Bakal pencabar Bergson, Kedah dalam proses rekrut penyerang prolifik Brazil


  • Podium
  • Jumaat, 18 Nov 2022

Kehadiran Igor diramalkan dapat membantu bahagian serangan Kedah FC.

TINDAKAN 'mengunci mulut' pengurusan Kedah Darul Aman (KDA) FC berkenaan dengan masa depan pasukan tersebut mrembuatkan penyokong Sang Kenari tidak senang duduk.

Masakan tidak, pasukan-pasukan lain sudah rancak membuat persediaan rapi untuk musim depan, namun penyokong skuad Hijau Kuning hanya disaji dengan pelbagai teka-teki.

Contohnya kelab Perak FC sudah giat membawa masuk beberapa pemain baharu ke dalam skuad mereka semenjak kehadiran jurulatih, Lim Teong Kim manakala Selangor FC kini sudah menuai hasil bersama Tan Cheng Hoe apabila dilihat selangkah ke final Piala Malaysia.

Sehingga kini, KDA FC masih lagi belum menamakan sebarang calon untuk memegang kemudi pasukan mereka biarpun gosip terhangat mengaitkan pasukan itu dengan ketua jurulatih Terengganu FC, Nafuzi Zain.

Namun tiada angin tiada ribut, satu lagi khabar angin menyapa penyokong Kedah FC apabila pengurusan itu dikatakan sedang dalam proses merekrut pemain muda Brazil, Igor Jesus.

Tinjauan Majoriti mendapati kontrak pemain berusia 21 tahun itu yang kini bermain untuk pasukan Shabab Dubai di Liga Pro UAE bakal tamat pada hujung Disember nanti.

Nilai semasa Igor mencecah €1.50 juta bersamaan dengan RM7.06 juta. — Agensi

Berdasarkan statistik, Igor dilihat mampu membantu ketumpulan jentera serangan Kedah apabila sudah meledak tiga gol dan dua bantuan gol (assist) dalam tujuh penampilannya bersama pasukan berpangkalan di Dubai itu musim ini.

Namun, persoalan timbul apabila nilai semasa atlet ini mencecah €1.50 juta bersamaan dengan RM7.06 juta iaitu melebihi nilai import sensasi Johor Darul Takzim, Bergson Da Silva iaitu €500 juta bersamaan dengan RM2.35 juta.

Ini bermaksud sekiranya berita itu benar, Kedah sudah tentu perlu berbelanja besar demi mendapatkan seorang saja pemain.

Dengan peraturan baharu pemain import yang membolehkan lima pemain import berada di atas padang, sudah tentu kehadiran pemain berbakat ini mampu membantu pasukan Kedah musim depan.

Sesetengah penyokong merasakan khabar tersebut tidak mustahil memandangkan puncuk pimpinan KDA FC telah berubah dengan pemilik terbaharu, Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar.

Namun, sesetengah lagi memandang sinis khabar tersebut yang disifatkan sebagai satu risiko besar kerana tidak semestinya pemain ini mampu menyesuaikan diri dengan rentak permainan liga tempatan.

Apa sahaja kebenaran daripada khabar angin tersebut, penyokong pastinya berharap supaya pengurusan KDA FC tidak membiarkan mereka terus tertanya-tanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram