'Terima kasih JDT', penyokong Sabah mahu pihak pengurusan bertindak pantas


  • Podium
  • Ahad, 27 Nov 2022

Ilustrasi yang dikongsi penyokong Sabah FC sebagai tanda harapan kepada pemain JDT, Bergson. — Facebook

JOHOR Darul Takzim (JDT) mencatat sejarah baharu dalam arena bola sepak tempatan selepas menjadi pasukan pertama memungut empat trofi apabila mengalahkan Selangor FC dalam perlawanan akhir Piala Malaysia pada Sabtu.

Kemenangan 2-1 yang diraih skuad Harimau Selatan menyaksikan pasukan itu mengesahkan kekuasaan mereka selepas turut megah merangkul gelaran Liga Super, Piala FA dan Piala Sumbangsih.

Bagi penyokong, hal tersebut pasti menghadirkan kegembiraan selepas kejayaan itu membuktikan titik peluh dan sorakan yang diberikan menjadi pemangkin di sebalik kejayaan itu.

Namun, dalam kalangan peminat tegar bola sepak tempatan, turut hadir meraikan kemenangan yang dicatatkan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Selangor itu ialah penyokong Sabah FC.

Selepas gagal meraih tiket ke pentas Asia apabila hanya menduduki tangga ketiga Liga Super, pasukan kendalian Datuk Ong Kim Swee perlu memastikan kemenangan berpihak kepada JDT.

Hal itu adalah berikutan peraturan baharu Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) yang menyatakan bahawa slot kedua ke Piala AFC 2023 adalah menjadi milik juara Piala Malaysia atau pasukan di tangga ketiga Liga Super.

Tetapi, dengan kejohanan itu diungguli anak-anak buah Hector Bidoglio, nasib menyebelahi skuad Sang Badak apabila mereka bakal bertanding di kejohanan peringkat benua itu musim depan.

Perkara itu diluahkan di media sosial dengan rata-rata penyokong Sabah FC tidak sabar untuk melihat pasukan itu di Piala AFC selepas kali terakhir layak lebih 20 tahun lalu.

KUALA LUMPUR, 26 Nov -- Pemain JDT meraikan kejayaan selepas berjaya menewaskan pasukan Selangor FC dengan keputusan 2-1 pada Perlawanan Akhir TM Piala Malaysia 2022 di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini.--fotoBERNAMA (2022) HAK CIPTA TERPELIHARA

Pemain JDT meraikan kejayaan selepas berjaya menewaskan pasukan Selangor FC dengan keputusan 2-1 pada Perlawanan Akhir TM Piala Malaysia 2022 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Sabtu. — Bernama

Penyokong Sabah FC, Aiki Toitom meluahkan rasa syukurnya kepada Harimau Selatan dan berharap pengurusan Sabah FC sudah mula merancang untuk musim depan.

"Terima kasih JDT, sekarang kami layak untuk beraksi di Piala AFC. Pengurusan perlu segera tu buat persiapan, jangan 'last minute',"katanya.

Arison Wiki menambah: "Harap-harap Sabah FC segera cari pemain import berkualiti. Kita ada misi besar."

"Biarlah orang nak kata kita tumpang kejayaan JDT. Yang penting sudah layak ke AFC," tegas Susilo Angel.

Ketika kempen Piala Malaysia, pasukan Borneo itu mara ke peringkat separuh akhir, namun perjalanan mereka disekat JDT.

Dalam saingan liga pula, prestasi terumbang-ambing di penghujung musim menyaksikan Terengganu FC mudah memintas mereka ketika perlawanan akhir, yang juga satu pertembungan dengan Harimau Selatan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram