KEHADIRAN jurulatih berpengalaman, Tan Cheng Hoe ke Selangor FC pada September lalu jelas memberi perubahan yang positif kepada skuad Gergasi Merah terutamanya apabila jurulatih berusia 54 tahun itu berjaya membawa pasukan berkenaan ke peringkat separuh akhir Piala Malaysia.
Selepas berjaya menewaskan pasukan Negeri Sembilan FC (NSFC) dengan agregat 4-2 dalam pusingan suku akhir Piala Malaysia, peluang Selangor untuk menjulang kejuaraan kejohanan berprestij itu buat kali ke-34 semakin tinggi.
Kali terakhir skuad Gergasi Merah memenangi kejuaraan berkenaan adalah pada 2015 dengan menewaskan pasukan Kedah 2-0 menerusi dua jaringan Hazwan Bakri.
Cheng Hoe berjaya membawa Selangor ke peringkat separuh akhir. — Facebook/SelangorFC
Malah, bagi aksi Liga Super pula, Cheng Hoe berjaya memberikan sebanyak tiga kemenangan dalam empat aksi Liga Super dan sekali gus meletakkan Gergasi Merah di tangga kelima.
Dalam kesibukan jurulatih kelahiran Kedah itu melatih anak-anak buahnya untuk pusingan separuh akhir Piala Malaysia, ramai penyokong berteka-teki sama ada Cheng Hoe akan melakukan rombakan pasukan ataupun sebaliknya.
Mengulas mengenai perancangannya pada musim depan, bekas jurulatih pasukan kebangsaan itu berkata, perancangan untuk merombak pemain masih belum direncanakannya.
Hal ini kerana, Cheng Hoe masih ingin menumpukan perhatian sepenuhnya kepada kempen Piala Malaysia dan akan memikirkannya selepas kejohanan berprestij itu berakhir.
“Kita nampak pemain-pemain dapat tingkatkan prestasi mereka dari perlawanan ke setiap perlawanan.
“Itu sebab sebagai jurulatih, kita tak buat keputusan dengan awal tetapi kita akan menilai semula selepas perlawanan Piala Malaysia nanti,” katanya kepada Majoriti.
Menurutnya, buat masa ini dia masih memerlukan masa untuk melakukan penilaian mengenai pemain-pemain Selangor sebelum memuktamatkan keputusan.
Tambah Cheng Hoe, penambahan pemain baharu juga masih belum dibincangkan lagi dengan kakitangan kejurulatihannya tidak mahu melakukan aktiviti perpindahan secara terburu-buru.
“Setakat ini saya tiada perancangan lagi untuk dapatkan pemain baru kepada pasukan Selangor dan semestinya saya masih lagi meneliti dan menganalisa tentang pemain-pemain yang sedia ada.
“Sama ada tukar atau kekalkan mereka kerana kita lihat sepanjang perlawanan bersama saya, pemain-pemain dapat memberi kesungguhan, dari segi komitmen,” jelasnya.
Faisal dikhabarkan akan menyarung jersi Selangor FC pada musim depan. — Facebook/Terengganu FC
Sebelum ini, Selangor FC dikaitkan dengan perpindahan beberapa bintang dari kelab Liga Super dan antaranya ialah pemain sayap Terengganu FC (TFC) Faisal Halim, jeneral tengah Sri Pahang, Nor Azam Azih dan tonggak pertahanan Negeri Sembilan, Khuzaimi Piee. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram