Andai LTK mahu suntik pengalaman, tonggak Kedah antara 3 pemain 'veteran' perlu disambar


  • Podium
  • Rabu, 07 Dis 2022

Kepulangan Perak FC ke Liga Super musim depan mendatangkan keghairahan kepada peminat bola sepak tempatan. — Facebook/Perak Football Club

PERUBAHAN struktur Liga Malaysia menyaksikan Perak FC berjaya mendapatkan slot ke divisyen teratas bola sepak tempatan meskipun hanya berada di kedudukan kedua terakhir Liga Perdana musim lalu.

Perkara itu pastinya mendatangkan perasaan berkobar-kobar buat penyokong yang sudah lama merindui kelibat The Bos Gaurus (TBG) bersaing antara pasukan terbaik tanah air.

Lebih-lebih lagi, kehadiran pemilik baharu, XOX Berhad menerusi anak syarikatnya, ONEXOX Sdn Bhd sudah tentu membawa era baharu kepada pasukan yang sebelum ini dilanda isu kewangan.

Ia dapat dilihat apabila Perak FC tidak menunggu lama untuk membawa masuk beberapa wajah baharu dalam usaha mereka mengukuhkan lagi kualiti skuad sedia ada.

Perak-19-e1663070184879

Kehadiran Teong Kim memberi nafas baharu buat pasukan Liga Perdana itu. Facebook/Perak Football Club

Antara nama yang sah dibawa masuk ialah bekas penjaga gol Melaka United, Bryan See serta beberapa pemain muda tempatan termasuk Harith Naem dan Ilham Aqil.

Pendekatan itu dilihat sesuai dengan pendirian ketua jurulatih, Lim Teong Kim yang sememangnya terkenal dalam menyemai bakat-bakat baharu sepanjang kariernya.

Namun, perkara itu seakan-akan sukar diterima segelintir penyokong TBG yang terus mengharapkan pemain berusia mampu dibawa masuk ketika jendela perpindahan.

Pendapat itu dikatakan berpunca daripada pendirian bahawa kekurangan pengalaman dalam skuad akan sedikit sebanyak memberi kesan kepada persembahan di atas padang.

Baru-baru ini, Majoriti melaporkan Pengerusi Perak FC, Datuk Seri Abdul Azim Zabidi berkata, dia berpuas hati dengan kualiti skuad sedia ada serta tidak mempunyai perancangan untuk membawa masuk tonggak pasukan lain.

Tetapi, melihat kepada situasi terkini, terdapat beberapa pemain yang dilepaskan kelab masing-masing dan mereka mempunyai ciri-ciri sesuai dengan TBG.

1. Syazwan Zainon

Selain Perak FC, Kedah Darul Aman (KDA) FC turut tidak menunggu lama untuk melakukan rombakan terhadap skuad dengan mengambil keputusan untuk tidak menyambung kontrak beberapa pemain.

Antara tonggak pasukan yang dilepaskan ialah penyerang sayap, Syazwan Zainon walaupun sudah beberapa tahun menyumbang khidmat bersama pasukan Utara tanah air itu.

Musim ini, bekas pemain Harimau Malaya itu diturunkan sebanyak 13 kali dengan bekas pengendali Sang Kenari, Aidil Sharin Sahak memberikannya lilitan kapten berikutan pengalamannya bersama pasukan.

Namun, sentuhannya di hadapan pintu gol jelas mengecewakan dengan dia hanya merekodkan satu bantuan gol dan tidak mencatatkan sebarang jaringan.

Perkara itu difahamkan berpunca daripada isu kecederaan yang pernah dialaminya sejak bertahun-tahun lalu sehingga memberi kesan ke atas kelincahannya di atas padang.

Oleh itu, dengan KDA FC sedang melakukan rombakan secara besar-besaran, tempoh perkhidmatan Syazwan bersama skuad Sang Kenari akhirnya ditamatkan awal bulan lalu.

308008143_529574759003879_689954067753577659_n

Masa depan Syazwan bersama KDA FC akhirnya terjawab selepas dilepaskan awal bulan lalu. Facebook/KDA FC

Sehingga kini, pemain berusia 33 tahun itu tidak mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai masa depannya selain tiada khabar angin mengaitkannya dengan pasukan Liga Malaysia lain.

Melihat kepada skuad Perak FC ketika ini, kehadiran Syazwan mampu menyuntik perubahan apabila mereka kekurangan pemain dengan pengalaman berkualiti di posisi berkenaan.

Di samping itu, bekas pemain Selangor FC itu turut mempunyai kelebihan tersendiri dengan dia boleh diturunkan sebagai pemain sayap seperti mana yang kerap dilakukan ketika ini.

Namun, adakah Teong Kim akan membawa masuk Syazwan setelah dia kerap disisihkan di bangku simpanan berikutan masalah kecergasan selain usianya yang semakin lanjut ketika ini.

2. Khair Jones

Musim ini, Negeri Sembilan FC merekodkan satu persembahan yang cemerlang dan konsisten dalam kempen Liga Super apabila menamatkan kempen di tangga keempat.

Prestasi baik anak-anak buah K Devan itu dikatakan berpunca daripada keutuhan benteng pertahanan yang menggandingkan wajah berpengalaman serta pemain import, Herold Goulon.

Pencapaian itu pastinya diharapkan mampu diulangi musim depan dengan penyokong skuad Jang sudah sekian lama tidak dapat menyaksikan kemampuan bergaya itu.

Tetapi, hasrat itu seakan-akan sukar untuk diulangi, apatah lagi apabila beberapa pemain secara disahkan bakal meninggalkan Negeri Sembilan FC selepas pembukaan jendela perpindahan awal bulan lalu.

Penjaga gol, Syihan Hazmi dikatakan akan menyertai Johor Darul Takzim (JDT) sementara pemain pertahanan, Khuzaimi Piee difahamkan sudah memilih untuk ke Selangor FC.

Seorang lagi tonggak pasukan yang difahamkan mengikut jejak langkah dalam mencari angin baharu ialah pemain tinggi lampai, Khair Jones dengan prestasi konsisten sebagai pertahanan kiri.

khair_jones_1655471677

Ke manakah hala tuju Khair Jones setelah dilepaskan Negeri Sembilan FC? Facebook/Negeri Sembilan FC

Dalam kempen Liga Super, peluang pemain berdarah kacukan Malaysia-Australia itu sedikit terjejas dengan terpaksa melupakan enam penampilan selepas bergelut dengan isu kecergasan.

Namun, setiap kali diturunkan, Khair kerap mempamerkan aksi terbaik dengan membentuk gandingan padu bersama rakan sepasukan sehingga mencatatkan enam perlawanan tanpa dibolosi.

Bagaimanapun, dengan Negeri Sembilan memilih untuk tidak mengekalkan khidmatnya, pemain berusia 33 tahun itu pasti mencari kelab lain untuk meneruskan khidmatnya.

Berdasarkan landskap bola sepak tempatan semasa, Perak FC dilihat sebagai destinasi terbaik dengan pasukan itu pastinya berhasrat untuk menambah baik kemampuan benteng pertahanan.

Musim ini, TBG jelas bergelut dalam menyekat serangan pihak lawan setelah dibolosi sebanyak 30 kali dalam 18 aksi Liga Perdana, sekali gus membuktikan masalah besar pasukan tersebut.

Oleh itu, pihak pengurusan boleh memikirkan untuk mendapatkan tanda tangan Khair Jones sekiranya mereka berhasrat dalam memberi tentangan lebih hebat kepada pihak lawan selepas ini.

3. Norshahrul Idlan Talaha

Isu kewangan dan pengurusan yang berdepan Melaka United musim ini menarik perhatian penyokong serta bola sepak tempatan yang tidak henti-henti mengkritik pasukan itu.

Berikutan masalah itu, pihak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan MFL mengambil keputusan untuk menyekat penyertaan skuad Hang Tuah dalam struktur Liga Malaysia musim depan.

Perkara itu disusuli dengan pembatalan kontrak beberapa pemain dengan antaranya merupakan Bryan See yang sudah disambar Perak FC untuk meningkatkan kemampuan benteng pertahanan.

Mat-Yo-Melaka

Mat Yo (kiri) masih boleh membantu Perak FC dengan pengalaman yang dimilikinya. Facebook/Melaka United FC

Namun, masih terdapat tonggak pasukan yang tidak mempunyai kelab baharu termasuk penyerang berpengalaman, Norshahrul Idlan Talaha selepas tempoh perkhidmatannya semakin singkat.

Penampilannya bersama Melaka United musim ini sememangnya sudah terhad dengan dia hanya mampu mencatatkan 12 penampilan Liga Super dengan hanya empat daripadanya aksi dalam kesebelasan utama.

Hal itu semestinya memberi kesan terhadap sumbangannya terhadap pasukan dengan 'Mat Yo' hanya mampu merekodkan satu bantuan gol, iaitu ketika berdepan KDA FC.

Prestasi itu sedikit sebanyak memberi imej negatif dalam kalangan pihak pengurusan kelab Liga Malaysia yang seakan-akan sudah tidak tertarik untuk mendapatkan bekas pemain kebangsaan itu.

Namun, Perak FC dilihat mampu menjadi tempat persinggahan terakhir buat Norshahrul dengan kelajuan serta sepakan kaki kanannya masih dapat membantu TBG musim depan.

Selain itu, sekiranya pemain berusia 36 tahun itu tidak diturunkan di atas padang, kehadirannya juga mampu membantu barisan kejurulatihan mahupun skuad simpanan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram