbaik dalam tanggungjawab masing-masing, dengan ramai nama-nama besar pernah membawa pulang gelaran tersendiri.

Antara kategori yang dinanti-nantikan merupakan Pemain Paling Bernilai (MVP) apabila penyerang sayap Johor Darul Takzim (JDT), Arif Aiman Hanapi muncul sebagai pemenang tahun lepas.

file7ewnkfkxxvoo56w4996

Arif Aiman muncul sebagai pemenang MVP pada tahun lepas. — JDT

Pemain kelahiran Pahang itu mencipta sejarah tersendiri dengan menjadi pemain termuda untuk membawa gelaran berkenaan, apabila dia hanya berusia 19 tahun ketika itu.

Namun, hal itu tidak dipersoalkan peminat bola sepak tempatan, apabila dia sememangnya menjadi watak penting ketika mereka menjuarai Liga Super buat lapan kali berturut-turut.

Hal itu dilihat bakal berulang tahun ini apabila Arif sekali lagi muncul sebagai antara tonggak skuad Harimau Selatan yang membolot kesemua empat trofi Liga Malaysia.

Musim ini, pemain bersusuk tubuh kecil itu menarik perhatian ramai, dengan merekodkan 20 bantuan gol dalam kesemua perlawanan termasuk lapan jaringan peribadi.

Lebih hebat lagi, Arif Aiman turut mencatatkan namanya dalam sejarah bola sepak tanah air, apabila dipilih sebagai pemain terbaik dalam pentas akhir Piala FA dengan menjaringkan satu gol menentang Terengganu FC.

Jadi, tidak hairanlah apabila namanya mula disebut-sebut sebagai pemain yang bakal membawa pulang gelaran itu, sekali gus mengenepikan cabaran calon-calon lain.

Bagaimanapun, sekiranya diperhatikan dengan lebih mendalam, beberapa tonggak pasukan Liga Malaysia turut berpeluang cerah untuk dipilih sebagai MVP ABK 2022.

1. Faisal Halim

file7niy4yey708s4z3slub

Rata-rata penyokong skuad Sang Penyu gusar akan kehilangan Faisal musim depan. — TFC

Selain JDT, Terengganu FC turut mencatatkan satu musim cemerlang apabila muncul sebagai naib juara Liga Super di samping bergelar sebagai finalis Piala FA.

Kehilangan ketua jurulatih, Nafuzi Zain yang sah menyertai Kedah sememangnya mengecewakan penyokong Sang Penyu.

Namun, seorang lagi individu yang sememangnya menjadi faktor utama di sebalik kejayaan itu ialah penyerang sayap berusia 24 tahun, Faisal Halim.

Dalam kempen Liga Super, pemain berkenaan mencatatkan enam gol dan sembilan 'assist' dengan hantaran lintang berkualiti, di samping kemampuan untuk menggelecek mengatasi pertahanan lawan.

Tidak cukup dengan itu, jumlah keseluruhan bantuan gol Faisal juga tidak mengecewakan dalam kesemua perlawanan, apabila dia membantu rakan sepasukan sebanyak 18 kali sepanjang musim.

Berdasarkan statistik tersebut, pemain kelahiran Seberang Jaya, Penang itu dilihat mempunyai peluang cerah untuk dinobatkan sebagai MVP Liga Malaysia 2022.

2. Brendan Gan

file77z2pegt66017a9cy73n

Khidmat Brendan diguna secara maksimum dengan memberikannya pengaruh lebih besar di atas padang.

Permulaan musim yang sukar buat Selangor FC menarik perhatian penyokong bola sepak tempatan ketika mereka bergelut, sehingga menyaksikan penyingkiran ketua jurulatih kelahiran Jerman, Michael Feichtenbeiner.

Oleh itu, dalam meredakan keadaan, pemilik pasukan, Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin mengambil keputusan untuk mendapatkan khidmat ketua jurulatih berpengalaman, Tan Cheng Hoe.

Perubahan tersebut sememangnya membawa perbezaan buat skuad Gergasi Merah yang berjaya menduduki tangga kelima Liga Super, selain muncul sebagai finalis Piala Malaysia.

Antara pendekatan yang dibuat Cheng Hoe ialah menggunakan khidmat kapten pasukan, Brendan Gan secara maksimum dengan memberikannya pengaruh lebih besar di atas padang.

Hal itu dibuktikan apabila pemain kacukan Malaysia-Australia berkenaan merekodkan lima gol dalam 16 penampilan Liga Super, selain muncul dalam kesemua aksi Piala Malaysia.

Sekiranya perkara itu tidak cukup untuk melayakkannya membawa pulang anugerah berprestij itu, kesungguhan Brendan turut terserlah apabila dia yang baru sahaja sembuh daripada kanser testikular tidak perlu menunggu lama untuk kembali ke dalam pasukan.

Bukan itu sahaja, kehadirannya turut dirasakan bersama skuad kebangsaan apabila dia tidak teragak-agak untuk menyertai Piala Raja Thailand, demi berkhidmat buat negara dengan penuh keringat.

3. Corbin Ong

file7f3biezd515fzc5w564

Kental, cekap dan matang merupakan antara ciri-ciri penting yang dimiliki Corbin (depan).

Selain kecemerlangan jentera serangan JDT, benteng pertahanan mereka turut mempamerkan aksi baik sepanjang musim, terutama dalam Liga Super untuk mencatatkan sejarah bermakna yang tersendiri.

Antara pemain penting dalam posisi berkenaan ialah pemain pertahanan kiri, Corbin Ong yang memulakan hampir kesemua perlawanan kompetetif Harimau Selatan musim ini.

Kehadirannya cukup bermakna apabila pasukan Selatan tanah air itu hanya dibolosi sebanyak 12 kali dalam Liga Super, selain sukar dibolosi dalam Piala Malaysia dan Piala FA.

Kental, cekap dan matang merupakan antara ciri-ciri penting yang dimiliki pemain berusia 31 tahun itu apabila dia tenang membaca gerakan lawan.

Tidak cukup dengan itu, aspek serangan Corbin Ong juga sukar untuk dipertikaikan selepas dia menyumbang tujuh bantuan gol, dengan enam daripadanya diperolehi dalam kancah liga.

Selain itu, ketika menyarung jersi pasukan kebangsaan, sumbangannya juga sukar untuk dipersoalkan dengan dia menjaringkan satu gol ketika bertemu Thailand dalam aksi Piala Raja Thailand September lalu.

4. Syihan Hazmi

file7bnji0ize47163v0tgaf (1)

Syihan berjaya merekodkan tujuh 'clean sheets' dalam semua penampilan di peringkat liga.

Musim ini, Negeri Sembilan FC dikatakan sebagai antara kelab yang melakukan kejutan apabila mereka kerap memberi saingan sengit, sehingga membolehkan mereka menduduki tangga keempat Liga Super.

Keutuhan benteng pertahanan merupakan kunci di atas kejayaan itu dengan penjaga gol, Syihan Hazmi mencuri perhatian ramai dengan kecemerlangannya dalam mengawal gawang sendiri.

Dalam kesemua penampilan di peringkat liga, pemain berusia 26 tahun itu berjaya merekodkan tujuh 'clean sheets', yang mana dia tidak dibolosi dalam perlawanan tersebut.

Prestasi itu membolehkannya muncul bersama pasukan kebangsaan dengan dia sekali lagi muncul sebagai wira ketika aksi penentuan penalti Piala Raja Thailand.

Sejak itu, sahamnya mula melonjak selepas JDT difahamkan sudah berjaya mendapatkan khidmatnya untuk musim depan dalam usaha mereka meningkatkan kualiti skuad.

Di samping itu, nama Syihan juga disebut-sebut untuk dipilih sebagai Penjaga Gol Terbaik ABK 2022, mengatasi dua calon terdekat, Rahadiazli Rahalim dan Kalamullah Al-Hafiz.

Namun, dengan kecemerlangan yang disaksikan sepanjang musim, tidak timbul sebarang keraguan sekiranya pemain kelahiran Kelantan itu berjaya dipilih sebagai MVP tahun ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram