'Jangan jilat ludah sendiri', penyokong tolak idea bawa pulang Ifedayo


  • Podium
  • Selasa, 06 Dis 2022

Ifedayo merupakan penyerang berbisa sepanjang dua musim berkhidmat bersama skuad Gergasi Merah. — Facebook/Selangor FC

MESKIPUN memulakan musim 2022 dengan langkah kiri, Selangor FC berjaya mengejutkan ramai pihak apabila mendaki carta Liga Super ke tangga kelima.

Selain itu, kemaraan mereka dalam pentas Piala Malaysia turut menarik perhatian peminat dengan menepis segala cabaran, termasuk menewaskan finalis Piala FA, Terengganu FC dengan bergaya.

Walaupun tewas di final Piala Malaysia bertemu Johor Darul Takzim (JDT), penyokong Gergasi Merah turut berbangga dengan pencapaian itu, apatah lagi setelah dikecewakan sepanjang musim.

Oleh itu, dengan jendela perpindahan yang sudah dibuka, rombakan terhadap skuad pasti menjadi agenda utama barisan kejurulatihan yang diketuai Tan Cheng Hoe.

Hal tersebut kerana masalah kekurangan pemain dalam beberapa posisi cukup menyekat kemampuan pasukan Lembah Klang itu daripada terus membuktikan sentuhan mereka.

Di samping membawa masuk wajah-wajah baharu, pihak pengurusan pasti tidak teragak-agak untuk melepaskan beberapa pemain yang dirasakan kurang menyumbang buat pasukan.

315283249_569285461869853_9015946617499867999_n

Sentuhan Caion masih gagal untuk meletakkannya dalam hati penyokong Selangor FC. Facebook/Selangor FC

Antara nama yang difahamkan bakal meninggalkan Selangor FC ketika jendela perpindahan ini ialah penyerang kelahiran Brazil, Herlison Caion seperti mana dilaporkan beberapa sumber dalaman.

Dalam kempen Liga Super, pemain tinggi lampai itu sememangnya cukup menyerlah apabila menjaringkan 14 gol dalam 22 penampilan, sekali gus meletakkannya sebagai antara import terbaik musim ini.

Prestasi itu turut diteruskan dalam saingan Piala Malaysia apabila Caion merekodkan enam gol dalam tujuh perlawanan, termasuk satu gol ketika final bertemu JDT.

Namun, sekiranya diperhatikan dengan lebih mendalam, pemain berusia 32 tahun itu bukanlah seorang penyerang yang berkemampuan dalam meningkatkan kualiti pasukan.

Selain jarang membantu daripada segi pertahanan, penyerang itu juga dilihat enggan terlibat dalam membuka ruang kepada rakan sepasukan dengan hanya menunggu dalam kotak penalti lawan.

Jadi, tidak hairanlah apabila namanya mula meniti di bibir penyokong Selangor FC yang berharap pengganti lebih berbisa mampu dicari sebelum tirai liga musim depan dibuka.

Segelintir peminat setia juara Piala Malaysia 33 kali itu menamakan bekas penyerang, Ifedayo Olusegun sebagai calon yang sesuai setelah dilepaskan Melaka United berikutan isu kontrak.

Bagi mereka, kemampuan dan kesungguhan pemain kelahiran Nigeria itu cukup dirindui setiap kali diturunkan dan ia dibuktikan dengan jumlah jaringan yang diperolehi sepanjang dua musim bersama Selangor FC.

Sepanjang menyarung jersi Gergasi Merah, Ifedayo mempamerkan sentuhan cukup bergaya di hadapan pintu gol dengan menjaringkan 62 gol dalam kesemua 67 penampilan.

316062693_565306945601038_410992058450683377_n

Penyokong Gergasi Merah berharap untuk melihat jentera serangan ditambah baik musim depan. Facebook/Selangor FC

Kelincahannya di atas padang juga cukup dirindui apabila dia mudah mengelirukan pertahanan lawan dengan hantaran serta kemampuannya untuk menggelecek bola.

Oleh itu, kepulangannya pasti dinanti-nantikan sebilangan penyokong yang masih berharap Ifedayo mampu menggantikan Caion, sekali gus meningkatkan kemampuan jentera serangan Selangor FC.

Bagaimanapun, ada pula luahan yang dilihat di media sosial mengatakan idea tersebut sepatutnya ditolak dan diganti pemain lebih berkualiti serta muda sepatutnya menjadi keutamaan.

Pendapat itu disampaikan seorang penyokong bola sepak tempatan, Haiqal Irwan yang tidak mahu melihat pihak pengurusan pasukan membawa masuk pemain berusia 31 tahun itu semula.

"Kalau betul 'pusing-pusing', macam tu jugalah Selangor. Sembang setiap musim hendak layak ke Asia dan macam-macam lagi. Carilah import lain dan jika mahal sekalipun, biarlah ia berbaloi," katanya.

Hal itu juga dirasakan Muhammad Zikri Asri yang turut melabel jenis permainan Ifedayo tidak terlalu berbeza dengan Caion yang hanya menunggu hantaran berkualiti daripada rakan sepasukan.

"Ni pun seorang penyerang yang hanya menunggu bola di hadapan pintu gol walaupun sentuhan dan penyudahnya lebih baik. Tapi, kasihan pula kepada rakan-rakan yang perlu kerjas lebih keras," katanya.

Imran Jiran turut menolak pendapat untuk mendapatkan semula bekas pemain Melaka United itu dengan berharap Cheng Hoe terlibat dalam proses pemilihan pemain.

"Cari import lain sahajalah, rasanya barisan kejurulatihan dan Cheng Hoe boleh ikut dalam mencari penyerang baharu yang betul-betul tajam di hadapan pintu gol," katanya.

Bagi Sarjen Todak Sarjen pula, dia juga tidak berminat sekiranya Selangor FC mendapatkan semula pemain itu dengan melihat ia bakal menjadi satu kesilapan besar buat pasukan.

"Kalau diambil semula Ifedayo ni, memang satu kesilapan buat pasukan ini. Sudah diludah, kenapa mahu jilat semula?" soalnya ringkas.

Musim ini, Ifedayo masih mempamerkan antara aksi terbaik bersama skuad Hang Tuah dengan memperolehi tujuh jaringan serta dua bantuan gol dalam 15 aksi Liga Super.

Prestasi itu mendapat perhatian beberapa pasukan Liga Malaysia di mana Terengganu FC difahamkan turut berminat untuk mendapatkan khidmatnya susulan pembubaran Melaka United.

Selain itu, difahamkan dia dalam proses mendapatkan status naturalisasi yang menjadi satu kelebihan buatnya dan pasukan ketika proses pendaftaran pemain. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram