BUKAN hanya Perak FC dan Kedah Darul Aman (KDA) FC yang hampir berwajah baharu pada musim depan, pasukan Penang FC turut tidak melepaskan peluang untuk merombak pemain mereka.
Selepas mengakhiri saingan Liga Super di kedudukan tercorot dalam kalangan 12 kelab bertanding dengan menyaksikan 15 kali kekalahan dalam 22 perlawanan, skuad Harimau Kumbang tekad untuk menggugurkan hampir sebahagian besar pemainnya.
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh Facebook rasmi kelab itu, Penang FC mengucapkan terima kasih kepada 17 tonggak mereka yang terdiri daripada 13 pemain tempatan dan empat lagi bintang import pasukan berkenaan.
"Ahli Lembaga Pengarah Penang FC telah memutuskan untuk membawa haluan baharu Harimau Kumbang bagi musim 2023.
“Penang FC ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Hafizul Hakim, Rafiuddin Roddin, Thivendaran, Gopi Rizqi, Tam Sheang Tsung, Azim Rahim, Jafri Firdaus Chew, Faizal Talib, Shukri Hamid, Azzizan Nordin, Ariff Ar-Rasyid, Syazwan Zaipol dan Daniel Ashraf yang bersama pasukan Penang sepanjang musim 2022.
“Terima kasih juga kepada pemain import Penang FC, Endrick Dos Santos Parafita, Lucas Espindola Da Silva, Christian Mangaron Rontini, Anselmo Arruda Da Silva (Casagrade) bagi musim 2022, segala pengorbanan dan usaha pasti akan dikenang,” kata kelab itu dalam satu kenyataan yang dimuatnaik di lama Facebook Penang FC pada Sabtu.
13 pemain tempatan yang digugurkan dari Penang FC pada musim depan. — Facebook/Penang FC
Meskipun ramai penyokong yang terkejut melihat keputusan pihak pengurusan untuk menggugurkan 17 pemain Penang FC itu namun nama Endrick sudah menjadi dalam senarai jangkaan akan dilepaskan bagi saingan musim depan.
Mana tidaknya, semasa liga masih berlangsung nama bekas kapten Penang FC itu dikaitkan akan menyertai juara Liga Super sembilan kali berturut-turut, Johor Darul Takzim (JDT) FC secara pemain naturalisasi.
Perkara itu hangat diperkatakan terutamanya selepas Pengarah Sukan JDT, Martin Prest pernah menyatakan hasrat skuad Harimau Selatan untuk membawa tonggak kelahiran Brazil itu pada musim 2023 dengan status sebagai pemain naturalisasi.
Endrick sudah hampir mencapai syarat minimum lima tahun untuk menjadi seorang pemain naturalisasi selepas dia dibawa masuk oleh Felcra FC pada tahun 2018.
Bagaimanapun, hasrat untuk melihat bekas tonggak tengah Penang FC untuk menyarung jersi Harimau Selatan mungkin terpaksa dilupakan apabila ada khabar mengatakan Endrick akan membuat lencongan ke kelab Pantai Timur pada musim 2023.
Endrick mulai menyarung jersi Penang FC pada musim 2020. — Facebook/Penang FC
Khabar angin itu bermula apabila ada penyokong melihat kelibat pemain berusia 27 tahun itu di lapangan terbang Kota Bharu dan menguatkan dakwaan Endrick akan bermain bersama sama ada Kelantan FC atau Kelantan United pada musim depan.
Bukan hanya pemain berketinggian 1.82 meter itu dilihat di Kota Bharu, malah penyokong berkenaan juga melihat Endrick ditemani penyerang Petaling Jaya (PJ) City FC, Khyril Muhymeen Zambri.
"Saya jumpa dia (Endrick) dekat lapangan terbang, lepas itu naik kereta sekali dengan Khyril Muhymeen. Mungkin dia berjalan-jalan sahaja. Tapi mungkin juga bersama TRW (The Red Warrios)," tulis penyokong TRW, Mohamad Amin Ikram yang melihat kedua pemain berkenaan.
Khyril Muhymeen yang juga sebelum ini pernah menabur bakti bersama skuad Sang Kenari selama 10 tahun bukan nama asing lagi dalam bola sepak tanah air.
Khyril Muhymeen berhasrat mahu bersara jika tidak ditawarkan sebarang kontrak. — Facebook/PJ City FC
Selepas keputusan PJ City FC untuk menarik diri daripada saingan musim depan, penyerang berusia 35 tahun itu masih belum mendapat tawaran rasmi daripada mana-mana kelab Liga Malaysia (Liga M).
Sebelum ini, Khyril yang juga bekas pemain Selangor FC itu pernah menyatakan bahawa dia mahu berehat dahulu sementara menunggu tawaran daripada pasukan lain.
Dia juga menyatakan hasrat untuk bersara sebagai pemain profesional dan fokus dalam bidang lain jika tidak mendapat sebarang kontrak.
Jika benar dakwaan yang dikatakan oleh penyokong itu, berkemungkinan Kelantan FC sudah menawarkan kontrak kepada Khyril Muhymeen dan Endrick bagi membantu skuad TRW menghadapi saingan Liga M musim 2023.
Setakat ini, Kelantan FC masih tidak mengeluarkan sebarang pengumuman mengenai rancangan TRW pada musim depan kecuali khabar angin mengatakan bahawa pasukan itu akan diterajui oleh pengendali dari Korea Selatan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram