KOLEKSI kemenangan quadruple Johor Darul Takzim (JDT) pada musim ini nampaknya hanya permulaan buat pasukan itu biarpun pencapaian tersebut melakarkan sejarah baru dalam Liga Malaysia (Liga M).
Tidak puas dengan gelaran raja bola sepak Malaysia, fokus Harimau Selatan pada musim depan adalah untuk mencabar rekod 'peribadi' pasukan dengan beraksi garang di peringkat Asia.
Sudah pasti jika dilihat kembali perjalanan JDT pada musim ini, kekesalan mereka tertumpu pada detik menjadi pasukan belasahan sewaktu beraksi di saingan 16 terbaik Liga Juara-Juara Asia (ACL) pada Ogos lalu.
Episod kekalahan 0-5 kepada pasukan Jepun, Urawa Red itu dikatakan menyerlahkan kelemahan pertahanan terakhir JDT, Farizal Marlias yang selama ini dibantu oleh kekebalan kubu pertahanan Harimau Selatan dalam kejohanan domestik.
Untuk berjaya di pentas ACL 2023, skuad kendalian Hector Bidoglio memerlukan seorang penjaga gol yang cekap dan tangkas bagi melengkapkan pasukan tersebut dan nama Syihan Hazmi menjadi sebutan.
Syihan mula menarik perhatian umum pada aksi menentang Thailand dan Tajikistan pada kejohanan Piala Raja Thailand di Chiang Mai, September lalu sekali gus membantu skuad Harimau Malaya muncul naib juara kejohanan tersebut.
Kenyataan yang dikeluarkan oleh pemerhati sukan, Zuhelmi mengenai status Syihan bersama JDT.
Khabar angin mengaitkan Syihan dengan pasukan dari Selatan itu difahamkan sudah menjadi kenyataan apabila pemain tersebut sudahpun menurunkan tandatangan bagi mengesahkan khidmatnya bersama mereka.
Melihat kepada perkembangan tersebut, peminat bola sepak tempatan, Mohamed Shahaizet mula mengingatkan kembali peristiwa yang mana pemain kelahiran Kelantan itu diejek penyokong dari Selatan.
"Alamak. Nanti dia tidur macam mana? Susah pulak nak kejutkan. Dulu meludah sekarang menjilat. Macam ludah kat muka sendiri pulak ya," katanya.
Iman Aqilla turut menambah: "Ludah ke langit pastu jatuh atas muka sndiri...hahaha. Lepas itu, keluar ayat sedapkan hati Farizal jadi coach Syihan."
Sementara itu, seorang lagi pemain, Afiq Asyraf berasa tindakan JDT menyambar pemain terbaik Malaysia untuk 'diperam' dalam pasukannya membunuh saingan sihat dalam liga tempatan.
"Habis semua player Malaysia dia borong. Dah macam lawan dengan pasukan Malaysia pula. Tu belum masuk player Mat Saleh lagi.
"Lepas tu kata pasukan lain tak setaraf JDT. Memanglah, dah semua pemain Malaysia dirembat. Pasukan lain hanya ada pemain dalam pembikinan sahajalah," katanya.
Sebagai rekod, Boys of Straits (BOF) pernah mencabar Syihan supaya mengulangi 'aksi tidur sebentar' pada saingan Liga Super antara JDT dan NSFC di Stadium Sultan Ibrahim, Johor pada Oktober lalu.
Cabaran itu diberi kepada Syihan setelah pemain berusia 26 tahun tersebut dilayangkan kad kuning pada perlawanan melibatkan dua pasukan itu di Paroi, Negeri Sembilan kerana mengambil masa terlalu lama untuk melakukan sepakan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram