Tukar 'coach' pun gagah sambar quadruple, senjata rahsia JDT terbongkar


  • Podium
  • Isnin, 28 Nov 2022

JDT menyapu bersih gelara quadruple musim ini sebaik menewaskan Selangor FC 2-1 pada final Piala Malaysia 2022 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu. — Bernama

LAKARAN sejarah baharu dengan pencapaian 'quadruple' dan rekod tanpa kalah pasukan Johor Darul Takzim musim ini membuktikan jurang di antara kelab elit Selatan tanah air itu bersama pencabar lain dalam liga domestik masih ketara.

Biarpun terdapat usaha dari pasukan lain untuk cuba mencabar 'raja' bola sepak tempatan itu, namun kebanyakannya terkandas akibat kekuatan Harimau Selatan yang berada dalam kelas tersendiri.

Secara keseluruhan musim ini, skuad kendalian Hector Bidoglio membawa pulang trofi Piala Sumbangsih, Piala FA, Liga Super dan Piala Malaysia.

Menurut penganalisis sukan, Datuk Dr Pekan Ramli, JDT menunjukkan prestasi terumbang-ambing pada permulaan musim apabila jarak mata antara pasukannya dan pasukan-pasukan lain sangat hampir.

Namun, skuad Harimau Selatan menunjukkan peningkatan mendadak selepas jendela perpindahan pertengahan musim apabila terus teguh mempertahankan kedudukan sebagai juara liga.

"JDT tidak bermula dengan baik pada awal musim. Walaupun tak kalah, beberapa aksi seri menyaksikan ada pasukan yang boleh mendekatkan diri dengan JDT dengan jurang satu atau dua mata.

Bergson bagaikan permata buat JDT dengan catatan sebanyak 42 gol pada musim ini. Bernama

"Pada masa itu, kita rasa macam ada pasukan yang boleh cabar JDT sebagai juara bertahan liga. Tapi selepas transfer window, jurang itu semakin lama semakin jauh.

"Akhirnya JDT mampu mengesahkan kejuaraan sebelum liga berakhir dengan baki empat perlawanan. Jelas JDT telah melakukan perkara betul pada musim ini," katanya kepada Majoriti.

Mengulas mengenai rahsia kejayaan Harimau Selatan, Pekan berkata, kunci utama pasukan itu adalah kualiti barisan pemain yang sama hebat di setiap posisi terutama di bahagian penyerang.

Ini terbukti apabila pertukaran jurulatih daripada Benjamin Mora ke Hector tidak langsung menggugat kebolehan barisan pemain JDT untuk terus mempertahankan rekod tanpa kalah mereka dalam liga domestik.

"Pemain JDT mampu memberi sumbangan di segenap posisi dengan begitu mantap. Jurulatih tidak mengalami masalah untuk memilih pemain sekiranya ada pemain tercedera.

"Hal ini kerana mereka yang duduk di bangku simpanan juga sama hebatnya. Kecuali barisan hadapan. Gandingan penjaring JDT sememangnya tiada tandingan.

"Mereka sukar dibendung pertahanan mana-mana pasukan lain. Untuk satu musim ini sahaja, gandingan Bergson da Silva dan Fernando Forestieri telah meledak 61 gol.

"Jadi memiliki pemain-pemain bijak membuat percaturan di atas padang merupakan senjata pasukan JDT pada musim ini," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram