'Selangor buktikan boleh makan depa', Kedah semangat sekat JDT catat double quadruple


  • Podium
  • Isnin, 28 Nov 2022

Rekod Kedah sebagai juara dua musim berturut-turut untuk tiga kejuaraan bakal tergugat sekiranya JDT mengulangi kejayaan musim ini pada saingan musim depan. — Facebook

BIARPUN tewas 1-2 di tangan Johor Darul Takzim (JDT) pada saingan akhir Piala Malaysia 2022 Sabtu lalu, pasukan Selangor FC dilihat tetap mendapat tempat di hati penyokong bola sepak tempatan.

Masakan tidak, Red Giants diramalkan hadir sebagai pelengkap jadual pada saingan Piala Malaysia setelah mengharungi episod kelam sepanjang kempen Liga Super musim ini.

Namun, skuad Merah Kuning membuktikan sebaliknya apabila terus mencipta kejutan demi kejutan sehingga tiba di pentas final Piala Malaysia untuk melaksanakan misi serampang dua mata.

Selangor FC juga berjaya menepis ramalan pengkritik sukan apabila jentera serangannya melakukan banyak percubaan di gawang JDT terutama pada babak pertama saingan akhir Piala Malaysia.

Kebangkitan skuad yang terkenal dengan jolokan 'King Of Malaya' itu mencetuskan inspirasi kepada penyokong Kedah Darul Aman FC (KDA FC) untuk kembali ke zaman double treble mereka.

Menurut kem Sang Kenari, kejayaan Kedah sebagai pemegang gelaran double treble masih lagi tidak tergugat sekiranya JDT dapat mengulangi pencapaian mereka musim depan.

Penyokong Kedah, Mohd Hafez mahu terus berfikiran positif dengan kebangkitan skuad Hijau Kuning pada musim depan.

Kebangkitan pemain Selangor cetus inspirasi buat penyokong Kedah. —Bernama

"Sejarah 'double treble' dan 'kalah tak apa jangan koyak' itu sahajalah mampu kita ulang dan terus ulang. Kedah kena bangkit cipta sejarah baru.

"Pada final Piala Malaysia, Selangor dah buktikan lawan JDT tak perlu main bertahan sahaja. Perlu ada taktikal yang betul, boleh sahaja 'makan' depa (JDT).

"Harap untuk tahun depan (pengurusan Kedah) jangan main tangkap muat sahaja ambik pemain import. Kita penyokong ni pun beli jersi original bukan beli di Pekan Nat, baru dapat bantu dana untuk pasukan," katanya.

Sementara itu, Mohd Ismail Md Noh turut mengakui bahawa banyak pasukan sedang memperkuatkan kedudukan masing-masing sekali gus meningkatkan saingan untuk musim depan.

"Betul, musim depan JDT tak boleh gah dah. Banyak pasukan sedang mempersiapkan pasukan mereka. Tergugatlah. Pada masa depan akan ada perubahan baharu pula, "jelasnya.

"Double treble tetap sejarah kecuali JDT boleh buat double quadruple," tambah Abdul Rahman Abdul Muthalip.

Sebagai rekod, JDT muncul juara Piala Malaysia 2022 edisi ke-96 sekali gus melengkapkan Quadruple koleksi piala kelab tersebut untuk musim ini.

Tiga lagi trofi milik JDT ialah Piala FA, Piala Sumbangsih dan Liga Super.

Manakala gelaran double treble Sang Kenari diraih setelah memenangi tiga trofi dalam semusim selama dua musim berturut-turut pada 2007 dan 2008. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram