KEMENANGAN mutlak pasukan Johor Darul Takzim (JDT) dalam final Piala Malaysia pada Sabtu melengkapkan kejuaraan Liga Malaysia (Liga M) musim 2022.
Selain trofi Piala Malaysia, JDT turut mendominasi kejuaraan Piala FA, Liga Super, Piala Sumbangsih manakala JDT II pula tidak kurang hebatnya apabila muncul juara Liga Perdana.
Musim ini juga menyaksikan peningkatan pasukan Sabah FC di bawah kendalian Datuk Ong Kim Swee serta kemerosotan pasukan Kedah FC dengan merekodkan 16 kekalahan sepanjang musim 2022.
Sepanjang musim berlangsung, pelbagai insiden berlaku dan mewarnai kancah liga domestik sehingga menjadi bualan hangat penyokong bola tempatan.
Berikut merupakan lima insiden berlaku yang pasti akan dikenang sekiranya musim 2022 disorot semula:
1. Pertikaman lidah Sanusi -TMJ
Tangkap layar 'perang mulut' antara TMJ dan Sanusi di media sosial.
Tidak keterlaluan jika dikatakan kadang-kala peminat bola sepak tempatan minat seakan-akan menantikan episod drama antara Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor bersama pemilik Johor Darul Takzim (JDT),Tengku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Idris Sultan Ibrahim.
Pertikaman lidah menerusi media sosial itu sering diulit dengan bunga bahasa, kata-kata kiasan serta satira yang pasti mencuit hati peminat bola tanah air.
Perbalahan mencapai kemuncak apabila TMJ ke ruang komen Instagram Kelab Bola Sepak Kedah Darul Aman Football Club (KDA FC), Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar untuk membuat permintaan.
TMJ meminta supaya pemilik baharu kelab Sang Kenari untuk menasihati Sanusi supaya memberhentikan perangai 'badut' yang sering dipamerkan beliau.
Bagaimanapun, drama pertikaman lidah tersebut dilihat terhenti setelah tamat saingan Liga Super yang menyaksikan Johor muncul sebagai juara sembilan kali berturut-turut.
2. Kontroversi atlet
Samassa (jersi biru) tidak berpuas hati terhadap pemain TFC, Mohamad Faisal Abdul Halim (tiga, kanan).
Siapa boleh lupa aksi 'menganjing' Faisal Halim terhadap Mamadou Samassa pada aksi Liga Super Terengganu menentang Sri Pahang, Julai lalu?
Pemain berasal dari Pulau Pinang itu didapati mengajuk kembali tindakan penjaga gol import itu yang gagal menyelamatkan sepakan penalti.
Ajukan itu membuatkan Samassa mengamuk lalu hampir menumbuk pemain sayap lincah Terengganu FC (TFC) tersebut sebelum sempat dileraikan rakan-rakan sepasukan.
Amri (baju merah) didapati merosakkan permukaan padang di titik sepakan penalti sebelum sepakan diambil Bergson (baju biru) pada aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia pada 15 November lalu.
Satu lagi insiden adalah tarian 'gelek' pemain Sabah FC, Amri yahya yang difahamkan ingin merosakkan kawasan penalti pasukannya pada perlawanan separuh akhir Piala Malaysia menentang JDT pada 15 November lalu.
Aksi tersebut disedari oleh pengadil perlawanan lalu Amri dilayangkan kad kuning. Berang dengan keputusan itu, pemain berusia 41 tahun terbabit 'mengamuk' sebelum ditenangkan rakan sepasukan.
3. Isu pengadilan
Tangkap layar muat naik BBC Sport yang mengulas isu pengadilan di Malaysia.
Isu dan mutu pengadilan Liga M sememangnya sering menjadi bualan dalam kalangan peminat bola sepak tanah air terutama apabila keputusan dibuat sering tidak konsisten dan kerap melakukan kesilapan.
Namun kemuncak kepada isu pengadilan pada musim ini adalah pertembungan antara JDT dan pasukan Selangor FC yang mana pengadil perlawanan, Zulkarnain Zakaria dikritik kerana memberikan penalti kepada JDT.
Lebih hebat, perkara tersebut turut mengundang perhatian media luar, BBC Sport yang menyarankan pihak Malaysia Football League (MFL) memperkenalkan sistem Video Assistant Referee (VAR) dalam perlawanan Liga Super.
Walaupun isu tersebut hangat sehingga ke peringkat antarabangsa, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kekal dengan pendiriannya bahawa keputusan pengadil itu adalah tepat.
4. Tiga kelab 'tutup kedai'
Tiga kelab ini tidak akan beraksi di saingan Liga M musim depan.
Liga M musim 2022 juga tidak terlepas dengan isu kemelut kewangan yang membelenggu beberapa pasukan sehingga menyebabkan barisan pemain terpaksa menerima tempiasnya.
Menjelang tutupnya kempen Liga Super 2022, kancah bola sepak negara disajikan dengan berita pergelutan kewangan pasukan Sarawak United FC (SUFC) dan Melaka United FC (MUFC).
Susulan itu, kedua-dua pasukan tidak diberi kelayakan untuk mendapatkan Lesen Kebangsaan bagi kitaran 2022 pada 12 Oktober 2022 selaras dengan Artikel 3.4.4 yang termaktub di dalam Peraturan Pelesenan Kelab MFL Edisi 2022.
Sementara itu, pasukan Petaling Jaya (PJ) City FC pula sah menarik diri dari Liga M kerana matlamat kelab itu untuk tampil sebagai pasukan sepenuhnya pemain tempatan dilihat tidak bersesuaian dengan hala tuju penstrukturan Liga M 2023 yang membenarkan semua pasukan memiliki sembilan import.
5. Masalah stadium
Tangkap layar sebuah video tular keadaan di kawasan tempat duduk penonton yang digenangi air selepas hujan lebat di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu pada Julai lalu.
Hujan lebat yang melanda sebelum pertemuan Terengganu FC (TFC) dan Negeri Sembilan dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Sultan Mizan, Terengganu pada Julai lalu menyebabkan tempat duduk penonton ‘banjir’.
Beberapa video dan gambar turut tular di media sosial menunjukkan kawasan tempat duduk penonton digenangi air melebihi paras lutut akibat daripada cuaca buruk itu.
Gambar perbandingan petugas stadium Malaysia dan luar negara sewaktu mengeluarkan air hujan yang bertakung di atas padang.
Dalam satu perkembangan lain, aksi petugas stadium dilihat terpaksa menggunakan penyodok sampah dan kertas putih keras untuk membuang air yang bertakung di atas permukaan padang menimbulkan kemarahan ramai.
Insiden yang berlaku di Stadium Nasional Bukit Jalill (SNBJ), Kuala lumpur membuatkan ramai meluahkan rasa kecewa melihat keadaan padang dipenuhi air selain berselut.
Sehubungan itu, SNBJ ditutup mulai pada 15 Jun bagi kerja baik pulih dan dibuka semula pada Ogos lalu bagi penganjuran konsert Billie Eilish dan final kejohanan Piala FA. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram