Fans Kedah ada sebab tak teruja Nafuzi Zain terajui Sang Kenari


  • Podium
  • Sabtu, 26 Nov 2022

Menurut penyokong Kedah, bukan taktikal Nafuzi penyumbang terbesar, tapi kualiti pemain seperti Faisal merupakan penyumbang kejayaan TFC. — Bernama

KEKALAHAN Terengganu FC (TFC) pada saingan separuh akhir Piala Malaysia Rabu Isnin lalu menandakan khidmat Nafuzi Zain bersama pasukan tersebut telah sampai ke pengakhirannya.

Biarpun perpisahan antara pengendali kelahiran Kelantan itu dan Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd dipenuhi dengan kontroversi, namun tiada siapa dapat nafikan sumbangan Nafuzi kepada skuad Penyu.

Sepanjang tujuh tahun menabur bakti, Nafuzi bermula dengan membimbing pasukan T-Team FC sehingga berjaya tampil sebagai salah satu pasukan digeruni bersama TFC.

Musim ini, magis jurulatih berusia 44 tahun tersebut dapat melonjakkan pasukan Terengganu dari dasar liga ke kedudukan kedua liga sekali gus meraih slot ke kejohanan Piala AFC 2023.

Bagi saingan Piala FA, skuad Penyu mampu memberi saingan sengit sepanjang kempen dan hanya mampu dikalahkan oleh sang juara, Johor Darul Takzim di perlawanan final.

Kini, Nafuzi yang merupakan sebahagian daripada 'geng' Double Treble pada zaman kegemilangan Kedah dikhabarkan akan kembali bumi jelapang padi sebagai pengemudi skuad tersebut.

Kejayaan Nafuzi membawa pasukan TFC ke kedudukan sekarang dipuji sehinggalah berlakunya kemelut di antara jurulatih tersebut dan pihak pengurusan.

Namun berita kedatangan Nafuzi seakan-akan tidak begitu dinantikan penyokong Sang Kenari yang lebih menantikan khidmat jurulatih luar seperti bekas jurulatih Thailand yang juga bekas pemain import Perlis, Kiatisuk Senamuang.

Menurut penyokong Kedah, Shahril Amri, pencapaian Nafuzi bersama Terengganu FC itu bukan sahaja lambat jika dibandingkan dengan tahun khidmatnya digunakan, malah tiada satu pingat pernah digenggamnya.

"Jangan harap sangatlah. Terengganu tak pergi mana-mana pun. Tak pernah menang sebarang pingat pun sepanjang Nafuzi jaga," katanya.

Loan Rangger bersetuju dengan pendapat tersebut, dengan menambah bahawa bekas jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak turut pernah membantu pasukan itu mendapat nombor dalam liga, namun khidmatnya ditamatkan.

"Aidil bawa Kedah ke tangga nombor dua Liga Super pun dibuang juga. Kedah pun pernah layak ke Piala AFC sewaktu di bawah kendalian Aidil," katanya.

Pasukan Kedah meraikan kemenangan setelah menewaskan pasukan Perak dengan jaringan 1-0 pada final Piala FA 2019 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Sebagai rekod, slot pertama ke Piala AFC 2021 diisi skuad kendalian Aidil Sharin Sahak setelah berjaya muncul sebagai juara Piala FA 2019.

Dalam pada itu, seorang lagi penyokong Zul Kimi berasa pencapaian TFC pada musim ini disumbangkan oleh barisan pemain yang mantap berbanding taktikal Nafuzi.

"Sepatutnya Faisal Halim (yang datang ke Kedah), dia ni buat apa. Bertahun juga di Terengganu, tak dapat apa piala pun," ujarnya.

Ommar Mustaffa turut menyokong dakwaan bahawa kehadiran Nafuzi tidak memberi sebarang perubahan kepada skuad Kedah sekiranya barisan pemain tidak mantap.

"Jangan teruja sangat. Yang penting pemain-pemain sedia ada yang tak bagus itu ditukar. Jurulatih Aidil tu dah OK dah. Pernah menang piala. Cuma nasib dia tidak baik tahun ini sebab dapat pemain tak bagus, baik import atau tempatan," katanya.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram