KEMPEN Piala AFF 2022 yang dijadualkan berlangsung pada hujung Disember ini sememangnya menjadi satu kejohanan yang ditunggu-tunggu peminat bola sepak di rantau Asia Tenggara.
Dalam landskap tempatan pula, kemaraan skuad kebangsaan dalam edisi terdahulu turut memberi keghairahan seperti mana yang disaksikan sebelum ini.
Namun, baru-baru ini, kecoh di media sosial apabila Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengumumkan senarai pemain yang bakal dibawa untuk kempen tahun ini.
Perkara yang menarik perhatian ramai adalah ketiadaan majoriti pemain terbaik tempatan dengan seramai 12 'tulang belakang' Johor Darul Takzim (JDT) tidak akan menyertai kem latihan.
Mengulas mengenai perkara itu, ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon mengeluarkan kenyataan dengan menyatakan bahawa ia merupakan kali pertama masalah tersebut berlaku dalam kariernya.
Ulasan Pan-gon jelas menarik perhatian penyokong dan pemerhati bola sepak tanah air. — Facebook/FAM
Komen itu jelas mengundang penjelasan daripada pemilik JDT, Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Idris Sultan Ibrahim yang mengingatkan bahawa pemain sepatutnya diberi waktu berehat sebelum kempen Liga Super 2023 bermula.
Menurut baginda, jurulatih kelahiran Korea Selatan itu sepatutnya memahami situasi dan keadaan pemain di samping meletakkan sasaran skuad untuk beraksi dengan lebih baik dalam Piala Asia 2023.
Pertikaman lidah itu jelas menular dalam kalangan penyokong sehingga ada daripada mereka melabel Piala AFF sebagai pengganggu terhadap karier pemain di peringkat kelab.
Hal itu dilihat seakan-akan mencipta keretakan, apatah lagi apabila Harimau Malaya pernah menjulang trofi tersebut pada 2010, dengan ia menjadi satu-satunya pencapaian tertinggi bagi skuad kebangsaan.
Namun, bagi ketua jurulatih berpengalaman, B Sathianathan, dia berpendapat pendirian segelintir penyokong bahawa pemain perlu mendapatkan rehat secukupnya sewajarnya disokong.
"Jangan bandingkan dahulu dengan sekarang kerana ada pasukan-pasukan yang main di luar liga, seperti Kuala Lumpur (KL) City FC sehingga ke final (Piala AFC) dan JDT pula, mereka ke Liga Juara-juara AFC (ACL) dan ia akan meningkatkan jumlah perlawanan.
"Sebelum ini (2010), tidak banyak pasukan (ke Asia) dan tahun depan pula, ada 15 pasukan dalam Liga Super dan ia memang menjadikan jadual liga lebih panjang," katanya kepada Majoriti.
Sebelum ini, Sathianathan pernah memegang jawatan sebagai ketua jurulatih skuad kebangsaan pada 2007 hingga 2009 selain pernah membimbing pasukan Bawah 23 (B-23) pada 2006 hingga 2008.
Dari segi kelab pula, pengendali berusia 64 tahun itu pernah melatih beberapa pasukan dengan yang terbaru merupakan Sarawak United sebelum dia terpaksa mengundur diri berikutan isu kesihatan.
Mengulas lanjut, perkara itu juga dapat disaksikan dalam arena bola sepak antarabangsa dengan pemain di Eropah juga mengambil pendekatan itu untuk mengelakkan isu kecergasan ketika kempen liga akan datang.
Skuad Harimau Malaya pernah menjulang trofi Piala AFF pada 2010.
"Pemain ni, mereka memerlukan rehat kerana sekiranya mereka tidak dapat tempoh rehat yang mencukupi sekurang-kurangnya enam minggu, pelbagai kecederaan akan berlaku," katanya.
Selain itu, ketua jurulatih kelahiran Perak itu juga menegaskan bahawa pendapat penyokong mengenai kepentingan Piala AFF perlu melihat situasi tersebut tanpa memikirkan mengenai emosi mereka.
"Memang sekiranya diikutkan daripada aura, kita seperti sudah terbawa-bawa dengan edisi sebelum ini, jadi ia mungkin penting secara nostalgik," katanya.
Skuad Harimau Malaya bakal memulakan kempen Piala AFF 2022 dengan pertemuan bersama Myanmar di Stadium Thuwanna YTC pada 21 Disember sebelum pulang ke Stadium Nasional Bukit Jalil pada 24 Disember untuk menentang Laos. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram